Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim
Tergambar keceriaan di wajah pasangan ini sewaktu menjalankan sesi fotografi bersama Zass di pejabat mereka yang terletak di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Meski pun baru sahaja menimang cahaya mata kedua, Nur Amna Qeesyara, Jun lalu, namun mereka masih memberikan tumpuan kepada kerjaya dan perniagaan hamper yang dijalankan setiap kali menjelangnya hari raya setiap tahun.
Menurut vokalis kumpulan Kristal, Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim, perniagaan hamper itu bermula secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu.
"Sebenarnya idea untuk menjalankan perniagaan ini datang daripada Sheila sendiri. Mula-mula ada juga terfikir untuk berniaga kuih raya seperti yang dijalankan oleh selebriti lain, tetapi memandangkan agak sukar untuk mendapatkan tapak berniaga di bazar jadi kami pendamkan sahaja.
"Apabila Sheila cadangkan untuk melakukan projek berniaga hamper raya, saya rasa itu cadangan yang sungguh baik. Selain tidak perlu keluar, kami juga boleh menjimatkan kos menyewa tapak bazar.
"Malah, kami juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk menjalankan perniagaan ini kerana boleh di lakukan di rumah atau pejabat sahaja," ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.
Bercerita lanjut mengenai perniagaan itu, Lan berkata, mereka menggunakan modal sebanyak RM5,000 sahaja sebagai permulaan. "Bimbang juga tidak cukup, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan mendapat pulangan yang agak lumayan. Biasanya setiap tahun jumlah permintaan semakin meningkat. Selain telah mempunyai pelanggan tetap, ada juga pelanggan baru," katanya yang menjual hamper serendah RM6.
Jelasnya, pelanggan juga boleh meletakkan bajet untuk hamper yang dingini mereka.
"Kami tidak meletakkan harga, sebaliknya kami membuat hamper ini mengikut peruntukan yang diberikan pelanggan.
"Jadi tiada istilah mahal memandangkan hamper yang dijual mengikut kemampuan dan permintaan mereka," katanya.
Kualiti produk
Dalam memastikan setiap hamper yang dijual memberi kepuasan kepada pelanggan, baik Lan mahu pun Sheila sentiasa menitik beratkan kualiti produk mereka.
Ujar Lan, biasanya mereka akan memuatkan barangan seperti kuih tat, biskut, popia mini dan kek lapis dalam hamper yang dijual.
"Kuih, biskut dan kek lapis ini pula kami tidak beli di pasar raya mahu pun kedai-kedai biasa sebaliknya, kami pastikan ia adalah 'home made'.
"Bukan sahaja ia lebih sedap tetapi juga tahan lama. Lagi pun, kami tidak mahu pelanggan merungut dan mengatakan kami hanya mementingkan keuntungan sahaja. Biarlah kualiti dan nama perniagaan kami seiring," katanya yang juga menerima tempahan bagi majlis perkahwinan dan majlis korporat.
Cari rezeki lebih
Mengakui keluarga semakin besar dengan kehadiran Amna, Lan berkata, sebagai bapa, tanggungjawab terhadap keluarga terletak di bahunya.
"Walaupun hanya memiliki dua orang anak tetapi saya perlu bersedia awal. Lagi pun, perbelanjaan kini agak besar berbanding dahulu.
"Jadi, perniagaan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan kami. Selain daripada mencari rezeki lebih, kami juga dapat menggunakannya untuk kedatangan Syawal nanti.
"Bagaimanapun, rezeki yang ada perlu dikawal dan digunakan dengan sebaik mungkin, bimbang berlaku pembaziran pula nanti," katanya gembira kehadiran orang baru membawa lebih keberkatan.
Tak cukup rehat
Ditanya bagaimana Lan membahagikan masa antara komitmennya sebagai penyanyi, bidang perniagaan dan keluarga, ujar Lan, dia bertuah kerana Sheila banyak membantu menguruskan perjalanan hariannya.
"Kalau ikutkan memang sibuk. Selain daripada undangan berbuka puasa dan persembahan bersama Kristal di bulan Ramadan, saya juga perlu menguruskan keluarga dan perniagaan.
"Bagaimanapun, Sheila biasanya akan memastikan jadual saya disusun dengan rapi. Jadi, saya tak perlu terkejar-kejar. Kalau ada hal yang penting barulah saya beri keutamaan. Selebihnya, fokus tetap kepada keluarga," katanya.
Jelas Sheila pula, ada kalanya mereka tidak cukup rehat kerana terpaksa menyiapkan hamper yang ditempah.
"Nasib baik keluarga ada membantu menjaga anak-anak. Kalau tidak lagi kelam kabut jadinya.
"Bayangkan, selain menguruskan aktiviti Lan, saya perlu memastikan hamper yang ditempah siap dalam masa yang ditentukan. Kadang-kadang tak tidur malam dibuatnya," jelas Sheila.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: