
CUACA panas pada tengah hari Sabtu baru-baru ini seperti tidak dipedulikan. Bahang matahari yang membakar tubuh orang ramai di Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor itu gagal membuat mereka berganjak daripada terus berendam di dalam air.
Menjelang pukul 3 petang, pengunjung kian ramai. Suasana gamat dengan beberapa persembahan pentas melibatkan bekas kumpulan tarian rancangan realiti Showdown, beatboxer ternama Malaysia, Shawn Lee dan penyanyi, Dayang Nurfaizah serta Diddy.
Kesemua persembahan itu adalah sebahagian daripada slot bagi Summer in Clinique 2012. Deretan kios menawarkan pelbagai aktiviti dilihat tidak putus-putus didatangi pengunjung.
Kios yang paling mencuri tumpuan sudah tentu bahagian solekan. Para gadis dirias oleh jurusolek profesional Clinique menggunakan produk-produk jenama kecantikan itu. Selepas wajah siap disolek, mereka dibawa ke kaunter fotografi dan gambar tersebut diberi kepada mereka sebagai cenderahati.
Pakar solekan Clinique, David Ooi, 36, memberitahu, fokus mereka pada hari itu terletak pada penjagaan kulit. Menurut David, kulit bersih memerlukan solekan yang baik.
"Kita memilih tema asli atau natural, warna-warna ceria yang tidak terlalu berkilat dan boleh dipadankan dengan apa jua pakaian.
"Solekan asli ditekankan memandangkan alat solek yang kita gunakan dicipta khusus untuk kulit wanita Asia berdasarkan cuaca dan jenis kulit yang golongan ini miliki," terang David yang sudah empat tahun bersama Clinique.
Gadis Clinique
Perjalanan acara tersebut tidak berakhir di situ. Gadis yang mahu mencuba nasib menjadi penghias kulit (cover girl) bagi majalah Cleo dan Cosmopolitan diminta menjalani sesi temu duga bersama editor dua majalah tersebut.
Berdasarkan temu duga, personaliti dan paras rupa, dua gadis bertuah diumumkan sebagai pemenang pada lewat petang hari berkenaan.
Mencari seorang gadis istimewa dan bukan sekadar sederhana, Cleo tanpa ragu-ragu memilih Belle Loh Mun Jheng, 20, sebagai gadis muka depan majalah mereka.
Kebijaksanaan dan sifat ceria pelajar tahun satu diploma Pengiklanan di Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor itu menjadi kelebihan baginya bersinar berbanding yang lain.

"Saya tidak meletakkan harapan untuk menang kerana ini kali pertama saya menyertai pertandingan sebegini. Maklumat pertandingan ini pun saya tahu daripada seorang teman dan saya memutuskan untuk mencuba sebagai proses pencarian pengalaman," ujar Belle.
Memilih senyuman sebagai anugerah terindah pada paras rupanya, Belle menyatakan untuk menjadi cantik, seseorang itu perlu menjadi diri sendiri dan yakin dengan penampilan yang dibawa.
"Mereka yang masih muda tidak memerlukan solekan tebal untuk menyerlahkan kecantikan. Alat solek boleh menutup cela, namun sekiranya anda tidak memiliki keyakinan, ia tidak berguna," ujar gadis yang amat meminati penyanyi Yuna dan Zee Avi itu.
Saintis ambisi Nina
Pemegang gelaran cover girl Cosmopolitan pula disandang, Nina Azrah Razali, 21.
Dia meluahkan rasa syukur kerana usahanya selama ini berbaloi. Impian menghiasi kulit hadapan majalah tersebut telah tertanam dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Berbekalkan ketinggian 165 sentimeter dan wajah perempuan Melayu asli, tuah yang berpihak kepadanya itu dianggap sebagai pintu utama terjun ke dalam dunia peragaan.
"Saya tidak bercadang untuk menjadi model sepenuh masa dan mahu menjadikannya sebagai lapangan sambilan. Cita-cita saya masih teguh untuk menjadi seorang saintis.
"Tujuan saya mengikuti pertandingan seperti ini adalah untuk mengutip pengalaman dan mencabar diri mencuba sesuatu di luar jangkaan. Alhamdulillah keluarga terutamanya ibu bapa menyokong semangat saya," kongsi pelajar tahun tiga jurusan Sains Alam Sekitar di Universiti Monash, Sunway itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: