Saturday, August 18, 2012

Faktor boleh dikawal terletak dalam diri


MENGHANTAR khidmat pesanan ringkas dan berFacebook merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.


SETIAP kali menjelangnya musim perayaan, seolah-olah telah menjadi satu ingatan kepada kita semua supaya memandu dengan cara yang berhemah dan selamat.

Apa tidaknya, jalan raya kita sudah menjadi medan pertumpahan darah setiap kali menjelang musim perayaan, malah anggaran rekod kemalangan maut sebanyak 6,000 kes setiap tahun patut mengingatkan kita semua agar sentiasa memandu dengan bertimbang rasa di jalan raya.

Benarlah, bukan semata-mata pemandu yang harus dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan itu terjadi. Keadaan jalan, cuaca dan sebab-sebab luaran lain juga mungkin menyebabkan kemalangan berlaku.

Bagaimanapun, harus diingat tatkala ada faktor yang tidak mampu kita kawal, masih banyak lagi faktor yang sebenarnya boleh kita pantau bagi mengelakkan kemalangan terjadi.

Kajian-kajian mendapati bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ini biasanya memandu secara laju khususnya di jalan yang lengang, lebih banyak memotong kenderaan lain dan sangat jarang orang lain memotong mereka.

Semua ini ada kaitannya dengan personaliti individu itu sendiri. Ahli psikologi mendapati terdapat trait personality tertentu yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Antara yang selalu disebut ialah excitement seeking personality atau sensation seeking personality. Mereka yang ada personaliti itu biasanya sangat teruja untuk mendapatkan sensasi dengan memandu lebih laju, apatah lagi kalau dapat memotong kenderaan lain.

Mereka berasa hebat apabila memintas kenderaan lain, walaupun dalam keadaan pemandu yang dipintas tadi tidak pun bersaing.

Kajian-kajian lain pula mendapati ada individu yang mempunyai sifat pemarah yang cepat. Mereka ini biasanya tidak sabar. Apabila berlaku kesesakan jalan raya, mereka akan mengambil jalan mudah dengan memotong di lorong kiri yang membawa kepada kejadian kemalangan.

Semua itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada dalam diri individu itu sendiri. Ia sepatutnya boleh dikawal.

Menjadi kelaziman pemandu kita untuk berbual-bual melalui telefon, malah ada yang mengambil masa yang panjang 'berborak' mengenai pelbagai hal ketika memandu.

Mutakhir ini, muncul pula kehadiran teknologi navigasi yang membolehkan kita melihat peta jalan ke satu-satu destinasi.

Beban visual dan fizikal

Mungkin ramai tidak menyedari, bahawa kedua-dua alat itu sebenarnya adakalanya boleh menyebabkan musibah kepada pemandu.

Dalam kajian terkini di Jepun menunjukkan bahawa memandang ke tempat lain (looking elsewhere) dan berfikir mengenai sesuatu (thinking about something) telah menyumbang kepada 27 peratus kes kemalangan maut di Jepun.

Apabila seseorang pemandu menggunakan sistem navigasi, mereka sebenarnya telah menyebabkan berlakunya beban visual dan fizikal kepada manusia.

Beban visual berlaku kerana kita terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain, sedangkan pada masa yang sama kita perlu memberi fokus kepada pemanduan.

Beban fizikal pula berlaku kerana kita perlu menggerakkan mata dan badan bagi melihat perkara lain yang di luar aktiviti pemanduan.

Sebaliknya, apabila bercakap di telefon, minda kita akan berfikir mengenai perkara lain. Ini dikenali sebagai beban mental (mental workload). Jika dengan hanya berbual di telefon sahaja ia telah mengubah kapasiti mental manusia, bayangkan pula sekarang ini ada yang masih sempat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan berFacebook ketika memandu.

Semua ini merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya yang lain.

Dalam banyak keadaan, semua faktor itu akan menyebabkan proses masa reaksi (reaction time) yang berlaku di minda kita menjadi perlahan, menyebabkan kita tidak mampu bertindak dengan lebih cepat apabila ada kejadian tidak diingini.

Semua itu merupakan aspek psikologikal yang biasa kita hadapi, walaupun tidak kita sedari. Kita perlu mengubah tabiat dan cara kita memandu di jalan raya.

Ingatlah, pemandu yang hebat ialah pemandu yang selamat sampai ke destinasi dengan cara yang paling berhemah. Memandulah dengan selamat!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: