ENAK... Mohd Azril menyusun itik salai dan ayam yang turut laris jualannya pada hari mantai.
SEJAK awal pagi lagi suasana hingar-bingar di beberapa pasar dan lokasi bahan mentah sekitar Negeri Sembilan. Senarionya hampir sama - gerai daging yang paling ramai dikunjungi pembeli.
Setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal, ia situasi biasa bagi masyarakat Negeri Sembilan, yang mana ia bagaikan pesta di seluruh negeri bagi meraikan kemunculan dua bulan mulia itu.
Sambutan meriah yang dikenali sebagai hari mantai ini diwarisi turun-temurun, dimulakan dengan amalan menyembelih kerbau atau lembu sebelum bergotong-royong membakar lemang serta memasak rendang sehari sebelum ketibaan Ramadan dan Syawal.
Jika masyarakat Cina popular dengan budaya makan besar sehari sebelum Tahun Baru Cina, orang Negeri Sembilan pula meraikan hari mantai dengan konsep yang hampir sama.
Menurut cerita generasi dulu, tradisi ini asalnya dilakukan secara berkongsi antara 10 hingga 15 orang (di kalangan ahli keluarga dan jiran tetangga) yang mana orang lelaki melakukan kerja berat, termasuk menangkap, menyembelih dan melapah haiwan, selain mencari buluh lemang dan kayu api sementara kaum wanita memainkan peranan penting di dapur atau tempat memasak.
Jika dulu, adat sambutan hari mantai ini diadakan secara besar-besaran di kawasan rumah, surau atau masjid dengan menangkap dan menyembelih ternakan sendiri sebelum dimasak secara bergotong-royong.
Bagaimanapun perubahan zaman dan kekangan masa menyaksikan generasi kini menyambutnya dalam skala kecil dengan membeli bekalan daging segar di pasar atau lokasi khas yang diwujudkan sempena mantai lalu dimasak di rumah.
Menurut Yaacob Omar, 71, daging lembu paling banyak mendapat permintaan disusuli kerbau, kambing, ayam dan itik.
“Daging lembu dan orang Negeri Sembilan memang tak boleh dipisahkan. Dalam apa jua majlis kenduri-kendara, lauk daging menjadi hidangan wajib dan sekurang-kurangnya perlu ada satu dalam setiap hidangan,” katanya.
Peniaga daging yang berasal dari Jelebu itu menambah, jualan daging lembu pada hari mantai meningkat berlipat kali ganda berbanding jualan pada hari biasa.
“Pada hari biasa, hanya seekor lembu tumbang dan mengambil masa setengah hari untuk menghabiskan jualan. Tapi untuk hari mantai ini kami berjaya menjual sehingga enam ekor lembu dalam tempoh beberapa jam.
“Bahagian daging batang pinang paling banyak permintaan dan paling cepat habis dijual, selain organ dalaman seperti hati dan limpa,” katanya yang menjalankan perniagaan itu bersama keluarga sejak 1986.
Selain menyediakan rendang daging, masak lemak daging salai juga antara menu wajib bagi penduduk di Negeri Sembilan.
Bagi peniaga daging salai, Mohd Rizal Abdullah, daging lembu yang disalai turut mendapat permintaan tinggi pada hari mantai.
“Permintaan untuk daging salai ini sentiasa ada dan tidak terhad pada hari mantai. Cuma, permintaannya agak tinggi pada hari mantai yang mana ramai pelanggan tetap terlebih dulu membuat pesanan telefon sebelum ke gerai.
“Untuk hari mantai Ramadan kali ini, rata-rata setiap pelanggan membeli 10 hingga 15 kilogram daging salai, yang mana pada hari biasa hanya tiga hingga lima kilogram setiap seorang,” katanya yang lebih 14 tahun menjalankan perniagaan itu.
Menariknya, gerai daging Yaacob dan Mohd Rizal yang terletak bersebelahan di pasar tani Ampangan itu turut menyediakan pangkin kecil bagi membolehkan pelanggan menikmati sup tulang dan daging salai yang dicicah dengan air asam.
Perniagaan ayam dan itik pada hari mantai juga turut rancak dan pembeli tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan bahan mentah itu sebagai persiapan Ramadan dan Syawal.
Mohd Azril Abd Samad, 18, berkata, itik salai menjadi pilihan pembeli di gerainya yang dijual pada harga RM30 seekor.
“Pada hari biasa, antara 20 hinga 30 ekor ayam dapat dijual tapi pada hari mantai ia meningkat sehingga 80 ekor. Itik salai pula mendapat permintaan luar biasa pada hari mantai iaitu antara 30 hingga 40 ekor, sedangkan jualannya sukar mencecah 10 ekor pada hari biasa,” katanya.
Tidak lengkap menyediakan hidangan rendang daging, ayam atau itik pada hari mantai jika tidak disertakan dengan lemang.
Bagi negeri lain, lemang lazimnya dihidangkan pada hari raya namun masyarakat Negeri Sembilan menyediakannya pada hari mantai serta boleh dinikmati sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Menurut pengusaha lemang dari Rembau, Mohd Nasir Yusof, lemang untuk jualan hari mantai disediakan sejak awal pagi kerana ia mengambil masa lama untuk benar-benar masak.
“Sebenarnya tidak susah untuk menyediakan lemang tapi sukar untuk memberikannya makan kepada orang lain. Justeru, lemang perlu dibuat mengikut cara tradisional dan memerlukan tiga jam untuk dibakar.
“Hanya 20 hingga 30 batang yang boleh dibakar pada satu-satu masa, jadi apabila tiba hari mantai, saya dibantu isteri dan anak-anak menyediakannya bagi memastikan permintaan mencukupi,” katanya yang dikenali Nasir Lemang di kalangan penduduk sekitar.
Tambahnya, permintaan amat tinggi pada hari mantai Syawal iaitu sehari sebelum hari raya kerana ramai yang mula pulang ke kampung dan singgah ke gerainya yang terletak berhampiran rumah di Kampung Sri Kendong, Rembau.
“Pelanggan tetap biasanya akan menempah terlebih dulu dan akan singgah mengambil lemang sebelum meneruskan perjalanan ke kampung mereka.
“Tapi ramai juga yang membeli terus selepas ternampak gerai saya ketika mereka melalui Jalan Rembau-Tampin ini. Pernah satu ketika kami tidak henti membakar lemang, bermula sebelum sahur, kerana ramai yang datang membeli dari awal pagi hingga ke tengah malam,” ujarnya yang turut menerima tempahan lemang untuk majlis berbuka puasa, rumah terbuka dan majlis kebudayaan dalam juga luar negara.
Sementara itu, sambutan hari mantai juga tidak tertumpu pada makanan saja. Hari mantai itu sendiri bertindak sebagai salah satu cara mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, tetangga dan masyarakat.
Pada hari itu jugalah seluruh keluarga berkumpul, mengadakan kenduri kecil serta saling berkongsi cerita dan menyelesaikan masalah keluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: