DiGi sedia pelan RM36 sehari di 40 rangkaian negara terpilih
Murty(tiga, kiri) bersama beberapa pengurusan kanan DiGi yang lain ketika diumumkan sebagai duta yang akan mempromosikan perkhidmatan perantau baru mereka.

BERKUAT kuasa 1 Ogos lalu, Pengurusan Kanan di DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pemasaran, bertindak sebagai duta besar untuk setiap perkhidmatan perantauan antarabangsanya.

Dalam satu kenyataannya, syarikat itu berkata, langkah itu sejajar kempen berterusan DiGi, “Dont' Worry Roam DiGi" sekali gus menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan Internet sesama mereka dan tidak dibebani caj dan kadar perantauan panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) di lebih 185 negara.

Perkhidmatan Internet tanpa had Perantauan DiGi TravelSure, kini diperluaskan kesepuluh negara, menjadikan jumlah keseluruhan 40 negara seluruh dunia. Di setiap negara, pelanggan kini bebas melayari, e-mel, Facebook, menggunakan perkhidmatan lokasi dan memuat turun aplikasi ke mana-mana telefon pintar dan tablet, sama seperti yang mereka lakukan di rumah tanpa bimbang dikenakan caj yang mahal.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Albern Murty berkata, misi syarikat adalah menyediakan Internet untuk semua, dan tidak hanya menikmati Internet tanpa had di Malaysia, tetapi meliputi berjuta-juta telefon pintar ketika melancong ke luar negara.

"Perkhidmatan Internet ini menyediakan caj data ketika berada di luar negara iaitu pada kadar tetap setiap hari serendah RM36 sehari di 40 rangkaian negara terpilih.

"Ini bermakna tiada kejutan bil dan pelanggan boleh terus berhubung dalam pelbagai bentuk media sosial seperti e-mel dan laman web kegemaran mereka, "katanya.

Selain itu, katanya, DiGi sentiasa mencari kelainan untuk kelihatan berbeza. Setiap pekerja DiGi adalah duta jenama dan sama juga dengan pasukan pengurusan kanan. Sebagai duta besar, kami akan menggunakan peluang ini untuk berada lebih dekat dengan pelanggan.

Antara 10 lokasi perantauan baru menyediakan perkhidmatan ini adalah Macau, Pakistan, Bangladesh, New Zealand, Poland, Slovakia, Hungary, Serbia, Sepanyol dan Brazil.