Sunday, August 12, 2012

Bersahur di hotel


BERSAHUR di hotel lebih selesa dengan kemudahan bilik dan variasi makanan.


JAM di tangan menunjukkan pukul 2 pagi. Jika diikutkan, masih terlalu awal untuk bersahur. Sementara menunggu waktu sahur, kru Jurnal bersiar-siar terlebih dulu di sekitar Petaling Street yang terletak beberapa ratus meter sahaja dari Ancasa Hotel & Spa tempat kami akan bersahur hari itu.

Lokasi itu sesuai bagi individu atau keluarga untuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana ia memiliki variasi aksesori perhiasan diri seperti kasut, baju dan pakaian.

Suatu ketika dahulu berbuka puasa di hotel kedengaran agak pelik. Tetapi kini ramai warga kota menjadikan amalan itu sebagai satu trend malah tidak kurang pula yang cuba untuk bersahur di hotel pula.

Banyak hotel yang menyediakan perkhidmatan itu sekarang. Sebagai contoh, Ancasa Hotel & Spa menawarkan menu bersahur sejak lebih tiga tahun lalu dengan pakej berharga RM29 untuk dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak.

Kepelbagaian makanan dalam hidangan bufet boleh membuatkan anda kecur air liur termasuk ulam-ulaman, telur dan ikan masin, kari ayam, ikan masak kicap dan sup kambing. Senarai menu ini bertukar setiap hari.

Sebaik sahaja melangkah ke bilik hotel, suasana cukup selesa dirasakan dengan alat pendingin hawa serta tilam yang empuk. Persekitaran sebegitu memang mudah untuk seseorang melelapkan mata.

Pukul 4 pagi, tetamu hotel mula turun untuk mengisi perut sebagai persiapan berpuasa keesokan hari.

Restoran Saffron Brasserie menjadi gelanggang untuk mereka mengambil berkat bersahur sehingga tiba waktu imsak.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Hotel Ancasa, Melinda Marie Ambrose, kebanyakan pelanggan yang bersahur pada hari itu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sedang berseminar di hotel itu.

“Suasana agak meriah kerana mereka dapat berkenalan antara satu sama lain selain merapatkan hubungan sesama Islam.

“Malah, mereka juga mengambil kesempatan bertukar-tukar idea dan berbincang mengenai sesuatu perkara kerana waktu pagi otak dan fikiran masih segar” katanya.


ANEKA juadah memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih mengikut cita rasa masing-masing.


Teruja

Jelasnya, ramai pelanggan yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah selepas bersahur.

“Cuma saya tidak dapat turut serta kerana bukan beragama Islam tetapi saya memang teruja dengan pendekatan yang diamalkan.

“Ini kerana bangun pada waktu awal pagi agak sukar. Tidak ramai orang yang boleh melakukan perkara itu,” tutur Melinda.

Menurut seorang tetamu, Norsham Sabil, 46, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dia berpeluang bersahur di hotel sejak dua tahun lepas.

“Sebenarnya bersahur di hotel menawarkan pengalaman yang menarik selain tidak perlu terkejar-kejar untuk memasak,” katanya.

Barizah Zainal Abidin, 38, pula memberitahu, dia dapat tinggal di bilik yang selesa di samping boleh menikmati pelbagai jenis makanan berkhasiat.

“Pelbagai menu makanan disediakan tetapi selera lidah Melayu saya tetap mengutamakan nasi.

“Bersahur di sini juga lebih praktikal jika kita berhajat membeli-belah di pusat beli-belah berhampiran pada waktu siang atau awal malam,” ujarnya.

Bagi Tuan Hilme Khairi Tan Yusoff, 29, ini merupakan kali pertama dia bersahur di hotel bersama isterinya, Nik Nurina Nik Saidina Omar sejak berkahwin enam bulan lepas.

“Biasanya kami bersahur ala kadar sahaja iaitu dengan makan roti atau nasi goreng. Bersahur di hotel ibarat aktiviti bulan madu kami juga,” kata Tuan Hilme bergurau.

Selain Hotel Ancasa, Hotel Marriot Putrajaya juga tidak ketinggalan dengan pakej bersahur. Apa yang uniknya, ia terus dihidangkan di bilik anda. Pakej itu ditawarkan daripada 21 Julai hingga 18 Ogos ini.

Menu yang disediakan pula meliputi soto ayam, ayam gulai lemak padang, roti, kuih-muih, telur sambal, sayur lodeh jawa dan telur fung yang pasti membuka selera.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasinya, Lydia Mae Hendaroff, pakej bersahur itu bermula pukul 3 pagi hingga sebelum waktu Subuh.

“Pelanggan hanya memesan makanan terlebih dahulu dan menetapkan masa untuk pelayan hotel membawanya ke bilik mereka.

“Makanan akan siap dihidangkan di meja bulat yang disediakan khas di dalam bilik. Selepas selesai bersahur ia akan dikemas semula,” cerita Lydia.

Ujarnya, sambutan pakej bersahur itu cukup menggalakkan, begitu juga pakej berbuka puasa.

Bagi chef hotel, Liow Toh Kai, walaupun bukan beragama Islam dia mementingkan soal pemilihan makanan halal.

“Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan. Selain itu, menu juga bertukar setiap hari.

“Sekiranya mereka inginkan menu makanan yang berbeza ia turut boleh disediakan,” katanya.

Realitinya bersahur di hotel merupakan satu budaya baharu tetapi tidak salah untuk mencubanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: