COMEL...watak kartun digemari kanak-kanak, Upin & Ipin boleh menjadi pemangkin untuk menabung.
PENGURUSAN kewangan yang baik harus diterapkan oleh ibu bapa dalam diri anak-anak mereka sejak usia kecil lagi supaya ia dapat dipupuk menjadi tabiat positif demi masa depan yang lebih terjamin bagi meningkatkan tahap ekonomi diri sendiri.
Ibu bapa perlu membimbing anak-anak mereka dalam memahami kepentingan berjimat-cermat dan berbelanja yang perlu saja menerusi pengurusan kewangan peribadi bagi mengelak amalan pembaziran.
Tabiat menyimpan kanak-kanak berakar umbi daripada didikan yang diterap ibu bapa mereka. Sekiranya tiada bimbingan, anak-anak lazimnya akan berbelanja mengikut pemahaman mereka dan dikhuatiri sikap boros menjadi tabiat yang sudah pasti merugikan diri mereka sendiri.
Anak-anak perlu diberi penerangan mengenai kepentingan menyimpan wang supaya mereka dapat memahami tujuan simpanan dibuat dan kesan jangka masa panjang amalan berkenaan.
Mendidik anak-anak untuk menyimpan wang bukan satu kerja yang mudah kerana selalunya mereka lebih cenderung untuk berbelanja sebaik menerima wang saku selain sukar melihat faedah yang bakal diterima dalam jangka panjang sekiranya mereka berjimat cermat.
Ibu bapa memerlukan kaedah berkesan dalam membimbing anak-anak mereka membuat simpanan wang, bukan sekadar menyuruh, misalnya memberi galakan dengan menunjukkan ganjaran yang anak-anak akan terima sekiranya mereka menyimpan.
Dalam menggalakkan anak menyimpan, ibu bapa boleh menyamakan simpanan dengan menambah wang yang bersamaan dengan jumlah yang disimpan anak-anak. Contohnya, apabila anak menyimpan 50 sen, ibu atau bapa juga akan memasukkan nilai sama dalam tabung anak.
Membuka akaun bank untuk anak-anak juga dilihat mampu menjadi pendorong kepada mereka untuk menyimpan dengan menambah angka yang tertera pada buku simpanan, selain menggalakkan anak-anak meletakkan sasaran tertentu jumlah yang ingin dicapai.
Kanak-kanak perlu diajar wang saku yang mereka terima setiap hari sebagai belanja ke sekolah tidak harus digunakan semuanya, sebaliknya sebahagian daripadanya perlu disimpan.
Setiap kali anak menerima wang, mereka perlu diajar untuk mengenepikan sedikit bagi tujuan simpanan supaya tabiat menabung dapat dipupuk dalam diri mereka.
Selain itu, mereka perlu diajar bahawa wang tidak mudah didapati dan semua orang perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Setiap kali anak inginkan sesuatu, galakkan mereka menyimpan sendiri wang poket sehingga jumlah diperlukan dicapai.
Untuk lebih menarik, ibu bapa boleh melukis termometer dan setiap kali anak menyimpan, warnakan bahagian yang perlu pada lukisan itu untuk menunjukkan peningkatan simpanan yang boleh dilihat dan difahami oleh anak-anak.
Anak-anak mungkin tidak tahu kepentingan sebenar menyimpan wang tetapi sekiranya mereka digalakkan dengan cara yang betul, mereka akan menyimpan dan matlamat sebenar ibu bapa pada peringkat ini adalah menjadikan menyimpan sebagai tabiat anak-anak.
Pemberian hadiah kecil seperti patung kegemaran atau membawa anak keluar ke tempat menyeronokkan juga boleh menjadi satu galakan mental kepada anak-anak untuk terus menyimpan.
Cara lain yang boleh digunakan bagi menggalakkan anak menyimpan adalah dengan meletakkan gambar barangan yang diinginkan atau perkara yang hendak dilakukan supaya ia boleh menjadi pembakar semangat untuk terus menyimpan dengan giat.
Dalam usaha menggalakkan anak menabung, paling penting ibu bapa sendiri perlu menunjukkan teladan yang baik dengan membuat tabungan secara berterusan termasuk menunjukkannya di hadapan anak-anak supaya amalan positif itu mudah menjadi ikutan.
Sediakan juga tabung cantik bersaiz besar atau lebih bagus sekiranya ia telus cahaya supaya anak-anak dapat melihat sendiri simpanan mereka bertambah setiap hari.
Setiap kali anak-anak menyimpan, mereka harus diberi pujian serta dorongan untuk meneruskan tabiat itu kerana ia akan memberi kelebihan dalam jangka masa panjang.
Hakikat itu turut diakui institusi perbankan, Hong Leong Islamic Bank (HLISB) yang memperkenalkan Kad Debit Tambah Nilai Upin & Ipin Junior-I, sebagai antara kewangan pintar bertujuan membantu ibu bapa membimbing anak memahami kepentingan berjimat serta pentingnya pengurusan kewangan peribadi.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata kad itu boleh menjadi alat kewangan efektif dan berguna untuk mendidik kanak-kanak di bawah umur 18 tahun membuat keputusan serta mengawal duit poket yang disediakan ibu bapa setiap bulan.
Beliau berkata, kad berkenaan dipakej bersama akaun simpanan Junior Savings-i dan akaun pelaburan Junior General Investment Account-i. Ia boleh digunakan di semua kedai rangkaian Visa dan Meps serta berfungsi sebagai kad juruwang automatik (ATM).
“Ibu bapa hanya perlu memiliki akaun simpanan Hong Leong Multi-tier Saving Account-i atau akaun semasa untuk melakukan pindahan dana ke kad milik anak.
“Tambah nilai bukan saja boleh dilakukan menerusi kaunter cawangan, ATM dan Hong Leong Connect, tetapi boleh dibuat melalui tambah nilai bulanan automatik dalam gandaan RM50.
“Selain menggalakkan penabung muda menyimpan wang, kami juga membantu mereka mengecapi manfaat jangka panjang menerusi pelaburan bulanan, perlindungan Takaful PA percuma 24 jam di seluruh dunia, serta insentif wang tunai bagi pemegang kad cemerlang akademik,” katanya pada pelancaran kad berkenaan dengan kerjasama syarikat penerbitan Upin & Ipin, Les Copaque Sdn Bhd, baru-baru ini.
Pihaknya ingin menggalakkan kesedaran bahawa nilai pelaburan dapat dipupuk di kalangan anak-anak kecil.
“Ia adalah kaedah berkesan dan amat berguna untuk mendidik anak kecil dalam teknik pengurusan kewangan yang juga satu kemahiran yang harus ditekankan ibu bapa masa kini supaya masa depan kewangan anak-anak mereka terjamin.
“Dengan pengenalan kad debit ini juga pemegang akaun muda mempunyai kebolehan membuat keputusan kewangan serta memilih masa sesuai untuk menggunakan kad selain mengawal perbelanjaan mereka. Ibu bapa pula boleh memantau tabiat berbelanja anak-anak secara dalam talian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: