SEREMBAN – Program tahunan Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, di sini sekali lagi mendapat sambutan hangat apabila ia dibanjiri orang ramai yang mahukan bekalan keperluan hari raya seperti daging, ayam serta bahan masakan pada harga murah.
Tumpuan tentunya di gerai daging yang menawarkan harga RM18 sekilogram berbanding harga siling RM22 di bawah Skim Kawalan Harga Hari Raya Aidilfitri 2012.
Turut dijual murah ialah ayam bersih pada harga RM5.90 sekilogram.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan sehingga bekalan peniaga habis pada malam pelancaran sedangkan program jualan dijadual berakhir semalam.
“Untuk tahun ini kita sediakan bekalan 200 ekor lembu, kerbau, kambing dan rusa masing-masing 50 ekor, ayam daging sebanyak 3,000 ekor dan itik salai pula 1,000 ekor,” katanya pada sidang akhbar Program Mantai Perdana Aidilfitri 2012 di sini malam kelmarin.
Katanya, program dua hari yang dijalankan sejak lima tahun lalu itu kini sudah menjadi acara tahunan yang semakin mendapat sambutan di negeri ini.
“Malah program ini sudah menjadi trademark bagi kita sebab itu kita sudah buat dua hari berbanding pada tahun pertama hanya buat satu hari. Ketika itu ramai orang yang tidak berpeluang mendapatkan daging kerana sudah habis.
“Maka kita buat dua hari, malam ini (malam kelmarin) dan hari ini (semalam), itupun bergantung kepada bekalan peniaga kerana jika sudah habis, mereka akan tutup gerai lebih awal,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: