CIUMAN SUAMI...Zila dijangka bersalin pada Disember ini.
SELAIN meraikan kemeriahan Aidilfitri buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri, apa yang lebih menggembirakan Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 29, dan isteri, Nazirah Ayub (Zira), 24, adalah debaran menunggu kelahiran zuriat sulung mereka, Disember ini.
Bahkan Nabil turut mengharapkan anak sulungnya lahir pada tanggal 12.12.2012 walau pun doktor menjangkakan kelahiran tanggal 13 Disember nanti.
Justeru, penyampai radio Suria FM itu berkata, segala persiapan sebenarnya lebih tertumpu pada persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka tidak lama lagi.
“Persiapan Aidilfitri kami, biasa biasa saja. Raya pertama akan disambut di kampung keluarga Zira di Sungai Siput, Perak. Kami akan pulang pada Jumaat ini sehingga Ahad. Sepanjang di kampung, kami akan menziarahi rumah sanak saudara untuk berhari raya serta mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kami tidak boleh lama di kampung kerana saya akan mula bertugas di konti pada raya kedua (Isnin) mengendalikan Ceria Pagi Di Suria bersama Halim Othman dan Kenchana Dewi. Selama tujuh bulan bekerja di radio, saya sangat seronok dan selesa. Saya pun makin mahir dalam konti.
“Ditambah lagi, sekarang pun saya sudah ada segmen sendiri iaitu Detektif TerConan yang ke udara setiap Ahad, jam 3 petang, mulai 29 Julai lalu. Jadi, tak dinafikan ia semakin menaikkan semangat saya untuk bekerja dengan lebih gigih demi memastikan pendengar terhibur.
“Saya pun tidak kisah kalau sampai bila-bila bekerja di radio. Saya bangga kerana Zira cukup memahami dengan tuntutan kerja ini dan apa yang dilakukan adalah untuk keluarga kami juga,” katanya.
Masih aktif menjayakan program televisyen, Nabil turut memaklumkan pada Aidilfitri ini, dia akan muncul dalam lima rancangan TV istimewa iaitu Karoot Komedia X Raya, Warna Raya, Akustika Raya, Bedah Tong Gas Raya dan Eh! Ni Baru Betul Raya. Katanya pada masa yang sama tawaran berlakon pun masih banyak diterima.
“Bagaimanapun, tak semua tawaran saya setuju. Tawaran membintangi filem, saya tak ambil langsung buat masa ini kerana tak sesuai dengan masa. Apa yang paling utama adalah kerana saya tidak dapat beri komitmen. Oleh itu, daripada menyusahkan orang lain dan tamak, lebih baik saya fokus mana yang sudah ada. Saya tidak kecewa atau ralat terpaksa menolak tawaran itu,” jelasnya.
Mengenai dakwaaan dirinya yang semacam sudah kurang popular, Nabil berkata dia bahagia dengan perjalanan kariernya sekarang. Katanya zaman awal dulu dia memang kena menonjol dan sampai satu tahap dia mahu semuanya tidak keterlaluan kerana tanggung jawab semakin banyak.
Kata anak jati Mambau, Negeri Sembilan yang pernah meraih gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ini, apa yang membuatkan dia bangga ialah status pelawak di negara ini semakin menjadi perhatian.
“Jadi saya amat berterima kasih kepada pelawak terdahulu seperti Imuda, Sathiya, Datuk Yahya Sulung dan ramai lagi yang sebenarnya menjadi nadi penggerak semangat generasi pelawak baru macam kami. Merekalah pelawak sepanjang zaman.
“Pun begitu, apabila Saiful Apek memecah tradisi pelawak menjadi Bintang Paling Popular diikuti saya, ia satu pencapaian bagi kami semua barisan pelawak dan artis komedi.
Bukan senang nak buat orang ketawa,” ujarnya.
Nabil turut akui doanya dimakbulkan Tuhan untuk memiliki cahaya mata, sebaik dia melaksanakan tuntutan agama dengan membayar zakat.
“Selepas tiga hari membayar zakat, isteri saya Zira disahkan hamil. Semua ini ada hikmah yang besar,” katanya lagi
Sementara itu Zira sama seperti suaminya yang tidak sombong dan mesra. Zira bersyukur bertemu jodoh dengan Nabil yang disifatkan sebagai seorang suami penyayang, rajin, bertanggungjawab dan suka bermanja. Ujar Zira, Nabil juga tidak terlalu cerewet soal makanan dan tidak suka menyusahkannya.
“Sempena Aidilfitri kali ini saya mahu belajar masak rendang dan kuah kacang yang menjadi makanan kegemaran Nabil. Setakat ini, saya masih tak mahir memasak rendang tapi akan terus mencuba. Seronok buat eksperimen di dapur. Nabil sebenarnya lebih suka makanan bergoreng berbanding yang berkuah.
“Apapun, persiapan raya kami untuk tahun ini memang sederhana. Ini kerana macam Nabil cakap, keutamaan kami adalah persediaan untuk bayi sulung yang akan lahir tidak lama lagi. Yang penting, saya nanti kita bermaafan dengan semua orang dan berkunjung ke rumah terbuka,” katanya.
Menyentuh soal alahan dan mengidam, Zira yang mengandung lima bulan berkata dia bersyukur kerana semua alahan awal sudah hilang.
Pun begitu, hingga sekarang dia masih belum menemui apam balik nipis yang diidamkan. Katanya sudah puas juga dia mencari tetapi masih belum ditemui. Namun pencarian itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Saya sebenarnya tidak terlalu sangat melayan soal mengidam. Namun harapnya dapatlah jumpa apam balik nipis tu. Pernah juga dia mengidam nak makan durian dan mi udang. Pun Pun begitu, Zira berkata Nabil kurang setuju apabila dia teringin makan durian kerana durian panas,” katanya.
Ditanya apakah dia akan menjadi suri rumah sepenuh masa, Zira mahu menjadi wanita bekerjaya. Namun semuanya akan difikirkan selepas melahirkan anak nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: