Sunday, August 5, 2012

Anak-anak lelaki bujang


OTHMAN belum memikirkan soal kahwin kerana ingin menumpukan perhatian kepada 60 orang anak yatim di bawah jagaannya.


OTHMAN AHMAD ialah seorang lelaki biasa. Pemakaian dan cita rasanya sama seperti kaum adam yang lain.

Dia masih bujang. Begitupun, lelaki yang berasal dari Taiping, Perak berumur 39 tahun ini telah mempunyai 60 orang anak angkat. Kesemua mereka merupakan anak-anak yatim.

Malah, dia sanggup menggunakan wang simpanannya demi anak-anak yang menumpang teduh di Rumah Nur Hikmah, Kajang, Selangor.

Rumah kebajikan itu diasaskan Othman pada tahun 2005. Menurut Othman, dia telah terlibat dengan kerja-kerja kebajikan sejak remaja lagi.

“Saya aktif dengan aktiviti masjid dan surau bersama penduduk sekitar Taiping dan Kajang.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kajang sebelum mengabdikan diri dan berbakti untuk anak yatim,” katanya.

Berpindah

Cerita Othman, dia memulakan amalan mulia itu selepas sebuah pusat jagaan anak yatim di Cheras, Kuala Lumpur ditutup pada tahun 2003 atas sebab tertentu.

Dia yang khuatir dengan nasib 45 orang anak yatim di situ mengambil keputusan berhenti kerja dan menyewa sebuah rumah berhampiran untuk menempatkan kanak-kanak itu.

“Ramai rakan yang mengatakan saya gila kerana melakukan kerja sukarela itu.

“Biasanya paling ramai orang mengambil anak yatim sebagai anak angkat ialah dua orang tetapi saya 45 orang sekali gus.

“Tetapi itu tidak mengapa, jika kita ikhlas membantu, soal kewangan dan pembiayaan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tidak akan menjadi masalah. Ada rezeki yang Allah beri,” tutur Othman.

Jelasnya, selepas berhenti kerja, dia membuka perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit, pakaian dan lukisan khat. Perniagaan itu menjadi antara sumber kewangan rumah anak yatim tersebut.

Othman bersyukur kerana dua tahun selepas itu, Rumah Nur Hikmah diberikan tanah dan bangunan sendiri di Kajang.

Katanya, dia juga menggunakan wang simpanan sebanyak RM30,000 yang merupakan wang persediaan untuk berkahwin, bagi menampung perbelanjaan bulanan rumah kebajikan tersebut.

Telatah

“Syukur saya juga mendapat bantuan kewangan dan keperluan harian daripada badan korporat dan orang perseorangan.

“Soal wang simpanan itu tidak menjadi masalah kerana wang boleh dicari. Hakikatnya, membantu mereka yang memerlukan adalah satu kewajipan,” katanya.

Dia juga ditanya tidakkah dia ingin berkahwin dengan wanita pilihannya memandangkan usianya semakin lanjut.

Tutur Othman, bohong sekiranya seorang lelaki normal sepertinya enggan berkahwin.

“Tapi saya kini ada 60 orang anak lelaki dan perempuan yang berusia antara setahun enam bulan hingga 18 tahun yang perlu dijaga.

“Jika ada jodoh adalah. Semua lelaki ingin berkahwin dan mempunyai isteri yang boleh menjaga makan dan minum mereka tetapi masanya belum tiba untuk saya.

“Duka dan gembira anak-anak ini telah banyak mengubat hati saya. Merekalah yang telah memberikan saya semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” tegasnya.

Othman berkata, tidak sukar untuk menjaga kesemua anak yatim tersebut kerana dia dibantu oleh 12 orang adik-beradiknya yang lain.

“Syukur kerana ada anak yatim jagaan saya yang telah berjaya melanjutkan pelajaran di kolej. Ada juga yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah,” ujarnya.

Anak yatim Othman juga datang daripada pelbagai negara seperti Thailand, Myanmar, Indonesia, Sudan dan Bangladesh.

Bercerita mengenai pengalaman pahitnya pula, dia menyatakan pernah bekalan air ke rumah itu dipotong akibat kekurangan sumber kewangan untuk membayar bil. Adakalanya makanan pun perlu dicatu.

“Tetapi anak-anak ini sangat tabah dan menerima keadaan itu seadanya. Yang penting bagi mereka ialah ada individu yang menjaga dan mengambil berat perihal mereka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: