Pelakon, Yatt Hamzah
Pelakon, Yatt Hamzah

Ramai yang sudah mengetahui akan penghijrahan pelakon dan pengacara terkenal, Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, sejak hampir sebulan lalu yang tampil lebih ayu dengan mengenakan tudung.

Penghijrahannya bermula setelah terlibat dalam aktiviti usrah yang turut disertai rakan artis, Irma Hasmie sejak Disember tahun lalu sedikit sebanyak membuka pintu hatinya untuk bertudung.

Berkecimpung sebagai anak seni, ibu kepada Suci Hanania Malika Abdul Mutalib, 2, ini tidak pernah menganggap penghijrahannya telah menutup pintu rezekinya.

Menurut wanita kelahiran Muar, Johor ini, sehingga kini, dia masih menerima tawaran lakonan seperti biasa, cuma dia sendiri yang terpaksa menolak kerana tidak bersesuaian dengan imej barunya.

“Alhamdulillah, semenjak bertudung ini banyak tawaran lakonan yang saya dapat tetapi saya terpaksa menolak dengan cara baik.

“Ini kerana, kebanyakan watak memerlukan saya membuka tudung. Walaupun hanya seketika seperti babak di rumah, saya tidak sanggup melakukannya, maka lebih baik saya menolak tawaran itu,” katanya kepada Zass.

Tidak mahu melanggar prinsip semata-mata mengejar tawaran lakonan, kata Yatt, dia semakin selektif dalam memilih watak agar batasannya sebagai wanita Islam sentiasa dijaga.

“Dalam lima tawaran lakonan bulan ini, ada sebuah drama yang saya terima kerana tidak perlu membuka tudung.

“Walaupun terpaksa diturunkan pangkat daripada pelakon utama kepada pelakon pembantu, saya tidak kisah asalkan tidak perlu mengorbankan prinsip saya,” katanya yang tidak mahu lagi membawakan watak wanita penggoda seperti yang selalu dibawakannya sebelum bertudung.


Diundang jayakan forum agama

Berharap pihak produksi dapat membuka lebih banyak peluang untuk wanita bertudung, Yatt bersyukur kerana pintu rezekinya tetap terbuka di cabang lain.

Menurut Yatt, sejak penghijrahannya itu, dia kerap menerima undangan sebagai ahli panel di forum-forum agama.

Ternyata, pembabitannya itu telah memberi pengalaman baru buat Yatt yang langsung tidak pernah dijangka olehnya sebelum ini.

“Pada awalnya, saya agak gugup juga apabila perlu bercerita soal agama di forum-forum memandangkan ilmu saya yang tidak seberapa ini.

“Namun, lama kelamaan saya semakin seronok. Apatah lagi, dapat berkongsi pengalaman sendiri bertudung dan seterusnya memberi inspirasi kepada wanita yang memiliki keinginan untuk memakainya,” katanya merendah diri.

Selain terlibat dalam forum, Yatt juga sudah mendapat tawaran untuk mengacarakan program berbentuk keagamaan di sebuah stesen televisyen.

“Setakat ini, semuanya masih dalam perbincangan. Insya-ALLAH jika menjadi, ia memberi perspektif baru dalam kerjaya pengacaraan saya kerana pertama kali mengendalikan rancangan Islamik.

“Sebagai persediaan, saya sering merujuk kepada ustaz dan rakan-rakan yang lebih arif selain menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan,” katanya yang terlebih dahulu dikenali sebagai model sebelum bergelar pelakon dan pengacara.


Terima kritikan

Masih berusaha untuk memperbaiki diri, perjalanan Yatt bukanlah semudah disangka kerana dia tidak terlepas daripada menerima pandangan negatif masyarakat.

Niat ikhlasnya tatkala berkongsi pengalaman bertudung bagaimanapun disalah anggap segelintir pihak yang melabelkannya sebagai riak.

Ada kalanya terkesan dengan tohmahan sedemikian, jelas Yatt, langsung tidak terdetik di hatinya untuk bermegah-megah dengan penghijrahannya.

“Saya sudah bertanya kepada ustaz mengenai hal ini dan mereka memberi galakan serta panduan kepada saya untuk meneruskannya.

“Bagi saya, yang penting biarlah niat itu ikhlas dan bukan untuk berlagak, kerana saya anggap ini adalah sebahagian daripada dakwah kecil-kecilan saya,” katanya yang bersyukur sentiasa menerima sokongan padu daripada insan terdekat.