Tuesday, May 1, 2012

Tiada niat tipu pendengar

Yusry Abu Samah
Yusry Abu Samah
PELBAGAI pertandingan atau peraduan yang ditawarkan oleh stesen radio memang cukup menarik, lebih-lebih lagi dengan hadiah wang tunai yang agak menggiurkan.

Ini semua dilakukan untuk meraih jumlah pendengar seramai yang boleh. Matlamat setiap radio ini memang tidak salah. Cuma format pertandingan yang agak kabur dan mengelirukan menyebabkan berlaku salah faham pendengar sehingga mereka berasa tertipu.
Inilah yang berlaku ke atas peraduan Ketawa & Ceria anjuran radio Suria FM apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dan mendakwa peraduan itu mengelirukan sehingga dilihat seolah-olah cuba menipu pendengar.
Nilai wang yang kami letakkan memang berjumlah RM250,000. Namun pemenang utama hanya mampu mendapatkan wang tunai RM22,400. Sebagai hadiah tambahan, kami menambah RM10,000 lagi menjadi RM32,400. Tidak ada sebab untuk menipu pendengar kami. Mungkin apa yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham serta keliru dengan syarat yang diberikan. - Yusri Abu Samah, Ketua Operasi Suria FM
Menurut aduan yang dikirimkan menerusi ruangan Surat Pembaca itu, seorang pengirim yang mahu dikenali sebagai Pendengar Prihatin ini mendakwa stesen radio itu mengelirukan pendengar dengan prosedur peraduan itu.

Antara lain katanya, program yang berlangsung selama sebulan bermula 13 Mac itu tidak menawarkan hadiah seperti yang mereka dihebahkan sebelum ini apabila pemenang pertandingan akhir peraduan itu memenangi wang tunai berjumlah RM32,400, bukan RM250,000.

Pendengar Prihatin itu juga turut mempertikaikan stesen radio ini yang hanya menawarkan wang sagu hati RM100 kepada finalis sekali gus menganggap ia tidak berbaloi dengan tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan peserta berkenaan semata-mata untuk menyertai pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.

Ketua Operasi Suria FM, Yusri Abu Samah ketika ditemui Hip di pejabatnya di Petaling Jaya, menegaskan stesen radio itu tidak pernah sama sekali cuba menipu pendengarnya.
"Dalam terma dan syarat yang kami nyatakan, pemenang peraduan Ketawa & Ceria akan ditawarkan hadiah berjumlah sehingga RM250,000. untuk pertandingan akhir, yang mana pemenang diuji dari segi kemahiran iaitu ketangkasannya untuk mendapatkan seberapa banyak wang yang boleh diambilnya dalam tempoh masa ditetapkan.

"Dalam balang itu, nilai wang yang kami letakkan memang berjumlah RM250,000. Namun pemenang utama hanya mampu mendapatkan wang tunai RM22,400. Sebagai hadiah tambahan, kami menambah RM10,000 lagi menjadi RM32,400. Tidak ada sebab untuk menipu pendengar kami. Mungkin apa yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham serta keliru dengan syarat yang diberikan," jelasnya.

Sambil menyifatkan adalah perkara biasa jika ada yang tidak puas hati dalam mana-mana peraduan, Yusri bagaimanapun kecewa apabila ada pihak menganggap Suria FM begitu terdesak untuk mendapatkan jolokan nombor satu sehingga sanggup melakukan taktik kotor sebegitu.

"Untuk apa kami bertindak sedemikian? Peraduan yang kami jalankan ini memang telus. Kalau kami menipu, masakan ramai peserta akhir meminta kami mengadakan semula peraduan ini pada masa akan datang.

“Sebagai stesen radio yang mengutamakan kehendak pendengar, kami sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada mereka.

"Disebabkan itulah kami memberikan wang sagu hati kepada finalis. Pada awalnya, kami memang tidak ada perancangan untuk memberikan hadiah kepada finalis lain kecuali pemenang utama kerana itu memang tiada dalam syarat awal. Tapi kami bermurah hati untuk memberikan wang berjumlah RM100 seorang atas dasar komitmen yang mereka berikan," terangnya.

Meskipun sedikit ralat dengan dakwaan yang dilemparkan itu, Suria FM memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati atas apa yang berlaku.

"Insya-Allah pada masa akan datang, kami akan cuba memperbaiki mana-mana yang kurang demi untuk memuaskan hati pendengar stesen radio ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: