Sunday, May 6, 2012

Scha & Awal melayar bahtera

pix_gal0
ALHAMDULILAH. Apa yang dirancang sejak berbulan lalu dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan mereka hampir ke penghujungnya. Selebihnya kini terletak sepenuhnya kepada Awal Ashaari, 31, dan isterinya, Scha Alyahya, 29, dalam merencana serta mencorak bahtera perkahwinan yang baru dibina.

Tiga tahun menyulam cinta dan asmara, Awal sah bergelar suami kepada Scha Alyahya pada malam 4 Mei lalu pada majlis ijabkabul di Hotel Pullman, Putrajaya. Pada malam itu juga turut berlangsung majlis berinai di lokasi sama. Malam ini pula berlangsung majlis resepsi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Scha dan Awal memaklumkan kepada B*POP pada Rabu lalu, mereka baru selesai melunaskan proses penyediaan visa untuk terbang ke New York bagi mengecapi detik bulan madu selama sembilan hari. Mereka ke sana bermula 10 hingga 18 Mei ini.
Berkongsi cerita pasangan ini, Scha dan Awal turut sudi berkongsi gambar praperkahwinan mereka yang dirakam 24 April lalu hasil sentuhan syarikat fotografi, Candidsyndrome.com yang mendapat sentuhan konsep jurugambar terkenal, Saiful Nang berlatar belakangkan lokasi stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Memilih busana koleksi peribadi masing-masing, Awal segak digambarkan sebagai seorang askar yang pergi berjuang, manakala Scha cantik disolek Tiar Zainal sebagai gadis kampung yang ditinggalkan. Tak kurang juga yang melihat gaya kedua-duanya seperti dalam filem Pearl Harbour dan Awan Dania yang cukup sinonim dengan Scha.

Scha yang sedang membiasakan diri untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri tidak melihat status barunya itu sebagai satu tekanan, sebaliknya satu fasa kehidupan yang akan dilalui mana-mana golongan sepertinya.

“Saya sudah suarakan kepada Awal, kami sama-sama akan melengkapi diri masing-masing. Jika ada yang terkurang daripada saya dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri, saya harap Awal akan terbuka dan menegur. Cuma, saya tidak akan terlalu drastik merubah tanggung jawab baru ini. Lebih afdal jika saya lakukan selangkah demi selangkah. Berdasarkan pengamatan saya terhadap kawan yang sudah berkahwin, ada yang berubah secara mengejut. ‘Sakit’ jadinya kalau tak dapat nak menguruskan rumah tangga yang baru dibina.
“Oleh itu, saya harus bersedia dengan kuat daripada segi fizikal dan mental. Tetapi sebagai manusia biasa, sekuat mana saya cuba bertahan, tak mustahil saya akan melatah. Tapi, saya percaya Awal seorang yang memahami dan dia dapat membantu saya menangani kehidupan berdua ini dengan sebaik mungkin. Insya-Allah,” kata Scha membuka mukadimah bicaranya.

Memilih teman hidup dalam jalur perjuangan sama, Scha menyifatkan dia dan suami tercinta lebih memahami rentak dan perjalanan dunia anak seni. Maka, Scha tidak melihat fasa baru hidupnya sebagai penghalang untuknya terus berkarya dan berkongsi bakat seni yang sudah dimulakan selama ini.

“Cuma sebelum ini, Awal pernah mengeluarkan kenyataan saya perlu pulang ke rumah sebelum jam 12 tengah malam dan kesannya ramai rakan media yang melihat ia sebagai sesuatu yang serius. Hakikatnya, Awal hanya berseloroh dan tugas dia untuk memperbetulkan balik kenyataan itu kepada teman media.

“Tiada bezanya pun seperti kehidupan solo, cuma bezanya kami kena tahu tanggung jawab masing-masing. Tanggung jawab jadi lebih berat. Sebagai isteri, saya juga perlu menjaga adab dan nama baik rumah tangga kami. Saya kena sentiasa peka dan sedar ruang. Sebaiknya, saya tak boleh tunggu sampai kena tegur,” kata Scha yang amat berharap impian untuk menjejaki kota New York menjadi kenyataan dan lebih manis bersama arjuna hati kesayangannya.

Tambah Scha lagi, selain New York, dia juga ‘mengidam’ untuk sampai ke Monaco. Akui Scha, mungkin hasrat ke sana akan diusahakan pada suatu masa yang lain dan diikuti menjelajah ke negara Eropah. Pada 30 Mei ini juga Scha akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-29.

Diajukan soalan bonus mengenai apa saja yang terbuku di hatinya mengenai nekad dan kehendak hatinya memilih Awal sebagai suami. Adat bercinta, hubungan Scha dan Awal juga dicemburui dan dicerca ramai. Akui Scha, tiada apa lagi yang terbuku. Sebaiknya bermula saat ini, Scha harus memikirkan tanggung jawabnya sebagai isteri tanpa mengambil kira apa saja pandangan negatif orang.

“Saya hanya mampu berharap perkahwinan dibina ini akan kekal sampai bila-bila. Tidak kiralah yang merestui atau tidak perkahwinan kami ini, saya harap mereka akan bergembira dengan kegembiraan yang kami sedang kecapi. Amin,” kata Scha yang akan mula sibuk dengan penggambaran filem terbaru berjudul Dampak sekitar bulan depan.

Perbaiki diri selepas bergelar suami

SEMENTARA itu , bagi Awal Ashaari, dia melihat gelaran suami yang baru diterimanya itu sebagai medan transformasi diri terbaik buatnya. Sama ada bersedia atau tidak memikul tanggung jawab ini, Awal mencuba sedaya upaya untuk membiasakan diri.

“Dulu sebelum kahwin, saya umpamakan diri ini macam remaja riang ria. Jadi bila nak kahwin, Scha lebih banyak menegur saya menjadi lebih matang. Nak kata saya bersedia 100 peratus untuk memikul tanggung jawab baru ini tidaklah juga. Ia takkan terjadi dalam tempoh yang cepat.

“Saya akan memperbaiki dan bermuhasabah diri. Berbanding saya, Scha lebih cepat matang daripada saya. Selalunya juga golongan wanita lebih cepat matang daripada lelaki. Daripada awal perkenalan kami lagi, sudah terserlah sikap kematangannya dan itu juga antara yang menambat hati saya.

“Sedangkan saya pula jenis bersikap asal boleh. Malah, selama tempoh kami bercinta, saya banyak belajar pelbagai perkara daripadanya. Antaranya semua benda kena rancang supaya lebih teratur, selain mempunyai sebab musabab tersendiri. Setiap persoalan ditanya Scha, pasti ada jawapan kenapa begitu jadinya,” katanya jejaka kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Ditanya mengenai gelagat dan sikap buah hatinya itu beberapa minggu sebelum hari bersejarah mereka berlangsung, Awal memberitahu, dia dapat melihat Scha dalam teruja turut bercampur rasa berdebar. Sebagai lelaki yang sudah lama kenal cinta hatinya, Awal sudah dapat mengagak.

“Dia memang jenis cool dan tak tunjuk dia sebenarnya berdebar. Hakikatnya dia adalah sebaliknya. Biasalah darah manis dan soal kahwin juga bukan benda main. Dia juga agak cepat terusik hati dengan percakapan saya dalam tempoh kami menghitung hari bahagia,” katanya yang mula memperlahankan kerjaya seni sejak Januari lalu demi memberi tumpuan kepada perancangan hari perkahwinan mereka.

Kata Awal, dalam tempoh berehat, dia sebenarnya masih menerima tawaran kerja secara kecil-kecilan seperti mengacara termasuk memberikan komitmen sebagai pengacara baru Melodi TV3 di samping Zizan. Bagaimanapun, sepanjang berbulan madu, ketiadaannya nanti bakal digantikan dengan Sarimah Ibrahim.

“Sehari selepas kami dijadualkan pulang bermadu, saya sudah mula kembali bekerja. Lebih manis, kerja yang saya akan buat itu menjadi yang pertama dan merealisasikan impian selama ini terbuku. Saya akan muncul dengan program bual bicara sulung di TV9. Program itu dinamakan Awal Lagi dan akan bersiaran setiap malam Sabtu,” kata Awal bersyukur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: