Penguatkuasa Imigresen memeriksa dokumen warga asing terbabit dalam operasi berkenaan.
$entry.content.caption.value

SEREMBAN – Sebuah kedai makan yang diuruskan seorang warga asing diperiksa Jabatan Imigresen negeri, di sini dalam operasi sekitar Taman Jasmin, dekat sini malam kelmarin.

Kedai makan yang lengkap dengan kafe siber itu dikesan menjadi tempat melepak warga Myanmar, selain menjadi tempat tumpuan untuk mendapatkan pelbagai jenis masakan negara mereka.
Pengarah Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman yang mengetuai operasi berkenaan berkata, kedai berkenaan dimiliki seorang pengusaha warga Myanmar dan disyaki sudah beroperasi sejak hampir dua tahun.
“Hasil pemeriksaan, kita dapati ia tidak mempunyai lesen perniagaan sah sejak beroperasi hampir dua tahun lalu.
“Malah, lelaki yang dipercayai pemilik premis itu gagal menunjukkan sebarang dokumen menyebabkan kita mengambil tindakan membawanya ke Depoh Tahanan Lenggeng, di sini untuk tinda­kan susulan,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi bermula kira-kira 9 malam dan berakhir kira-kira lapan jam selepas itu, seramai 105 warga asing diperiksa dan 12 daripadanya mereka ditahan.
Operasi dijalankan bersama 19 anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri.
Menurut Faizal, kesemua ditahan dikenalpasti melakukan pelbagai kesalahan, antaranya tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Dalam operasi ini, kita juga menyerbu lebih 20 rumah sewa pekerja asing dan dua tapak pembinaan.
“Hasil pemeriksaan, kita berjaya menahan 11 lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Faizal Fazri berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun dan dibawa ke Depoh Tahanan Lenggeng, di sini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen negeri akan terus mempergiatkan operasi sebegini dari masa ke semasa bagi memastikan warga asing yang menduduki di negara ini sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.