|
|
SIAPA sangka hobi membantu ibu membuat kuih ketika saman kanak-kanak kini menjadi sumber pendapatan pemilik Ita’s Delight, Rozita Abd. Kader, 35.
Beliau mula menjalankan perniagaan kek dan biskut secara sambilan dari rumah pada tahun 1997 disebabkan terikat dengan kerjaya sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta.
“Pada masa itu, saya mencari kembali resipi kuih warisan ibu dan ternyata kebanyakan pelanggan khususnya rakan serta keluarga terdekat menyukainya,” kata ibu kepada dua orang anak ini.
Disebabkan perniagaan yang semakin berkembang, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2007.
“Sejak itu, saya serius menjalankan perniagaan secara sepenuh masa. Saya beroperasi dari rumah selama setahun sebelum membuka kedai di Klang, Selangor.
“Dengan bermodalkan RM50,000 saya membangunkan sebuah kedai untuk memudahkan saya menjalankan perniagaan,” jelasnya yang mempunyai ejen jualan di seluruh negara.
Bagi menambah pengetahuan dalam bidang tersebut, Rozita sering mengikuti kelas masakan kek dan biskut.
Jelas isteri kepada Aznan Abu Hassan, 45, itu, setakat ini beliau sudah mempunyai koleksi tujuh buah buku resipi.
“Idola saya dalam bidang ini ialah Chef Liza Zainol. Saya ada menyimpan angan-angan untuk menjadi seperti beliau suatu hari nanti.
“Setiap rancangan masakannya akan saya ikuti bagi dijadikan rujukan untuk saya mengendalikan bengkel masakan kek, biskut, kuih tradisional dan puding yang diadakan setiap hujung minggu,” beritahu beliau.
Rozita berkata, beliau selalu mencuba resipi kuih yang dihasilkan chef selebriti itu.
Salah satunya ialah biskut daisy yang menggunakan minyak jagung Daisy sebagai bahan penyedap.
Beliau memberitahu, itulah kali pertama beliau menggunakan minyak jagung Daisy untuk menghasilkan biskut dan ternyata percaturannya tidak sia-sia apabila hasilnya amat memberangsangkan.
“Selalunya untuk membuat biskut, bahan utama yang digunakan ialah marjerin atau mentega tetapi berbeza pula apabila menggunakan minyak jagung Daisy kerana biskut akan menjadi lebih sedap dari segi rasa dan tekstur, begitu juga penampilannya.
Mufin
“Biskut daisy yang dihasilkan dengan minyak jagung Daisy serta campuran oat dan kelapa itu menjadi rangup selain adunan tidak mengembang dan mengikut bentuk asal,” ujarnya.
Tambah beliau, perbezaan amat ketara antara biskut daisy dengan biskut kacang yang lain.
“Kesemua bahan campuran di dalam biskut daisy seperti serasi bersama,” celoteh Rozita.
Beliau yang menggunakan produk keluaran Daisy sejak tiga tahun lalu itu memberitahu, produk Daisy turut digunakan dalam bengkel masakan kendaliannya untuk membuat mufin dan kek.
“Pada saya kualiti produk Daisy amat bagus. Saya sarankan mereka mencuba sendiri minyak jagung Daisy dalam resipi biskut sedia ada bagi menghasilkan satu kelainan,” katanya.
Tuturnya, keunikan kuih dan biskut keluarannya adalah dari segi penggunaan hiasan bagi setiap biskut selain penggunaan warna yang pelbagai.
Ketika ditanya mengenai pantang larang dalam menghasilkan biskut yang enak, beliau berkata, tiada pantang larang tertentu tetapi beliau akan memastikan dirinya ceria semasa mengadun kuih dan biskut untuk menjadikannya sedap.
“Itu sudah menjadi lumrah kerana apabila kita mengadun dalam keadaan marah, semua benda pasti tidak akan menjadi,” katanya yang gemar menonton televisyen.
Menurutnya, setiap perniagaan pasti ada cabaran. Beliau menganggap persaingan dalam perniagaan adalah lumrah.
Baginya, setiap kerja yang dilakukan memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi demi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Tipulah jika tiada persaingan dalam setiap perniagaan tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai halangan demi mencapai cita-cita yang belum tercapai iaitu untuk memiliki bangunan sendiri.
“Selain itu, saya akan berusaha mengembangkan lagi jaringan perniagaan yang dimiliki,” jelasnya lagi.
Beliau merupakan antara peserta yang terpilih dalam program Usahawan Daisy sempena Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 yang bakal membuka tirai pada 10 Jun ini bertempat di Plaza Angsana Johor Bahru, diikuti pusat beli-belah Aeon AU2 (Jusco) Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 17 Jun ini dan berakhir di Pacific Hypermarket, Alor Setar Kedah 23 Jun ini.
Untuk Cabaran Peringkat Akhir pula ia akan diadakan pada 1 Julai depan bertempat di pusat beli-belah Aeon AU2 (Jusco) Setiawangsa, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: