Tuesday, May 8, 2012

Pua kumbu inspirasi mimpi

KOLEKSI pua kumbu merupakan kain tradisional yang popular dalam kumpulan etnik Iban.


USAH gusar sekiranya anda tidak berkesempatan ke Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian produk kraf tangannya. Sebahagian besar produk kraf dari Bumi Kenyalang boleh diperoleh di Semenanjung khususnya di butik Karyaneka di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Jika mempunyai kelapangan, jangan lepaskan peluang mengunjungi butik Karyaneka yang beroperasi setiap hari. Di sana para pengunjung bukan saja didedahkan tentang keistimewaan dan keunikan produk Sarawak, malah dialu-alukan membeli barang yang ditawarkan.

Menurut Eksekutif Pembelian dan Pembangunan Produk Karyaneka, Md. Faudzi Sameon, Sarawak merupakan salah satu negeri di Malaysia sarat dengan produk kraf tangan yang berkualiti. Proses pembuatan seni yang halus antara faktor utama melonjakkan populariti produk Sarawak dalam kalangan pelancong asing dan pengunjung tempatan.

Ilham corak

Antaranya, kain tenun pua yang turut dikenali sebagai pua kumbu. Ia merupakan kain selimut atau kain penutup yang disifatkan memiliki elemen mistik. Bagi kaum Iban, ia dipercayai dapat menyembuh orang sakit dan perisai kepada kuasa jahat.

Pada zaman dahulu ilham corak dan motif pada kain pua hadir dalam mimpi si penenun. Sebaik bangun daripada tidur, si penenun akan segera menenun kain pua mengikut corak atau motif yang muncul dalam mimpi seperti flora, fauna mahupun geometri.

“Pelancong dari Eropah amat menyukai seni kraf tangan Sarawak kerana mereka amat menghargai barangan yang diperbuat daripada alam semula jadi. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan produk dari negeri ini hadir dalam dua medium utama iaitu manik dan anyaman.

“Produk manik yang dihasilkan bukan manik yang dijahit di atas pakaian atau pun kain ela. Sebaliknya, butiran manik-manik kecil yang berwarna-warni dijahit satu-persatu sehingga terhasilnya alas meja, bekas air, dompet dan aksesori wanita seperti rantai,” jelas Md. Faudzi sambil menunjukkan koleksi beg tangan bemban.

Tambahnya, penjualan beg tangan bemban dalam pelbagai saiz itu amat memberangsangkan kerana rekaannya yang kontemporari. Ia juga dianyam menggunakan bemban.

Lazimnya di Sarawak, bemban menjadi pilihan masyarakat Iban untuk menghasilkan tikar. Selain itu, tikar bemban juga kerap dihampar di rumah panjang ketika majlis keramaian. Tidak sukar untuk mendapatkan bemban kerana pokok liar itu tumbuh subur di kawasan hutan berpaya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Karyaneka, Mansor Abd. Latiff, menyatakan setakat ini Karyaneka mempunyai seramai 44 pengusaha kraf dari Sarawak. Namun, hanya lima orang yang aktif dan berterusan membekalkan produk anyaman, manik dan ukiran patung untuk dijual di butik berkenaan.

Bicara Mansor, penurunan berkenaan bukan disebabkan kecewa dengan hasil jualan produk tetapi kebanyakan mereka berhadapan masalah pemasaran, promosi dan proses keluar masuk kampung.

Peranan promosi


BARANGAN produk Sarawak yang dihasilkan daripada manik.


“Sebahagian besar pengusaha tinggal di kawasan pedalaman. Mereka tidak mempunyai kos untuk mengupah tenaga kerja mengangkat barang apatah lagi kos pengangkutan.

“Malah, segelintir pengusaha hanya menyimpan himpunan produk di rumah kerana menyifatkan produk yang dihasilkan tidak bernilai dan tiada pasaran. Padahal, apabila dinilai kebanyakan produk mempunyai nilai estetika yang baik,” kata Mansor yang menyarankan supaya agensi pelancongan memainkan peranan dalam membantu corak promosi yang sesuai untuk pengusaha yang tinggal di pedalaman.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Faiz Naim Hassan, 25, menyifatkan Karyaneka merupakan pusat sehenti produk kraf tangan yang sesuai dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat terutama golongan muda.

“Produk yang ditawarkan juga menarik dan dijual pada harga yang berpatutan. Selain Negeri Sembilan, saya amat tertarik pada barangan kraf dari Sarawak. Seni buatannya cukup halus dan praktikal untuk digunakan dalam rutin harian seperti bekas pensel, beg dan kusyen mini,” kata Mohd. Faiz Naim, ketika ditemui Kosmo! di butik Karyaneka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: