KUALA LUMPUR 25 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur akan mengadakan Fiesta Mangga selama 10 hari bermula hari ini bertujuan memartabatkan buah-buahan tempatan, khususnya mangga.
Ketua Pengarahnya, Ahmad Ishak berkata, fiesta itu pertama kali dianjurkan dengan Menara Kuala Lumpur dan pihaknya akan berusaha untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.
"Selain Fiesta Mangga, pihak kami sudah menjalinkan kerjasama dengan Menara Kuala Lumpur untuk mengadakan Pesta Nanas dan Pesta Durian.
"Lokasi itu dipilih kerana ia merupakan kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Ini amat bersesuaian dengan harapan kami yang mahu mempromosikan buah-buahan tempatan ke peringkat lebih tinggi," katanya selepas melancarkan Fiesta Mangga di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Fiesta tersebut menawarkan pelbagai jenis mangga yang boleh dibeli oleh pengunjung antaranya Harumanis, chokanan, maha dan Perlis Sunshine.
Selain mangga segar dari ladang, pelbagai produk makanan berasaskan mangga juga terdapat di fiesta itu antaranya jus mangga, jeruk mangga dan ais krim mangga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said berkata, kerjasama yang dijalankan pihaknya dengan FAMA adalah sebagai sokongan kepada usaha kerajaan yang mahu masyarakat tempatan mengutamakan buah-buahan tempatan.
"Melalui fiesta ini, pengunjung dapat mengenali dengan lebih dekat keunikan, kebaikan dan kepelbagaian buah mangga yang terdapat di negara ini.
"Selain itu, penganjuran fiesta sempena percutian sekolah yang baru bermula hari ini juga bakal mendedahkan generasi muda kepada buah mangga dan kepelbagaiannya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: