Orang Asli ditemui mati
Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HGM.

GUA MUSANG - Seorang lelaki penduduk Orang Asli yang hilang dihanyutkan arus Sungai Brooke, di Lojing, dekat sini, ditemui mati lemas pasukan penyelamat petang kelmarin.

Mayat Nasir Harun, 30, yang berasal dari Kampung Kuala Renggit, Lojing itu dijumpai terapung tersekat batu besar di tengah sungai tersebut kira-kira jam 12.39 perang sejauh dua kilometer daripada tempat dia terjatuh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sebelum kejadian pada pagi 16 Mei lalu mangsa dikatakan berjalan bersama empat rakan yang lain di tepi sungai itu untuk menjala ikan.

Beliau berkata, mangsa tiba-tiba tergelincir kaki sebelum terjatuh ke dalam sungai itu dan hilang dihanyutkan arus sungai deras menyebabkan rakanya gagal menyelamatkan.

“Mangsa dikatakan keluar rumah sejak 8.30 pagi lagi pada hari kejadian dan selepas kehilangan itu rakan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang,” katanya.

Saiful Bahri berkata, apabila pihaknya menerima aduan itu dengan segera mengerahkan sepasukan anggota polis bersama Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan pasukan penyelamat itu dengan bantuan penduduk kampung gagal menemui mangsa pada hari tersebut sebelum diteruskan gerakan mencari pada keesokan hari.

Katanya, selepas beberapa hari melakukan gerakan mencari mangsa yang hilang itu, petang kelmarin baru pasukan penyelamat itu menemui mangsa yang berkenaan bengkak tersekat dibatu di tengah sungai tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.