Friday, May 25, 2012

Muafakat Dayang - Anuar


WUJUD keserasian yang nyata dalam gabungan persembahan Dayang dan Anuar.


KALI kedua selepas sepuluh tahun lalu berkongsi pentas, dua ikon pop dan R&B, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah disatukan kembali dalam konsert amal anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) baru-baru ini.

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan & Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong) dan Rumah Kasih Harmoni.

Ujar Anuar, rasa seronok ditambah gementar sebati bermain dalam jiwanya sepanjang persiapan menjelang acara sehingga tamat konsert itu.

"Rasa teruja dan seronok itu sudah pasti ada, pentas ini (DFP) merupakan satu pengiktirafan terbesar untuk kami bersama-sama membuat persembahan.

"Tambah menggeletar apabila dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir sama untuk menyaksikan konsert kali ini, tapi syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan penonton terhibur," katanya yang ditemui selepas acara berlangsung.

Anuar dan Dayang pernah digabungkan bersama kali terakhir pada tahun 2002 di Planet Hollywood, Kuala Lumpur untuk sebuah persembahan yang santai.

"Namun kali ini (di DFP) memerlukan persiapan yang lebih rapi dan lebih banyak latihan bukan saja nyanyian tapi juga kiraan untuk tunduk hormat.

"Tambahan lagi kami masing-masing sibuk dan susah untuk mencari kelapangan waktu untuk berlatih bersama," cerita Dayang.

Konsert tersebut turut memperlihat keupayaan Jenny Chin selaku pengarah muzik menggabungkan vokal unik Anuar dan Dayang.

Keseluruhan konsert amal Dayang dan Anuar kali ini boleh digambarkan sebagai dipenuhi aura nostalgia.


PERSEMBAHAN penuh mengasyikkan gabungan vokal Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah sukses dalam memancarkan aura nostalgia yang memenuhi segenap ruang Dewan Filharmonik Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini.


Persembahan yang bermula seawal pukul 8.30 malam itu menghidangkan 14 buah lagu hit mereka antaranya Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Hakikat Cinta, Dayang Sayang Kamu, Aku Rindu Aku Jemu, Seandainya Masih Ada Cinta, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.

Paling mencuri perhatian lagu yang mempopularkan nama Dayang Nurfaizah, Seandainya Masih Ada Cinta yang hanya diiringi piano begitu sukses dalam memancarkan pesona romantis dan mengasyikkan di pentas konsert itu.

Memandangkan wujud keserasian, Anuar dan Dayang ditebak dengan perpersoalan andai mereka mahu disatukan bersama dalam sebuah album pula.

Kata Dayang: "Kami pernah berbincang sebelum ini, insya-Allah apa-apa boleh jadi. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk mencari lagu yang sesuai sebab tonasi suara kami berbeza."

Bagaimanapun Anuar memberikan syarat sekiranya ada pengkarya yang ingin berkolaborasi dengan dirinya.

"Saya mahukan lagu-lagu yang memberi makna positif, tidak menjemukan, memudahkan pendengar mencerna serta memiliki lirik yang tidak terlalu berbunga-bunga," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: