Isu LGBT: LGBT aktif, tarik pengikut Facebook
Facebook Persatuan Lesbian.

SHAH ALAM - Ramai puak LGBT menonjol aktif di rangkaian laman sosial Internet terutama Facebook dan Youtube bagi menarik lebih ramai pengikut.

Hasil pemerhatian Bicara Isnin, kumpulan itu secara terbuka mengaku cuba menambah pengikut di seluruh negara.

Antara dikesan popular ialah Facebook milik Kelab Gay Malaysia yang mengumpul peminat gay sehingga status ‘Like’ di akaun Facebook itu mencecah hampir 5,000.

Ini diikuti akaun kelab mengikut negeri yang mengumpul sekurang-kurangnya hampir 1,000 ‘Like’ bagi setiap akaun.

Begitu juga dengan kumpulan lesbian yang turut mempunyai Facebook popular menggunakan nama seperti Persatuan Lesbian Malaysia Kebangsaan yang mengumpul hampir 5,000 ‘Like’ diikuti beberapa kelab lesbian lain.

Bagi tujuan pemerhatian ke atas kelompok lesbian, wartawan Bicara Isnin mewujudkan akaun khas Facebook atas nama Sarina Dewi dan menyamar sebagai lesbian.

Tidak keterlaluan, Sarina Dewi hampir loya dan jijik melihat pemilik akaun lain yang jelas wanita tetapi berlagak romantik ketika menyatakan salam perkenalan, malah ada yang terus meminta nombor telefon bimbit.

Apa yang diperhatikan, pengikut Facebook daripada golongan ini gemar menggunakan gambar berahi seperti mendedahkan tubuh atau gambar hubungan asmara sama sejenis selain menggunakan kata-kata pujuk rayu berbaur seks serta lucah. Malah ada tanpa segan silu ‘menjual’ diri untuk diminati.

Satu lagi diperhatikan, orang Melayu yang pastinya Islam antara yang menyertai kelab songsang itu termasuk yang bertudung.

Berdasarkan pemerhatian ini, boleh dikatakan kelompok homoseksual semakin meluas dan membimbangkan jika amalan seks songsang yang ditegah agama ini menarik lebih ramai generasi muda.

Itu baru gay dan lesbian. Bisek­sual juga bersepah dalam masyarakat kita. Namun mereka licik hingga sukar dijejaki. Mungkin dia ada di belakang kita. Siapa tahu!



LGBT adalah singkatan kepada ‘lesbian, gay, biseksual dan transgender’. Ia telah digunakan sejak 1990-an. Ia mewakili golongan yang mempunyai orientasi seks atau identiti jantina berbeza.

- Lesbian: Hubungan cinta atau seksual antara dua wanita.
- Gay: Merujuk kepada individu homoseksual secara umum, namun lebih banyak digunakan untuk merujuk kepada hubungan cinta atau seksual antara dua lelaki.
- Biseksual: Hubungan fizikal atau seksual antara seorang lelaki, atau seorang wanita, dengan lelaki dan juga wanita.
- Transgender: Hidup sebagai jantina berbeza dengan jantina asal yang ditentukan oleh genetik.
- Homoseksual: Hubungan kelamin melibatkan sesama jenis sama ada lelaki dengan lelaki, atau wanita dengan wanita.
- Heteroseksual: Hubungan cinta atau seksual antara dua individu berlainan jantina (lelaki dan perempuan).