SEDEKAD bergelar anak seni, hanya dia yang tahu pahit dan getir dilaluinya sebelum menempa nama hari ini. Jika rakan seperjuangan dalam bidang seni tempatan sudah lama diiktiraf bakat mereka, pelakon Fizz Fairuz pula sudah menunggu 10 tahun untuk membawa pulang trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.
Ternyata, berkat kesabaran dan kerja kerasnya selama ini, akhirnya trofi yang menjadi impian selama ini akhirnya menjadi milik pelakon berkaliber ini.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Mohd Fairuz Zainal Abidin, 33, mengakui, bukan mudah untuknya terus bertahan dan duduk sebaris dengan aktor berkaliber sedia ada iaitu Aaron Aziz, Remy Ishak, Ady Putra dan Fauzi Nawawi itu. Bukan saja perlu bekerja keras, dia perlu berdepan dengan pelbagai gosip dan kontroversi yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama baiknya sebagai pelakon.
“Antaranya, ada pihak yang menyebarkan cerita tak betul, saya ‘demand’ dengan minta bayaran setinggi RM14,000 untuk satu projek drama serta ada masalah disiplin sehingga menyusahkan ramai produksi di luar sana.
“Kalaulah saya ‘demand’ bayaran setinggi itu, saya percaya, itulah kali terakhir saya berlakon drama kerana orang pasti takut nak ambil saya berlakon lagi selepas ini?. Sedangkan, saya berlakon bukan untuk sehari dua kerana ia periuk nasi dalam bidang lakonan,” katanya.
Akui Fizz dia bermula dari bawah dengan hanya menjadi pelakon pembantu serta tidak pernah putus asa untuk mendapat tempat dalam bidang seni.
“Kalau orang nak tahu, saya pernah hidup susah hingga tidak mampu bayar duit kereta selama enam bulan sebelum ini. Sebab itu, saya sentiasa menjaga disiplin dan nama baik supaya orang terus beri kepercayaan pada saya untuk terus berlakon produksi mereka.
“Sekarang, saya dapat hidup dengan lebih selesa dan apa yang penting, saya bekerja untuk dapat duit bayar ansuran rumah dan kereta,” katanya.
Jika artis lain terkena ‘badi’ selepas menang trofi, Fizz pula sebaliknya tidak menang tangan menerima tawaran berlakon drama dan filem, ketika ini.
Terbaru, dia bergandingan dengan aktres terkenal Lisa Surihani dalam filem genre ‘psycho thriller’, Dendam Orang Mati, arahan Jason Chong. Selain itu, dia bakal beraksi dalam empat projek filem terbitan Kru Studios. Tidak ketinggalan, dia juga berlakon drama Sejadah Putih arahan Rashid Sibir terbitan Astro Oasis.
Sementara itu, mungkin ramai yang tidak tahu, Nur Kasih Restoran yang diusahakannya bersama abang ipar di tanah milik arwah datuk di Ketari, Bentong, Pahang sudah ditutup selepas lapan bulan beroperasi. Walaupun berat hatinya untuk membuat keputusan itu, akhirnya, kata Fizz, selepas berbincang, dia sepakat dengan abang iparnya untuk menutup restoran itu, baru-baru ini.
“Sebenarnya, kami mula dapat tahu ada yang tidak kena apabila restoran tidak dikunjungi pelanggan sedangkan ia sentiasa penuh sebelum ini. Secara tiba-tiba, abang ipar saya yang menguruskan restoran juga jatuh sakit dan sebelah badannya juga tidak bergerak.
“Selepas berjumpa ustaz, kami dapat tahu, rupa-rupanya ada orang yang hantar santau dengan menabur tanah kubur ke dalam Nur Kasih Restoran. Pelbagai cara dilakukan untuk menyelamatkan restoran yang dibina dengan duit hasil titik peluh dalam bidang seni ini tapi nampaknya ia tidak kesampaian. Selepas puas berubat, akhirnya kami akur, jalan terbaik ialah dengan menutup saja operasinya,” katanya.
Ditanya sama ada cerita dia jatuh sakit sebelum ini akibat di santau orang, Fizz menafikannya.
“Sebenarnya, saya kena ‘sampuk’ ketika penggambaran drama seram Waris arahan Khabir Bhatia yang juga sambungan cerita Kekasihku Seru sebelum ini. Cerita ini membabitkan penggambaran selama dua minggu di dalam hutan.
“Semuanya bermula ketika saya terhantuk sesuatu ketika penggambaran drama Waris itu. Kening saya bengkak dan berasa pening kepala dan lemah selepas itu. Selepas berubat, barulah kesakitan dialami beransur pulih,” katanya.
Sebagai anak seni berjiwa kental, ternyata, semangat kekasih Almy Nadia ini tidak pernah luntur untuk membuka restoran baru tidak lama lagi. Mengikut perancangan, dia akan membuka restoran di lokasi baru, Teratak Bonda yang menyajikan sajian kampung di Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur.
“Saya memang minat bidang bisnes sebagai jaminan masa depan terutama selepas mendirikan rumah tangga nanti. Maklumlah, bidang seni ada pasang surutnya dan impian saya untuk menjadi usahawan yang berjaya satu hari nanti.
“Sebab itu, setiap kali, bila pihak media bertanya bila saya nak kahwin dengan Almy, jawapan saya mudah saja. Bila saya sudah cukup duit, kewangan dan bisnes sudah stabil, barulah kami merancang untuk berkahwin. Setakat ini, saya sudah beli rumah dan kereta sebagai aset,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fizz bersama rakan artis, Ainul Aishah akan menjayakan Karnival Wanita yang pertama kali dianjurkan Persatuan Pedagang Wanita dan Seni Antarabangsa (Wanita), MySoho dan Star Touch Media Sdn Bhd yang berlangsung di Red Carpet, The Strands, Kota Damansara dari jam 10 pagi hingga 6 petang bermula 5 & 6 Mei ini.
TRIVIA FIZZ
Pemain bola sepak atau pramugara
Catherine Zeta Jones
Wanita yang ego, berlagak dan cakap besar
Banglo di tepi laut
Apabila menerima trofi di pentas ABPBH 2011
Kasih sayang
Peramah, kelakar dan merendah diri
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: