Wednesday, May 2, 2012

Ezani dilantik duta myChef


(DARI kiri) Ezani bersama empat chef selebriti lain yang dilantik sebagai duta myChef iaitu Chef Liza, Chef Florence, Chef Ismail dan replika Chef Zam yang tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana berada di luar negara.


SUDAH tuah badan. Itu gambaran terbaik untuk Ezani Farhana Md. Monoto. Selepas dinobatkan sebagai juara sulung MasterChef Malaysia 2011, nama Ezani Farhana semakin menyinar sebagai salah seorang chef selebriti yang mewarnai dunia kulinari tempatan.

Meskipun baru berusia 26 tahun, namun doktor gigi berwajah manis itu sudah pun mendapat tempat di hati ramai pihak yang mengagumi bakat memasak yang dimiliki gadis berkenaan.

Terbaharu, dia yang lebih mesra dengan panggilan Ezani mendapat kepercayaan myChef, satu jenama produk menu sedia dimakan untuk bergelar duta produk tersebut.

Menariknya, tawaran berkenaan membolehkan anak kelahiran Kajang, Selangor itu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan empat lagi chef selebriti terkenal yang turut memegang peranan sebagai duta.

Resipi Ezani

Pelantikan itu juga sekali gus memberi peluang kepada Ezani mencipta resipinya sendiri untuk dipasarkan dan dinikmati pengguna melalui jenama myChef.

“Alhamdulillah, kejayaan muncul juara pertama program realiti masakan MasterChef tahun lalu memang tidak dijangka dan ia satu pengalaman yang sungguh berharga.

“Kini, resipi saya pula akan dicipta dan boleh dinikmati oleh semua orang. Sesungguhnya kepercayaan yang diberikan myChef terhadap diri saya merupakan satu penghormatan yang besar. Justeru, saya berharap resipi yang akan dihasilkan kelak dapat memenuhi jangkaan semua pihak,” ujar Ezani merendah diri.

Ditanya tentang perancangannya untuk tempoh jangka panjang, chef yang digelar Zesty Zani oleh rakan seperjuangan dalam MasterChef lantaran kegemarannya menggunakan buah-buahan sitrus dalam masakan itu mengakui akan melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

“Untuk tiga tahun pertama ini, karier saya akan diuruskan oleh pihak Astro. Namun, saya memang merancang untuk membuka sebuah restoran atau perniagaan katering,” jelasnya sambil memberitahu, dia telah mendapat kelulusan penangguhan selama tiga tahun daripada Kementerian Kesihatan untuk berkhidmat sebagai doktor gigi.

Namun demikian, Ezani menegaskan bahawa dia tidak akan sekali-kali meninggalkan kerjaya yang diminatinya itu semata-mata untuk melibatkan diri dalam dunia kulinari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation (syarikat yang memiliki jenama myChef), Mohd. Fairuz Abdullah berkata, bakat dan kemampuan yang ada pada Ezani membuatkan pihaknya tidak berfikir panjang untuk melantiknya sebagai salah seorang duta produk tersebut.

WALAUPUN meminati bidang masakan, Ezani mengakui tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai doktor gigi.


“Kami sangat teruja melantik Ezani sebagai duta jenama ini dan tidak sabar untuk melihat resipi yang bakal dicipta kelak. Kami percaya Ezani akan menjadi satu nilai tambah yang baik kepada produk myChef.

“Apatah lagi apabila melihat semangatnya dalam menghasilkan masakan sihat serta menggunakan bahan-bahan segar dalam resipinya,” tutur Mohd. Fairuz.

Selain Ezani, empat chef selebriti yang turut dilantik sebagai duta ialah Datuk Chef Ismail, Chef Florence Tan, Chef Liza dan Chef Zam.

Dialu-alukan chef senior

Menurut Chef Ismail, Ezani mempunyai potensi dan peluang yang amat cerah untuk menjadi chef selebriti yang disegani di Malaysia. Justeru, kelebihan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sebagai chef senior, saya amat mengalu-alukan kehadiran chef-chef pelapis untuk meneruskan kesinambungan dunia kulinari di negara ini. Saya harap dia akan terus mengekalkan sikap positif yang ada dalam dirinya,” ungkap Chef Ismail.

Majlis menandatangani kontrak pelantikan sebagai duta itu turut disaksikan oleh Timbalan Presiden Saluran Islam Astro, Izelan Basar.

Antara siri menu signatur yang boleh dinikmati pengguna di bawah rangkaian makanan sedia dihidang myChef ialah semur daging Betawi, gulai udang serai dan ayam kalio oleh Chef Ismail; kari Melayu Cape.

Chef Zam pula menawarkan menu spagettini ayam dengan sos Asian dan stroganoff daging dengan nasi beras perang pilaf manakala ikan gerang asam, kari ayam nyonya dan ayam pongteh daripada air tangan Chef Florence. Menu keema daging masala, beriani ayam mughlai dan makhani ayam pula adalah inspirasi Chef Liza.

Semua produk ini boleh didapati di pasar raya dan hypermarket terkemuka di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai myChef, sila layari laman web www.mychef.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: