Bekas super model tuntut wang sara anak  RM140,000 sebulan
Evangelista bersama Augie, menuntut wang saraan anak RM139,380 sebulan terhadap seorang jutawan Perancis, Francois-Henri Pinault di Manhattan, semalam.

NEW YORK - Bekas supermodel, Linda Evangelista, 46, menuntut wang saraan anak AS$46,000 (RM139,380) sebulan dalam hak penjagaan anak lelakinya terhadap bapa kanak-kanak itu, yang merupakan seorang jutawan Perancis, Francois-Henri Pinault di mahkamah keluarga Manhattan, semalam.

Bayaran tersebut merangkumi pengawal peribadi, seorang pemandu dan seorang pengasuh yang bertugas 24 jam.

Menurut laporan AFP, peguam Pinault berkata, kes kanak-kanak itu, Augustin, 5, atau lebih mesra dipanggil Augie yang lahir dari hasil hubungan ibunya dengan jutawan itu menjadi tuntutan paling mahal pada ketika ini.

Sementara itu, peguam Evangelista, William Beslow mempertikaikan jumlah itu tetapi tidak memberikan sebarang angka baru terhadap tuntutan bekas model dari Kanada itu terhadap Pinault.

Pada sesi perbicaraan, Evangelista yang bercermin mata gelap dan kasut tumit tinggi Louis Vuitton, tiba lewat 15 minit di mahkamah sebelum jutawan Perancis yang berusia 49 tahun itu mengambil tempat untuk memberikan keterangan.

Pinault, yang menguasai konglomerat Pinault-Printemps-Redoute, sebuah syarikat induk multinasional Perancis, yang membangunkan beberapa jenama mewah dan diedarkan di 120 buah negara seperti barangan jenama Gucci dan Yves Saint Laurent terpaksa memberi keterangan lebih satu jam tentang kekayaan ‘luar biasanya’.

Beslow mempertikaikan tindakan ahli perniagaan itu yang membelanjakan kemewahan yang dimilikinya kepada tiga anak lain, tetapi tidak pernah dengan Augie, yang lahir bulan Oktober 2006.

Pinault yang bercakap dalam Bahasa Inggeris berkata, beliau hanya mengenali bekas model itu selama empat bulan dan hanya menghabiskan masa tujuh hari bersama-sama apabila Evangelista mengumumkan dia sedang mengandung pada awal 2006.

“Saya telah bertanya kepada Linda apa yang dia mahukan ketika dimaklumkan tentang kehamilan itu, tetapi dia memberitahu saya jika saya tidak mahu terlibat membesarkan kanak-kanak itu, dia akan faham.

“Katanya, dia akan menjaga sendiri anak itu... saya tidak terlibat dalam keputusan untuk mempunyai bayi itu," katanya.

Pinault turut membuat pengakuan bahawa sepanjang bersama Evangelista, beliau mendapati wanita itu sangat baik.

Dalam pada itu, Pinault juga mengakui bahawa beliau yang memutuskan hubungan mereka.

“Tetapi saya ada memberitahunya saya ingin mengenali bayi itu dan saya akan mengambil tanggungjawab saya yang sewajarnya,” katanya lagi.

Ahli perniagaan itu turut mengakui bahawa beliau tidak pernah membayar apa-apa nafkah terhadap kanak-kanak, tetapi beliau berkata dialah orang pertama yang membangkitkan isu ini pada tahun 2007.

“Tetapi hari ini saya menerima permintaan yang adalah tidak munasabah," katanya.

Sebaik memutuskan hubungan dengan Evangelista, jutawan Perancis itu berkahwin dengan isterinya sekarang, Salma Hayek pada 14 Februari 2009 di Paris dan memiliki empat cahaya mata.