Awie
PADA usia 43 tahun, dengan lebih separuh usianya dihabiskan dalam persada seni, Ahmad Azhar Othman atau nama pentasnya, Awie, berada pada kelas tersendiri apabila tetap laris walaupun bersilih ganti muncul muka baru.
“Ya, saya senang bekerja dengan Mamat. Namun tidak bermakna saya hanya mahu berlakon di bawah arahannya kerana saya masih boleh berlakon di bawah sutradara lain, cuma tengok kesesuaian masa dan watak.
“Bagi saya, dia pengarah yang bijak. Dia tahu bagaimana mahu mencungkil faktor ‘wow’ untuk sesuatu watak walau sekecil mana pun peranan itu. Baginya, watak kecil akan ‘nampak’ jika kena cara dan gaya,” katanya yang mengakui giat kembali ke gimnasium untuk membina otot bagi filem terbaru.
Jika tiada aral melintang, penyanyi lagu bapa kepada lima cahaya mata itu akan ke set penggambaran untuk sebuah filem arahan Mamat, Amukan Frankenstein, 10 Mei ini, yang masih berkonsepkan genre komedi.
“Cerita ini bukan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Kampung. Skripnya menarik dan kalau ikutkan memang Mamat sudah ‘menempah’ saya agak lama, jadi saya sendiri mesti kotakan janji.
“Soal watak atau plot cerita ini, biarlah pengarahnya saja yang bercerita. Namun bagi saya, apa pun watak yang ditawarkan, saya akan kaji dan kemudian persembahkan sebaik mungkin,” katanya yang mengakui kesibukan ada kalanya membataskan waktunya dengan keluarga.
Bercerita lebih lanjut soal anak dan isteri, Awie yang lebih senang membiarkan keluarganya jauh daripada pancaran lensa tetap sedia berkongsi saat manis kehidupan berkeluarga kerana baginya, setiap butir keringat adalah demi insan tersayang.
“Setiap penghargaan termasuk anugerah adalah untuk isteri, Rozana Misbun, dan anak-anak yang cukup memahami. Tanpa sokongan mereka, tentu saja saya tidak mampu meneruskan kerjaya seni ini kerana merekalah sumber kekuatan saya.
“Seperti Rozana, dia tidak pernah mengungkit soal kesibukan atau curiga dengan setiap langkah saya. Pernah ketika penggambaran filem Duyung di Semporna, Sabah dulu, hampir sebulan saya tidak pulang ke rumah.
“Dek terlampau rindukan mereka, saya tempah tiket kapal terbang untuk penerbangan keesokan paginya. Biarlah harganya lebih mahal daripada biasa, paling penting, tempoh dua hari kami habiskan masa bersama-sama di sebuah pulau amat bermakna,” katanya yang tersenyum mengenang memori lalu.
Kini jika ada waktu senggang, pastinya keluarga keutamaan anak jati Kuala Lumpur itu, malah difahamkan rocker terkenal ini juga dikhabarkan bakal terbang menyertai misi ekspedisi ke Mongolia dan China bersama peminat pada 28 Jun hingga 3 Julai ini.
Ekspedisi kembara berkonsepkan percutian hasil ilham peminat setianya, Muhammad Alif Haziq Azman, 23, daripada Arlief Event & Management yang melihatnya sebagai ikon yang pastinya memancing peminat setia untuk turut serta.
Bagi Awie pula, inilah kali pertama dia ditawarkan program pelancongan bersama peminat, malah sekurang-kurangnya inilah masa untuk dia pergi menenangkan fikiran seketika di luar negara bersama mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: