![]() |
| TIADA dua. Sheila sukses dalam mempersembahkan kehebatan dirinya seorang penghibur serba boleh. |
AKU CINTA PADAMU, Antara Anyer dan Jakarta, Lagenda, Sinaran antara lagu yang berkemundang di Restoran Berputar Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur bersempena majlis minggu setiausaha yang menampilkan Datuk Sheila Majid baru-baru ini.
Aura penyanyi diva jazz negara ini telah membuatkan para setiausaha yang hadir khususnya teruja menantikan saat kemunculan dirinya untuk membuat persembahan.
Majlis terlebih dahulu diceriakan oleh pengacara pada majlis tersebut iaitu Dee.
Majlis minggu setiausaha yang diberi nama A Day With Living Legend - Datuk Sheila Majid, telah dihadiri oleh 250 orang tetamu yang menyaksikan tiket-tiket habis dijual.
Ternyata, setelah berpuluh tahun dalam industri tempatan, Sheila masih lagi diminati dan peminatnya pula datang dari pelbagai peringkat umur.
Walaupun tidak puas dengan persembahan yang hanya berdurasi selama 45 minit itu, namun, kesemua peminat yang hadir gembira dan terubat rindu tatkala berpeluang menyaksikan penyanyi legenda ini beraksi secara langsung di depan mata mereka.
“Saya sangat gembira kerana ini juga merupakan kali pertama saya membuat persembahan minggu setiausaha bersama Menara Kuala Lumpur. Konsep dan idea adalah daripada saya sendiri. Saya banyak memikirkan idea untuk membuatkan majlis ini menarik dan sekali gus bermakna buat semua hadirin,” bicara Sheila yang telah menyampaikan lebih kurang lapan buah lagu termasuk sebuah lagu Inggeris yang berjudul Can't Take My Eyes Off You.
Tidak terhenti setakat itu, bagi menghargai sokongan dan hadirin yang hadir ke majlis tersebut, Sheila telah membuat kejutan dengan mengadakan sesi bertemu dan bergambar bersama peminat termasuk sesi autograf selama 30 minit.
Jenaka spontan Dee pula berjaya mengusik hati para hadirin dengan membuat lawak bersahaja. Dia ternyata cukup menghiburkan dan berjaya membuat hadirin tidak kering gusi ketika waktu selingan.
Ditanya mengenai rumah tangganya, Sheila mengakui sedang diulit kebahagiaan bersama suami tersayang dan empat orang cahaya mata yang dikurniakan kepadanya.
“Sebagai seorang isteri dan wanita, saya berharap jodoh saya dan suami akan berpanjangan sepanjang hayat serta dikurniakan kesihatan yang sempurna. Saya juga sentiasa mendoakan anak-anak saya menjadi seorang yang berakhlak tinggi,” ujarnya yang ditemui usai majlis persembahan.
Dalam majlis tersebut juga, para hadirin tidak pulang dengan tangan kosong kerana pihak pengurusan turut menyediakan hadiah menerusi acara cabutan bertuah.
Majlis itu juga turut diserikan dengan aktiviti bersama hadirin yang hadir dengan berpakaian dan meniru gaya artis iaitu Elvis Presley dan Anita Sarawak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: