Tuesday, May 1, 2012

4 tertuduh diarah bela diri


N. PATHMANABHAN (berkaca mata) bersama tiga lagi tertuduh diiringi polis keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan bekas peguam, N. Pathmanabhan membela diri atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dua tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan tersebut selepas mendapati Pathmanabhan mempunyai motif untuk berbuat demikian kerana dia gagal mempercepatkan bayaran cek bernilai RM3 juta kepada mangsa dari 9 September kepada 30 Ogos 2010.

Selain Pathmanabhan, 43, Akhtar turut membuat keputusan yang sama terhadap tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyangan, 21; R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32, yang dituduh bersama-sama majikan mereka membunuh kesemua mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati mandatori.

Semua tertuduh didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos 2010 iaitu pada hari ke-20 Ramadan.

Dalam penghakiman yang dibaca selama hampir sejam itu, Akhtar berkata, mahkamah hanya perlu membuktikan kehadiran semua mangsa ke ladang tersebut pada waktu kejadian serta niat bersama tertuduh untuk membunuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: