SEMUA mata akan tertumpu kepada Tiger Woods apabila pemain nombor satu dunia yang dilanda skandal seks itu kembali ke kancah sukan golf profesional dan tampil pada pusingan pertama kejohanan Masters Amerika Syarikat di Augusta National bermula hari ini.
Woods menikmati keselesaan di Augusta National sebelum ini apabila dia menang sebanyak empat kali tapi tahap emosinya mungkin menjadi faktor yang tidak diketahui di atas lapangan golf minggu ini.
Sekalipun di atas kertas dia adalah pemain paling hebat dalam generasinya, hakikatnya dia tidak bertanding sejak memenangi kejohanan Masters Australia pada 15 November berikutan pembongkaran mengenai sikapnya yang kaki perempuan.
Woods dijadual melakukan pukulan tee dalam kelompok kedua terakhir bersama rakan senegara dari Amerika, Matt Kuchar dan pemain Korea Selatan, KJ Choi dan tidak hairan peminat dan media akan memantau persembahannya secara lebih dekat dan terperinci.
Rakan senegaranya Phil Mickelson, dua kali juara di Augusta, menjangkakan pemain utama dunia itu mampu menangani sebarang gangguan dan tumpuan berlebihan terhadapnya.
"Daripada sudut pandangan seorang pemain, kami menjangkakan untuk melihat pemain sama yang sering kami lihat sebelum ini," kata Mickelson, pemain tangan kidal.
"Saya tidak fikir sesiapa di sini akan mempersoalkan keupayaannya untuk beraksi di peringkat tertinggi, sekalipun dia sudah tidak bertanding berbulan-bulan lamanya.
"Saya tidak fikir ada yang menjangkakannya untuk bermain dengan baik pada Terbuka AS 2008," kata Mickelson, merujuk kepada gelaran utama ke-14 Woods di sebalik kecederaan lutut dan kesakitan berganda di kakinya.
"Dia sudah tidak menyentuh kayu golf beberapa lama, tidak bermain buat satu jangkamasa dan dia cedera. Namun dia kembali dan menang."
Tiga kali juara kejohanan utama, Padraig Harrington pula berasakan kehidupan peribadi Woods tidak akan memberikan kesan jangka panjang terhadap karier golfnya, dan mungkin juga minggu ini.
"Saya fikir kebanyakan pemain akan menganggap kehidupan Tiger sebagai hak peribadinya, dan ia tidak akan memberikan kesan besar terhadap dunia golfnya," kata pemain Ireland itu.
"Kini, kami tidak tahu apa bentuk kesannya dalam jangka pendek. Dia mungkin benar-benar tertekan."
Ditanya sama ada dia akan terkejut sekiranya Woods berada dalam kedudukan untuk merebut kejuaraan Ahad ini, Harrington berkata: "Tidak. Dia adalah pemain pilihan untuk memenangi kejohanan.
"Saya tidak akan terkejut langsung jika dia berada dalam kedudukan baik untuk muncul juara dan saya juga tidak akan terkejut jika dia bermain lebih baik daripada biasa, cuma mungkin ada keraguan mengenainya. Kami hanya boleh tahu mengenainya pada petang Ahad."
Jika Woods beraksi cemerlang di Augusta, pemerhati industri media meramalkan penonton televisyen AS akan mencecah melebihi 20 juta penonton.
FAKTA KEJOHANAN
Kejohanan Masters Amerika Syarikat
Tempat: Augusta, Georgia.
Tarikh: 8-11 April 2010.
Lapangan golf: Augusta National Golf Club (7,435 ela, 6,799 meter, par 72).
Tahun lalu: Angel Cabrera muncul juara pertama dari Argentina dalam sejarah kejohanan itu, mengalahkan Kenny Perry dengan catatan par dua putt pada lubang kedua penentuan play-off. Cabrera, juara Terbuka AS 2007, berakhir dengan catatan 71 untuk menyamakan kedudukan dengan Perry dan Chad Campbell dengan 12 bawah par. Campbell tersingkir dengan bogey pada lubang tambahan pertama.
Nota: Tiger Woods bermain buat kali pertama sejak pendedahan dia berulang kali menipu isterinya. Woods menjuarai Masters keempatnya pada 2005, mengalahkan Chris DiMarco pada lubang pertama play-off. Woods mencatat rekod kejohanan 18 bawah par 270 pada 1997, dan turut menang pada 2001 dan 2002.
Laman web kejohanan: http://www.masters.org
Laman web Jelajah PGA: http://www.pgatour.com
Laman web Jelajah Eropah: http://www.europeantour.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: