Thursday, April 8, 2010

100 jenama pikat peminat kasut

KASUT sememangnya satu aksesori penting untuk wanita bagi menyempurnakan penampilan dan gaya dalam berpakaian.

pix_middle
Tanpa kasut, penampilan seseorang memang tidak lengkap kerana selain membantu melindungi kaki, ia dapat memberikan keyakinan ketika melangkah.


Malah, pemilihan kasut yang selesa dan menarik menjadi keutamaan bagi setiap wanita tanpa mengira usia untuk tampil bergaya.


Lantas tidak hairan, Festival Kasut Antarabangsa Malaysia 2010 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 hingga 4 April lalu menjadi lubuk penggemar kasut yang menginginkan rekaan terkini pereka terkemuka.


Pelbagai rekaan kasut boleh didapati di festival itu yang mengumpulkan jenama kasut terkenal dan boleh didapati pada harga berpatutan.


Festival yang julung kali diadakan itu disertai pereka kasut antarabangsa yang juga Duta Pelancongan Malaysia, Profesor Datuk Dr Jimmy Choo yang bekerjasama erat dengan jenama barang kemas terkemuka, Rafflesia dalam koleksi rekaannya.

Pengarah Rafflesia, Winnie Sim, berkata setiap koleksi Jimmy Choo ini adalah edisi terhad yang hanya memiliki satu rekaan saja untuk setiap koleksi.


"Malah, untuk menyiapkan satu kasut masa yang diperuntukkan adalah enam bulan kerana ketelitian dalam pelbagai aspek yang perlu dijaga.


"Setiap kasut yang dihasilkan adalah 100 peratus buatan tangan yang mana kehalusan seninya amat dijaga dan diberi penekanan utama," katanya ketika ditemui di gerai pameran koleksi kasut rekaan Choo di PWTC, baru-baru ini.


Terdapat 13 koleksi kasut rekaan Choo dipamerkan untuk tontonan pengunjung.


Antara jenama lain yang menjadi tumpuan pengunjung adalah koleksi Bill Keith, Lewre dan Zang Toi.

Sementara itu, ribuan pengunjung menghadiri festival yang menempatkan 86 gerai dan disertai hampir 90 peratus pengeluar kasut tempatan dengan lebih 100 jenama kasut.


Selain mendapatkan koleksi kasut terbaru pereka dan jenama terkemuka, pengunjung juga diberi kesempatan untuk melawat galeri sejarah kasut dan bengkel pembuatan kasut bagi menimba lebih banyak pengetahuan mengenai sejarah kasut.


Bagi pengunjung, Najatul Haya Razali, tidak salah untuk berjalan jauh semata-mata bagi menghadiri festival sebegitu sekiranya apa yang dihajati dapat diperoleh.


Dia yang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan, mengakui tidak pernah ketinggalan menghadiri sebarang festival sedemikian.


Katanya, peluang berkenaan digunakan sebaik mungkin bagi memperoleh koleksi barangan yang jarang didapati di pasaran tempatan.


"Malah, keluarga juga tidak ketinggalan untuk memilikinya. Sungguhpun saya datang sendirian, tidak bermakna hanya barangan saya saja dibeli kerana barangan untuk keluarga tetap ada.


"Saya tidak kisah berbelanja lebih sekiranya ia memberikan kepuasan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: