|
|
AKTIVITI perniagaan borong semakin mendapat tempat khususnya di kalangan mereka yang menyimpan cita-cita menjadi usahawan berjaya.
Menariknya ramai yang berjaya dalam bidang ini adalah di kalangan wanita yang kian membuka mata terhadap kelebihan perniagaan jenis ini.
Terbaru sekumpulan kira-kira 30 ahli Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) mengadakan lawatan empat hari ke pusat borong terkenal dunia, Guangzhou, di China bagi menerokai peluang perniagaan dengan bimbingan penasihat persatuan, Datuk Jamelah A. Bakar.
Menurut Jamelah, usahawan wanita harus merebut peluang menggunakan tenaga buruh yang murah di China untuk menghasilkan barang-barang tempatan supaya dapat dijual dengan harga yang kompetitif.
Cara tersebut katanya, telah lama menjadi amalan peniaga-peniaga bangsa asing khususnya Cina untuk berjaya dalam perniagaan mereka.
"Sebab itu peniaga Melayu kadangkala tidak dapat menjual produk mereka pada harga yang lebih rendah kerana kos pengeluaran tinggi berbanding peniaga bangsa asing yang dapat mengurangkan kos pengeluaran kerana menempah dari kilang-kilang di China dengan kos buruh yang rendah," katanya.
Jamelah berkata, lawatan ke Guanzhou itu sekurang-kurangnya telah membuka mata sebahagian besar ahli persatuan yang selama ini mengidam untuk menjadi usahawan tetapi tidak tahu bidang apa mahu dicuba.
"Di Guangzhou ramai yang telah mendapat idea malah telah mengorak langkah dan mengenal-pasti perniagaan yang boleh mereka terokai," katanya.
Sepanjang tempoh di sana ahli rombongan dibawa melawat ke beberapa pusat borong di Guongzhou di samping menerokai peluang perniagaan lain.
Pada masa sama mereka juga menimba banyak pengalaman berharga termasuk dalam mencontohi kegigihan wanita China berniaga.
Walaupun kebanyakan mereka tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tetapi boleh berniaga dan memajukan perniagaan masing-masing.
Rombongan Wawasanita ini turut disertai pengerusinya, Noor Hayati Abdul Rahman; Senator Datuk Sharipah Aminah Syed Mohammad; Pengerusi Biro Ekonomi Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari; dan Ketua Wanita UMNO Kota Raja, Nahar Ahmad.
Sementara itu, Noor Hayati menyifatkan rombongan mencari perniagaan ke Guangzhou amat berjaya diukur daripada maklum balas oleh ahli-ahli rombongan.
"Malah sebagai seorang ahli rombongan saya sendiri telah melihat peluang peniagaan borong yang selama ini diterokai oleh peniaga bangsa asing boleh dilakukan oleh kita kaum wanita.
"Kunjungan perniagaan kali ini telah memberi inspirasi bukan saja kepada ahli rombongan bahkan saya sendiri untuk menceburi perniagaan borong," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: