Friday, April 30, 2010

Ayu akui silap langkah


AYU diasak pelbagai pertanyaan tentang kehilangannya pada sidang akhbar yang berlangsung di pejabat 8TV di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara baru-baru ini.


BAKAT nyanyian yang ada pada penyanyi yang berasal dari Putatan, Sabah ini bukanlah kecil.

Malah, sejak memenangi pertandingan realiti nyanyian, One In A Million musim kedua (OIAM2), nama Ayu cukup dikenali di kalangan peminat seni hiburan tempatan.

Lagu nyanyiannya, Hanya Di Mercu juga cukup menguji kekuatan vokalnya. Di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, Ayu boleh dikatakan cukup bertuah kerana hampir setiap masa ada sahaja promosi yang dijalankan untuknya.

Namun dalam kerancakan membina empayar seninya, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 21, tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Di mana silapnya?.

Bukan sahaja di luar pengetahuan keluarga malah, syarikat pengurusannya juga gagal menjejaki Ayu.

Tiada langsung khabar berita tentang penyanyi genit ini yang didengari.

Namun begitu, tidak kurang juga timbulnya pelbagai kisah yang tidak sedap didengari tentang Ayu.

Ini termasuklah khabar angin yang mendakwa dirinya telah berkahwin, malah lebih teruk lagi telah hamil sebelum berkahwin.

Setelah lebih setahun menghilangkan diri, akhirnya Ayu muncul baru-baru ini dalam satu sidang akhbar yang diatur oleh 8TV, 8 Unit dan Monkey Bone di pejabat 8TV di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara.

Apa yang pasti kemunculan Ayu kali ini membawa berita dan pengakuan berani bahawa dia telah berkahwin dan kini berstatus ibu kepada seorang bayi lelaki seberat 3 kilogram (kg) ketika lahir dan di beri nama Syed Nashrul Haikal.

Ayu telah berkahwin dengan Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, seorang jurujual di sebuah kedai perabot pada Januari 2009. Syed Fauzi berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Pengakuan tersebut sekali gus menutup spekulasi yang melanda bintang OIAM itu yang dikatakan sebelum ini telah hamil sebelum berkahwin.

Mengulas tentang tanggapan negatif masyarakat tentang gosip hamil sebelum nikah, Ayu setenang mungkin menjelaskan bahawa masyarakat berhak bercakap apa sahaja kerana kebenaran hanya dia yang tahu.

"Saya berkahwin secara sederhana di Kuala Kangsar, Perak dan hadir sama pada majlis tersebut ialah keluarga terdekat termasuk bapa saya.

"Gosip yang mengatakan saya hamil sebelum nikah adalah tidak betul kerana kebenarannya saya telah bernikah dahulu dan kemudian baru hamil.

"Apa yang pasti, saya hanya ingin menjelaskan perkara sebenar kepada media bahawa saya sudah berkahwin dan kini bersedia untuk kembali menyanyi," kata Ayu.

Pada majlis yang sama, Ayu turut menjelaskan bahawa suaminya itu merupakan duda kepada sepasang anak yang berusia empat dan setahun lebih.

"Selama ini saya menghilang kerana menguruskan hal keluarga dan menjaga anak. Maaf kerana saya tidak dapat mengulas panjang dan berkongsi tentang perkahwinan.

"Kalau ikutkan hati, memang saya ingin berkongsi segalanya dengan peminat yang selama ini setia menyokong kerjaya saya namun, saya harus menghormati permintaan daripada keluarga," kata Ayu.

Menurut Ayu, suaminya itu merupakan rakan kepada seorang teman baiknya dan mereka berkenalan di sebuah kedai makan pada November 2008.

Selain merupakan seorang suami yang penyayang, sokongan yang sering diberikan oleh suami kepadanya membuatkan Ayu benar-benar tertarik kepadanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: