Friday, April 30, 2010

Kejatuhan cetus kejayaan




LIMA tahun lalu, Nora Hashim seorang suri rumah biasa. Kehidupan harian wanita itu amat bergantung kepada suami dan lima orang anak yang semakin berganjak ke usia remaja.

Saban hari, tugasnya adalah menguruskan keluarga - menyediakan makan dan pakai suami dan anak-anak yang sedang bersekolah. Baginya, itu adalah tuntutan wajib sebagai isteri dan ibu yang penyayang.

Di sebalik rutin hakiki itu semua, jadual harian Nora terus padat kerana dia perlu mengambil berat terhadap anak bongsunya yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa. Menyangkakan layar hidupnya tenang dan tersusun, tiba-tiba situasi gawat menduganya.

Segala-galanya berubah secara tiba-tiba untuk wanita berusia 43 tahun itu apabila suaminya, Abdul Gani Hazri, 46, terpaksa melepaskan jawatan pengurus di salah sebuah firma di ibu kota.

Gara-gara tidak dapat memenuhi perancangan majikan yang mahukan dia bertugas di Indonesia, Abdul Gani terpaksa akur dan mengambil keputusan berhenti kerja. Dalam benak suaminya, hanyalah tentang masa depan kabur kehidupan keluarga mereka.

Kehilangan punca pendapatan suami yang sebelum itu memberi keperluan serba cukup buat keluarga benar-benar memberi tamparan dalam hidup mereka.

Tidak mahu berdiam diri dan terus memberi tekanan kepada suami, Nora membuat keputusan luar biasa. Dia yang sebelum ini tidak pernah memijak dunia pekerjaan, berusaha mencari kerja demi memastikan bahtera hidup mereka terus belayar tenang.


PRESTASI dan usaha gigih Nora (kanan) dan Annie diraikan dalam majlis Anugerah Avon 2010 baru-baru ini.


Telur goreng

Hari demi hari berlalu pantas, tetapi dia dan suaminya masing-masing gagal mencari pekerjaan tetap untuk keluarga. Duit simpanan di bank juga semakin susut.

Disebabkan gagal mendapat kerja yang sesuai, Nora dan suami serta anak-anak mereka terpaksa mengikat perut. Sering terjadi, meja makan hanya terhidang nasi putih dan telur goreng untuk mengalas lapar.

Melihatkan keadaan semakin rumit, Nora yang ada membuat urusan jualan langsung mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam perniagaan itu sepenuh masa.

"Banyak komen negatif telah saya dengar apabila berhasrat untuk membuat bisnes jualan langsung tetapi, melihat jenama dan syarikat Avon, segala persepsi itu hilang dan saya menjadi lebih berkeyakinan.

"Sejak remaja, saya memang penggemar produk Avon. Namun, masa itu saya hanya menjadi pengguna dan ahli biasa sahaja dan tidak pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan itu secara serius," demikian kata wanita itu kepada Kosmo!.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu boleh tersenyum bangga apabila baru-baru ini dia telah diiktiraf sebagai Ketua Pemasaran Nombor Satu Negara sempena majlis Anugerah Avon 2010 yang berlangsung di Hotel Pan Pacific KLIA.

Avon merupakan sebuah syarikat jualan langsung terulung dalam industri kecantikan tempatan yang memasarkan produk wanita di lebih 100 negara seluruh dunia melalui enam juta orang wakilnya.

Nora yang telah menerima anugerah berprestij tinggi dalam perniagaan jualan langsung Avon pada julung-julung kali itu berkata, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan itu pada Februari 2007.


NORA dan suaminya, Abdul Gani Hazri berpeluang melancong ke luar negara sebagai imbuhan setelah gigih menjalankan bisnes jualan langsung.


Langkah pertama

Ketika itu dia hanya menjalankan urusan perniagaan di peringkat individu. Pendapatan yang diperoleh daripada jualan tersebut cukup untuk menyelesaikan beberapa perbelanjaan asas keluarga.

Sekitar tahun 2008, Avon telah memperkenalkan strategi perniagaan baru ke peringkat multi yang membuka peluang pendapatan lebih baik kepada para pengedarnya.

Sistem multi itu telah mendorong Nora untuk melabur sejumlah wang untuk memperoleh peratusan pulangan yang lebih tinggi. Dengan wang pinjaman daripada suami lebih daripada R1,000, Nora giat membuat pemasaran produk Avon di seluruh negara.

Pulangan jualan RM100 yang diterima pada awal penglibatan telah berlipat ganda pada tahun 2009 sehingga mencecah hasil jualan hampir RM1 juta. Melihat pencapaian Nora yang drastik, suaminya turut mengorak langkah untuk berjuang bersama isterinya bagi mengejar kehidupan yang lebih baik.

Ibu kepada lima orang anak itu memberitahu bahawa pengalaman menjayakan perniagaan Avon tidak memberi tekanan buatnya. Produk jenama itu mudah dijual kerana harga yang berpatutan, berkesan dan dipercayai oleh semua wanita sejak sekian lama.


NORA merakamkan kenangan bersama Minnie Mouse ketika melawat taman tema Disneyland di Amerika Syarikat.


Tidak hairanlah peluang meraih pendapatan tambahan itu telah menarik minat lebih 360,000 wakil Avon di seluruh negara.

Nyata konsep pendapatan tanpa had, insentif hebat dan penyediaan kemudahan kredit bagi mereka yang tiada modal permulaan perniagaan itu suatu khabar yang benar.

Ini ditambah dengan sokongan padu pengurus zon yang memberi tunjuk ajar tentang cara membuat pemasaran, tarikan pelanggan dan penerangan sistem multi bagi mempercepatkan capaian sasaran.

"Dua daripada lima orang anak saya juga turut menyertai Avon untuk mencari duit poket masing-masing. Dengan menggunakan duit itu, mereka mahu membayar yuran pengajian kolej dan sekolah. Oleh kerana mereka memahami cabaran kewangan keluarga selama ini, mereka lebih rajin membuat jualan untuk sama-sama mendapat imbuhan.

"Setelah menjadi ketua pemasaran, saya memiliki kira-kira 1,600 pengedar dan pendapatan bulanan telah pun mencecah kira-kira RM8,000 sebulan. Pada Ogos lepas, saya menang program kereta berprestij Avon berharga RM106,000 dan turut memenangi pakej percutian ke Las Vegas," ujar Nora yang juga pernah mengikut percutian ke Australia dan Itali.

Telur goreng

Sementara itu, penerima Anugerah Golden Circle, Annie Cheng Hwa Ping yang berasal dari Ranau, Kota Kinabalu, Sabah juga merupakan antara wanita yang berjaya melalui perniagaan jualan langsung Avon.


GAMBAR percutian Nora ini tidak mustahil kalau dijadikan bahan pembakar semangat ketika sesi bertemu para pelanggan dan wakil jualan yang berpotensi.


Lahir dalam keluarga serba sederhana, dia pernah menjadi guru sandaran dan agen insurans sebelum menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa. Walau bagaimanapun, akibat kegawatan ekonomi pada tahun 1999, ibu kepada tiga orang anak itu terpaksa menutup perniagaan runcit yang dijalankan di Kundasang sebelum kemudiannya berpindah ke Ranau.

Percubaan Annie tidak berhenti di situ sahaja kerana dia pernah menjalankan bisnes menjual minuman, butik pakaian dan kosmetik. Dia juga pernah berharap pada perniagaan makanan dan kek.

Barangan kosmetik tetap menarik minatnya, maka dia memilih Avon untuk mencari pendapatan tambahan.

"Program insentif Avon berbanding dengan syarikat jualan langsung yang lain amat berbeza. Selain daripada keuntungan lumayan dan beberapa program serta bonus pencapaian permintaan terhadap barangan Avon tinggi dalam kalangan masyarakat Sabah.

"Avon juga sudah lama terkenal di Sabah sebagai produk kecantikan bermutu yang dijual pada harga yang mampu dibeli orang ramai," ujarnya yang telah diiktiraf sebagai wakil Avon nombor satu negara pada Anugerah Avon 2010 itu.

Insentif lawatan ke luar negara Avon telah memberi semangat baru untuk meningkatkan lagi jualan mendorong dia memenangi percutian ke India dan Itali.

Bagi Nora mahupun Annie, kehidupan mereka telah berubah kerana berani melakukan sesuatu demi survival keluarga masing-masing. Mereka berterima kasih pada Avon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: