Thursday, April 8, 2010

Ada impian belum tercapai

SEBELUM menggenggam trofi, pelakon Salina Saibi mengakui ramai orang tidak perasan kelibatnya pada majlis anugerah yang dihadirinya saban tahun.

pix_middle
Lebih teruk lagi, Salina, 28, berasa dirinya bukan saja seolah-olah dipinggirkan peminat dan media yang membuat liputan di majlis anugerah berkenaan, malah menghadapi masalah untuk masuk ke pintu masuk dewan majlis anugerah yang berlangsung kerana penyambut tetamu akan meminta kad sebelum membenarkannya masuk ke dewan.

Kata Salina, mungkin mereka tidak tahu dirinya artis atau mereka fikir dia sekadar 'artis suam-suam kuku' saja.

"Apabila berlaku masalah seperti itu, saya berasa tidak berminat untuk ke majlis anugerah sebelum ini. Buat apa saya ke majlis anugerah kalau orang tidak kenal saya sebagai artis walaupun saya sudah lapan tahun berlakon?," katanya.

Namun, kata Salina, sejak menggenggam trofi Aktres Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) tahun lalu menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, hidupnya berubah dalam sekelip mata.

Bukan saja kehadirannya di majlis anugerah meraih perhatian ramai, malah wajahnya mula dirakamkan lensa jurugambar.

Kini Salina mula bersemangat ke majlis anugerah.

"Saya percaya, kini ada alasan kukuh untuk ke majlis anugerah seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berlangsung di Arena of Star, Genting Highlands pada 4 April lalu.

"Saya bukan saja ditaja gaun digayakan, malah beg tangan dan aksesori yang digayakan ke majlis anugerah itu. Lebih membanggakan apabila saya turut diundang penganjur menjadi penyampai anugerah berganding dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof," katanya yang tampil jelita di acara karpet merah ABPBH2009 dengan gaun merah cili rekaan Nazreen Idris.

Sekalipun sudah menang anugerah, Salina tidak pernah menganggap dirinya dalam kategori pelakon popular, tetapi mengatakan dirinya kini bukan lagi 'artis suam-suam kuku' seperti dulu.

"Saya tidak kisah jika tidak popular kerana saya menceburi bidang lakonan kerana mempertaruhkan bakat sedia ada dan bukan untuk mengejar glamor.

"Pada masa sama, banyak lagi impian yang belum tercapai dalam bidang seni. Antaranya untuk menggenggam trofi aktres wanita terbaik pada masa depan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata Salina, tawaran berlakon tidak pernah putus diterimanya sejak menang anugerah. Antara lakonan terbarunya tahun ini ialah telefilem Miah Oh Miah untuk TV3 dan Gugurmu di Tangkai Madu dan drama bersiri Seusia Cinta Kita.

Salina juga bakal beraksi dalam dua filem - Bohsia 2 dan Tomboy tidak lama lagi. Terdahulu, watak pembantu dalam filem Khurafat arahan Syamsul Yusof.

"Saya bersyukur tawaran berlakon mencurah walaupun sudah bergelar ibu," katanya.

Salina juga mengikat kontrak tiga tahun dengan Skop Production Sdn Bhd (Skop) dan sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod Gerak Khas.

"Saya sering ditawarkan watak antagonis mungkin kerana wajah yang garang sedangkan saya boleh berlakon komedi juga.

"Saya juga kecewa siri komedi lakonan saya, Saat S.B masih belum ditayangkan lagi. Apa yang menarik, watak itu kombinasi siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Spanar Jaya. Saya juga pegang watak utama dalam siri itu.

"Saya akui sering ditawarkan watak antagonis kerana wajah yang garang. Antara watak diidamkan ialah wanita dua karakter dan psiko. Saya juga terima watak pembantu dalam filem Khurafat kerana ingin mencuba genre hantu pula," katanya.

Secara peribadi, Salina yang juga anak saudara kepada pengarah Norliza Ismail berkata, dia berasa terhutang budi dengan penerbit dan pelakon popular Rosyam Nor yang memperkenalkannya dalam bidang lakonan.

"Rosyam yang menggilap bakat saya berlakon dalam drama bersiri CID 3278. Penerbit Skop, Datuk Yusof Haslam berminat mengambil saya berlakon apabila menonton lakonan saya dalam drama itu.

"Selain itu, penerbit Raja Alawiyyah menawarkan saya berlakon dalam drama bersiri Kembali Bertaut," katanya. Sesibuk manapun berlakon, isteri kepada Azmir Osman, 46, ini berusaha mengimbangkan kerjaya seni dan rumah tangga. Apatah lagi, rumah tangga mereka baru dikurniakan cahaya mata, Farah Syakira atau Kiera yang berusia setahun.

"Saya juga terpaksa menolak tawaran berlakon filem di Perak kerana ia membabitkan tempoh sebulan.

"Begitu tawaran berlakon di luar daerah kerana tidak sanggup berpisah dengan Kiera yang masih kecil. Saya tidak sanggup berpisah dua hari pun dengannya sekarang," katanya.

Sebagai ibu, Salina mengakui tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan Kiera membesar depan matanya.

"Kiera kini sudah pandai berjalan dan suka membebel dengan pelatnya. Habis penggambaran jam 3 pagi pun, saya akan terus ke rumah emak yang menjaga Kiera apabila saya keluar bekerja. Secara kebetulan, emak juga tinggal berdekatan dengan kami di Cheras," katanya.

Mengenai perancangan masa depan Kiera, Salina berkata, dia dan suami bekerja keras untuk memberikan pendidikan terbaik pada Kiera.

"Kami berharap Kiera akan berjaya menjadi doktor pakar kanak-kanak apabila dewasa nanti.

"Saya juga berharap Kiera akan menjadi penyanyi kerana saya juga minat menyanyi sebelum ini. Namun, saya terpaksa beralih pada bidang lakonan apabila melihat rezeki saya lebih murah dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya, Kiera pernah dapat tawaran watak bayi tapi saya tak sanggup melihat dia kepanasan kena cahaya lampu ketika penggambaran drama," katanya.
Pada masa sama, Salina berkata, dia beruntung kerana suami menyokong minatnya dari belakang.

"Suami adalah pembakar semangat saya dalam bidang seni. Apabila saya berputus asa dalam bidang seni, suamilah yang memberi semangat pada saya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Keluarga memang menyokong minat saya untuk bergelar pelakon. Emak juga menyedari minat saya berlakon sejak kecil lagi. Emak juga memberitahu, saya memang suka bercakap depan cermin dan buat dialog dengan anak patung ketika itu," katanya.


Profil
NAMA: Salina Saibi
PANGGILAN: Salina
ASAL: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 10 Januari 1982
USIA: 28 tahun
KARIER : Pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Azmir Osman, 46
ANAK: Farah Syakir, setahun
DRAMA: Antaranya CID 3278, Airmata Maria, Pasrah, Kembali Bertaut, 3 X 3, Calon Suami, Bila Guruh Bergempita, Gym (sitkom), Payung Ke Syurga, Farah Nina dan Spy Man.
FILEM: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
PENCAPAIAN: Anugerah Aktres Pembantu Terbaik FFM22

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: