Friday, April 30, 2010

Mediu tawar program bahasa Arab


Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi (tengah) semasa mengumumkan program Bahasa Arab Mediu di Shah Alam, Selangor.


KINI anda bukan sahaja berpeluang mempelajari Bahasa Arab tetapi dijamin dapat mempelajari bahasa itu dengan mudah.

Demikian ikrar Universiti Antarabangsa al Madinah (Mediu) Cawangan Malaysia di Shah Alam, Selangor.

Sebagai universiti yang berorientasi pembelajaran dan pengajaran melalui dunia siber, ini menjadikan bahasa Arab semakin mudah dipelajari oleh para pelajar tanpa mengira latar belakang.

Justeru, Mediu baru-baru ini melancarkan program atau sistem pengajian bahasa Arab, 1 Malaysia Speak Arabic.

Sistem ini membolehkan setiap pelajar mempelajari dan menguasai bahasa Arab dengan kaedah-kaedah yang lebih mudah dan berkesan.

Ia dibangunkan melalui gabungan modul-modul bahasa Arab dari Madinah dan sistem teknologi maklumat daripada pakar-pakar tempatan.

Memperkenalkan sistem pengajian

Semasa melancarkan program itu, Rektor Mediu, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi berkata, 1Malaysia Speak Arabic bertujuan memperkenalkan sistem pengajian bahasa Arab khas untuk masyarakat yang bukan berbangsa Arab.

Ia supaya mereka juga dapat menimba banyak faedah dan manfaat daripada bahasa itu terutama dalam pelbagai urusan.

Lebih-lebih lagi dalam ibadah, ilmu pengetahuan dan pendidikan, perniagaan, pelancongan dan sebagainya.

Kata beliau, inisiatif ini diambil atas kesedaran bahawa Bahasa Arab mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu bahasa yang paling utama di dunia pada masa akan datang.

"Pelancaran program ini, memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan keturunan mempelajari Bahasa Arab sehingga mampu menguasai dalam tempoh yang singkat.

"Mereka yang mendaftar awal layak menikmati promosi diskaun yuran pengajian sehingga 60 peratus untuk tempoh selama enam bulan, iaitu RM600 berbanding yuran asal RM1,400," kata Dr. Muhammad Khalifa.

Sama ada mempelajarinya daripada peringkat asas, para pelajar bagi kursus jangka pendek ini juga akan mempelajari bahasa Bahasa Arab dari pelbagai aspek kemahiran yang merangkumi perniagaan, perubatan, kejuruteraan, penyiaran.

Muhammad Khalifa juga menjangka, para pelajar akan mempunyai persepsi yang lebih positif mengenai Bahasa Arab.

Sekaligus membetulkan persepsi selama ini bahawa bahasa Arab dikatakan sukar, perlu menghafal dan mengambil masa yang lama, bertahun-tahun untuk menguasainya.

"Ini kerana dengan menggunakan kaedah kemajuan teknologi maklumat, ia menjadikan pembelajaran bahasa Arab itu lebih menarik, interaktif dan boleh dipelajari di mana sahaja, selagi seseorang pelajar itu berada dalam talian.

"Seperti yang disaksikan sendiri, didapati tanpa mengunakan sebarang bahan cetak atau buku serta kitab mempelajari bahasa Arab melalui Internet ini adalah sangat menarik," tambahnya.

Di samping penguasaan sepenuhnya terhadap kaedah audio dan visual yang canggih, para pelajar dapat meneroka keindahan bahasa ini mengikut pelbagai bidang gunaannya.

Lebih menarik lagi, kursus bahasa Arab turut diajar dengan menggunakan dwi bahasa, iaitu bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program, hubungi Mediu di talian 03-5511 3939.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: