Friday, April 30, 2010

IRM rancang lebih banyak program


IRM bersama rakan-rakan sukarelawan yang berbilang bangsa berkunjung ke rumah kebajikan yang majoritinya berbangsa Cina.


PROGRAM 'Jejak Prihatin' merupakan antara program tempatan terbaru yang direncanakan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) tahun ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Malah untuk program sulung ini, kita telah memfokuskan masyarakat di sekitar Perlis dan Kedah dahulu.

"Insya-Allah, kita akan menjelajahi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dalam menghulurkan bantuan. Selain mensasarkan sekitar Lembah Klang sebagai destinasi terakhir program.

"Sebenarnya, ini merupakan program berterusan pihak kami dalam membantu golongan sasaran. Pada masa sama, kami juga akan turut mengusahakan penaja sama ada daripada individu, korporat ataupun organisasi yang prihatin untuk turut serta berganding bahu dalam menjayakan program ini."

Demikian kata Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah mengulas mengenai program tiga hari dua malam itu yang berakhir di Kampung Tebing Tinggi, Bintong, Kangar, Perlis, sekali gus penamat program bantuan kemanusiaan kepada 11 keluarga di sekitar utara Semenanjung Malaysia itu.

Uniknya, program Jejak Prihatin ini kata Zawahir, konsep perlaksanaan bantuan yang diketengahkan adalah agak berbeza. Di mana IRM mempraktikkan pendekatan menerusi ziarah atau kunjungan ke rumah penerima manfaat itu sendiri.

"Kami lakukan sebegini kerana menerusi kunjungan itulah, kita dapat menilai, seterusnya dapat merasai kesusahan yang mereka hadapi selama ini.

"Daripada data yang diperoleh itu nanti, berkemungkinan para penerima ini turut layak menerima bantuan-bantuan lain yang sudah sedia ada dilaksanakan oleh IRM.

"Dalam kunjungan itu juga, pihak IRM akan menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan bagi meringankan beban kesusahan penerima manfaat yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang dikehendaki IRM," jelas beliau.

Di samping itu, untuk tahun ini juga IRM memperkenalkan konsep Penajaan Anak Yatim. Kata Zawahir, menyedari hakikat dan berpegang kepada misi kemanusiaan, konsep penajaan One to One ini bagi membantu anak-anak yatim dengan memfokuskan kepada pendidikan dan juga kesihatan.

"Projek unik ini membolehkan orang ramai terutama masyarakat dunia sama-sama menghulurkan bantuan dalam memberi kehidupan kepada anak-anak yatim," katanya.

Melalui program berbentuk pakej penajaan, ia memberi peluang kepada orang ramai yang prihatin membuat penajaan sehingga anak-anak yatim itu berumur 18 tahun.

"Anak-anak yatim itu berpeluang menikmati kehidupan seperti insan biasa tanpa perlu meninggalkan rumah mereka.

"Setiap penaja atau keluarga angkat tersebut akan berpeluang untuk mendapat laporan secara eksklusif mengenai perkembangan anak-anak yatim tersebut," ujarnya.

Sumbangan ini akan membolehkan anak-anak yatim ini memperoleh makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan juga sokongan moral.

Manakala menerusi menerusi Underprivileged Children Edutainment Programme atau Program Pendidikan Melalui Hiburan tambah Zawahir, ia merupakan salah satu program kebajikan anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Melalui program itu katanya lagi, para sukarelawan akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah kebajikan dan mengadakan berbagai aktiviti bersama kanak-kanak di rumah tersebut.

Objektif utama program ini adalah memberi pendedahan, membina kemahiran berkomunikasi, bekerjasama dan bersosial di dalam suasana santai dan penuh keceriaan.

"Program sebegini juga sering menjadi platform bagi para sukarelawan IRM meluangkan masa sambil berkongsi juadah dan cenderahati bersama kanak-kanak tersebut," katanya.

Menurut Zawahir, tahun ini adalah tahun kelima IRM beroperasi di Asia dalam memberi perkhidmatan kemanusiaan sejagat.

Lanjutan itu, pelbagai program kemanusiaan telah dirancang untuk tahun 2010 sama ada peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa.

Program yang dirancang ini meliputi program bantuan kemanusiaan yang melibatkan golongan fakir miskin, golongan OKU, anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan.

Saran Zawahir lagi, IRM amat menggalakkan aktiviti sukarelawan di kalangan masyarakat Malaysia untuk membantu usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan, sama ada di peringkat tempatan mahupun di luar negara.

Setakat ini, IRM mempunyai seramai 750 sukarelawan yang telah berdaftar dalam memberi sokongan dan bantuan kepada aktiviti-aktiviti kami.

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan pelajar sekolah, siswazah, pegawai kerajaan, suri rumah dan juga golongan profesional.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha IRM atau menghulurkan bantuan, anda boleh layari laman web kami di www.irm.org.my atau hubungi Farouq Zauji di talian 03-8948 6334.

Anda juga boleh berkunjung ke pejabat IRM di Taman Sri Serdang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: