Wednesday, April 28, 2010

Lagu Pop Terbaik pertaruh karya hebat


SELAIN ciptaan yang indah, lagu Pergi diperhebatkan lagi dengan penghayatan dan emosi Aizat.


BERMULA tahun lalu, Anugerah Industri Muzik (AIM) telah memperkenalkan lapan kategori baru khusus bagi mengiktiraf lagu dalam setiap genre yang berbeza.

Sememangnya, pengwujudan kategori tersebut telah memberi satu impak yang bukan kecil kepada penganjuran AIM yang saban tahun dinanti-nantikan.

Lapan kategori yang dimaksudkan itu adalah Lagu Pop Etnik, Nasyid, Rock, Pop dan Hip Hop Terbaik.

Bukan itu sahaja, AIM turut mengiktiraf tiga lagi kategori lagu dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu Lagu Inggeris, Cina dan India Tempatan Terbaik.

Ramai yang berpendapat kategori dalam lapan genre muzik yang berbeza itu hadir tepat pada waktunya walaupun ia sepatutnya diwujudkan sejak dari awal AIM dianjurkan.

Pun begitu, tahniah diucapkan kepada AIM kerana berjaya merealisasikan impian karyawan muzik tempatan.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilihat telah menyuntik semangat baru buat karyawan muzik tempatan dalam melahirkan karya-karya yang berkualiti khususnya dalam genre muzik berbeza.

Semuanya adalah kerana perubahan mendadak yang dialami oleh industri muzik tempatan yang kini menuju ke arah pasaran digital dan penghasilan single sahaja.

Untuk edisi kali ini, Hits akan membawa pembaca melihat lima calon hebat yang berentap untuk mengungguli kategori Lagu Pop Terbaik.

Tahun lalu, kategori ini menyaksikan lagu Cinta Adam dan Hawa hasil kolaborasi Azmeer dan Allahyarham Loloq dinobatkan sebagai pemenang pertama.

Kini, teka-teki pun sudah bermula di kalangan peminat dalam meramalkan lima lagu yang bertanding tahun ini untuk dinobatkan sebagai Lagu Pop Terbaik.

Lima karya yang tercalon tahun ini adalah Cinta Ada hasil ciptaan Fred Chong dan Asmin Mudin, Dan Sebenarnya (Yuna), Masih Jelas (Aidit Alfian & Ad Samad), Pergi (Pete Teo & Amran Omar) dan Permaisuriku (Omar K, Azlan Abu Hassan & Zel).

Memang tidak dapat dinafikan kehebatan lima lagu ini sudah cukup terbukti apabila masing-masing ditangani oleh komposer serta penulis lirik yang bukan calang-calang.

Sudah pasti, ia menyaksikan pertarungan yang cukup sengit dan juri juga akan pening kepala untuk memilih karya yang benar-benar layak menerima gelaran ini.

Dalam lima lagu ini, lagu Cinta Ada dilihat sebagai calon utama untuk memenangi lagu ini berdasarkan komposisi dan liriknya yang unik serta menepati ciri-ciri muzik pop itu sendiri.

Apatah lagi, lagu ini dibawakan oleh tiga penyanyi wanita dari tiga bangsa yang berlainan iaitu Datuk Sheila Majid, Jaclyn Victor dan Karen Kong yang memberi satu dimensi baru dalam penghasilan lagu Melayu khususnya.

Nyanyian ketiga-tiga penyanyi ini menjadikan lagu ini begitu kuat dan berjaya berbekas di hati pendengar serta peminat.

Malah, sejak mula ia diputarkan di corong radio, lagu ini cepat benar menangkap telinga pendengar.

Tidak keterlaluan juga dikatakan, lagu ini merupakan antara yang terbaik pernah dihasilkan sepanjang tahun lalu.

Saingan terdekat Cinta Ada yang dapat dilihat adalah lagu Pergi yang pastinya juga antara yang disebut-sebut mampu dinobatkan sebagai Lagu Pop Terbaik.

Gabungan melodi dan liriknya yang begitu menjadi dan ditambah pula dengan emosi serta penghayatan yang cukup berkesan oleh Aizat menjadikan lagu ini begitu istimewa.

Mungkin ramai juga yang beranggapan lagu ini akan menang mudah untuk kategori ini memandangkan lagu ini telah dinobatkan sebagai Juara Lagu dalam Anugerah Juara Lagu Ke-24, bulan Januari lalu.

Tetapi harus diingat, AIM sentiasa menjanjikan kejutan yang pastinya akan ada yang melopong mulut.

Tidak semestinya berjaya di pentas AJL, kejayaan itu akan dapat diulang di AIM kerana juri yang terlibat dalam penjurian untuk kedua-dua anugerah ini adalah berbeza.

Namun, kalau Pergi menang pada malam itu ia boleh dianggap sebagai kemenangan berganda buat Pete, Amran dan Aizat selepas AJL.

Sebuah lagi lagu iaitu Dan Sebenarnya juga berpotensi besar untuk merangkul gelaran Lagu Pop Terbaik.

Lagu ciptaan sepenuhnya dan dinyanyikan sendiri oleh Yuna ini memiliki melodi dan lirik yang cukup ringkas lalu tiada sebab mengapa lagu ini tidak mampu mencipta kejayaan.

Ditambah pula dengan kemenangan lagu ini di tempat kedua dalam AJL, mungkin rezeki akan berpihak kepada Yuna.

Ramai yang melihat dan menganggap lagu Dan Sebenarnya tiada apa yang baru kerana formula yang sama pernah dihasilkan oleh penyanyi Barat sebelum ini.

Tetapi, konsep lagu seperti mana yang dibawakan Yuna dilihat masih baru di dalam industri hiburan tanah air dan perubahan yang dibawa Yuna ternyata diterima dengan baik.

Karya dynamic duo, Aidit dan Ad menerusi lagu Masih Jelas juga tidak boleh dipandang enteng kerana komposisi lagu ini juga cukup kuat.

Ditambah dengan nyanyian cemerlang oleh juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz ini juga dikatakan antara hasil kolaborasi terbaik Aidit dan Ad setakat ini.

Masih Jelas memiliki keserasian muzik serta melodi yang menjadikan lagu ini 'berhantu' dan keberkesanan susunan muzik oleh Acis menambahkan merit kepada lagu ini.

Sebuah lagi lagu, Permaisuriku yang tercalon dalam kategori ini dilihat sedikit mengejutkan dan pastinya lagu ini menjadi calon underdog (calon bukan pilihan) kali ini.

Kalau lagu nyanyian Jay Jay ini dianggap tidak layak, mana mungkin juri akan memilihnya.

Kerana itu, pasti ada keistimewaan yang dimiliki lagu Permaisuriku sehingga layak bertanding.

Apatah lagi, kredibiliti komposer Azlan Abu Hassan yang bukan satu nama asing dalam AIM kerana Azlan sendiri pun sudah empat kali diiktiraf dalam kategori Lagu Terbaik.

Siapa tahu hasil kolaborasinya dengan Omar K dan Zel mampu mencipta kejayaan kali ini sekali gus berpeluang untuk ditempatkan dalam kelompok lima lagu terbaik untuk dipertandingkan dalam kategori Lagu Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: