Pelumba negara Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Kejohanan Basikal Trek Dunia dalam acara keiran di Ballerup, Copenhagen, pada 26 Mac 2010. Pemenang pingat emas dimenangi Juara Olimpik, Chris Hoy dan pemenang pingat gangsa Levy Maximillian dari Jerman.KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal Mohd Azizulhasni Awang akan menjadikan pemilihannya selaku Olahragawan Kebangsaan 2009 sebagai pembakar semangat untuk memburu pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik London 2012.
Pelumba berusia 22 tahun itu berkata anugerah itu adalah sesuatu yang membanggakan dan menggembirakannya kerana mendapat pengiktirafan tertinggi di negara ini.
"Namun sebelum aksi di Olimpik 2012, pengiktirafan ini akan memberi perangsang untuk saya mempamerkan aksi yang cemerlang pada peringkat antarabangsa terutamanya menjelang Sukan Komanwel dan Asia yang akan berlangsung penghujung tahun ini," katanya.
Mohd Azizulhasni menerima trofi dan ganjaran berjumlah RM10,000 atas kejayaan meraih anugerah tertinggi sukan negara itu, yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pelumba yang terkenal dalam sirkit antarabangsa dengan gelaran "Pocket Rocketman' berharap ia akan dapat memberi semangat untuk atlet-atlet yang lain terutamanya kepada mereka yang masih muda untuk terus mencipta kejayaan terutamanya pada peringkat antarabangsa.

"Malah diharapkan sukan di Malaysia akan terus berkembang sebagai satu industri seperti yang direncanakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek," katanya.
Pengiktirafan itu turut bermakna kerana dapat meneruskan kesinambungan atlet-atlet berbasikal yang mendapat pengiktirafan tertinggi di Malaysia selepas kali terakhir Josiah Ng menenanginya pada 2004, tambah beliau.
"Kejayaan saya juga adalah kerjasama daripada semua pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), jurulatih (John Beasley), para penaja dan keluarga," katanya.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengetepikan beberapa calon lain terutamanya penyandang tahun lepas, Datuk Lee Chong Wei daripada sukan badminton.
Dari kiri: Penunggang dari Britain, Chris Hoy; Azizulhasni Awang dan penunggang dari Australia, Scott Sunderland bersaing semasa perlumbaan UCI World Track Cycling Championships pada 27 Mac 2010 di Ballerup berdekatan Copenhagen.Calon-calon lain yang tersenarai adalah Sazali Abdul Samad (bina badan), Loh Jack Chang (wushu) dan Zulmazran Zulkifli (tenpin boling). Sepanjang tahun lepas, Mohd Azizulhasni berjaya mengibarkan bendera Malaysia di persada dunia apabila meraih pingat perak dalam acara 200 meter pecut di Kejohanan Trek Dunia di Poland pada Mac.
Beliau sebelum itu meraih pingat emas dalam acara Keirin pada siri keempat kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China pada Januari tahun lepas.
Di peringkat Asia, beliau meraih dua emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-29 yang berlangsung di Kalimantan, Indonesia pada April tahun lepas melalui 200 meter pecut individu dan berpasukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: