|
|
PERNAH terlintas di fikiran Hazami untuk terus bersara dari dunia seni apabila memikirkan kerenah birokrasi terhadap dirinya.
Manakan tidak, sejak kelahiran album ketiganya, Nyata pada tahun 2007, lagu-lagunya langsung tidak dimainkan di sesetengah stesen radio swasta.
Sehingga ada yang tidak sedar akan kelahiran album tersebut yang memuatkan banyak lagu-lagu berkualiti hasil sentuhannya sendiri bersama komposer handalan lain.
Yang tidak habis-habis diputarkan adalah lagu Sonata Musim Salju dan Mungkir Bahagia sehinggakan peminatnya sendiri bertanya adakah Hazami sudah ketandusan lagu baru.
Namun, dia masih lagi mampu bersabar dan terus berusaha serta bekerja keras melahirkan produk terbaru yang fikirnya mampu mengubati kekecewaannya.
Lalu, dengan penuh yakin, dia mengatur langkah seninya apabila tampil dengan album berkembar, Yang Pertama/Running yang boleh dianggap sebagai satu kerja gila.
Sudah bosan
Manakan tidak, dalam senario suram industri muzik masa kini, mana ada artis tempatan yang begitu berani melahirkan dua album serentak.
Yang Pertama/Running merupakan album keempat dan kelimanya yang memperlihatkan keberanian anak kelahiran Ipoh, Perak ini menongkah arus dalam penerbitan album tempatan.
Tanpa ragu, semangat dan keberanian Hazami menerbitkan album Melayu dan Inggeris dalam satu masa memang wajar dipuji.
Maka itu, harapannya cukup tinggi untuk melihat lagu-lagu daripada dua buah album ini dimainkan di corong radio bagi membuktikan dirinya masih lagi wujud di dalam industri.
Namun, sekali lagi dia dihambat kekecewaan dan kehampaan apabila menjadi mangsa birokrasi segelintir stesen radio swasta.
Mengakui sudah bosan dengan apa yang berlaku, jelas Hazami, dia tidak mahu terus memikirkan musibah yang melanda dirinya.
Sebaliknya, dengan penuh tegas dia memberitahu, dia perlu meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik kerana kekuatannya dalam industri adalah berkat sokongan padu peminatnya.
"Saya harus akui bukan semua stesen radio swasta tidak memutarkan lagu-lagu saya dan untuk itu, saya harus berterima kasih kepada mereka.
"Bukan mereka sahaja, malah kesemua stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga tidak pernah lupa memainkan lagu-lagu saya.
"Sokongan mereka amat saya hargai dan saya melihatnya sebagai satu pembakar semangat untuk saya terus maju dalam bidang seni," luah Hazami penuh jujur dalam satu pertemuan di ibu negara, baru-baru ini.
Mendengar keluhan dan luahan hati Hazami, terfikir juga apakah bakatnya tidak cukup bagus untuk ditonjolkan kepada masyarakat.
Sedangkan, kredibilitinya sebagai seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik memang tidak dapat disangkal lagi.
Memang jarang bertemu bakat yang memiliki pakej lengkap untuk bergelar penghibur seperti Hazami.
Tidak seperti sekarang, paras rupa yang dijadikan sandaran sedangkan bakat yang ada tidak begitu menyakinkan.
Kalaulah bakat seperti Hazami menetap di Hollywood, barangkali dia sudah menjadi seorang hartawan dan diangkat sebagai penghibur yang cukup disegani.
"Saya harus akui kadang-kala hati saya terusik dengan apa yang saya lalui dan memang ada terfikir untuk berhenti daripada berkarya.
Terubat
"Tetapi, semuanya sementara sahaja dan selepas itu, tangan ini mula menjalar mencari piano untuk dimainkan sekali gus mendapat ilham mencipta lagu," cerita penghibur berusia 35 tahun ini ramah sambil ketawa.
Di sebalik kekecewaan yang dialami, Hazami mengakui semuanya terubat apabila album Running diiktiraf oleh Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17).
Bicaranya yang pada mulanya disulam kesedihan, dengan pantas bertukar gembira apabila memperkatakan tentang tiga pencalonan yang diterimanya menerusi album Running.
Ia termasuklah Album Inggeris Tempatan Terbaik serta Lagu Inggeris Tempatan dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu bagi lagu Survivor.
Biarpun hanya sekadar dicalonkan, empunya nama penuh Nor Kamal Hazami Ahmad ini sudah cukup gembira dan bangga apabila Running mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Malah, dalam nada syukur, dia menganggap tiga pencalonan itu merupakan rahmat besar apabila ia dilihat sebagai penyelamat kariernya.
Dalam masa yang sama, Hazami yang mula menempa nama menerusi lagu saduran, Sonata Musim Salju ini tidak pula berasa ralat apabila album Yang Pertama gagal mendapat sebarang pencalonan.
"Mungkin juri mencari satu perubahan dalam muzik saya dan semuanya itu dapat dilihat menerusi Survivor.
"Kedua-dua album ini memperlihatkan kematangan saya dari segala aspek teknikal muzik termasuk vokal, lagu dan juga lirik.
"Penghasilan album ini menyaksikan kerahan tenaga yang luar biasa kerana hampir setahun saya memberi tumpuan serta fokus sebelum ia dapat direalisasikan.
Album keenam
"Saya memang cukup sedar dalam pasaran muzik sekarang penjualan album memang menyedihkan tetapi saya tidak kisah kerana saya lakukan demi peminat," jelas Hazami yang melahirkan album Running berdasarkan permintaan peminatnya sendiri.
Mungkin ramai yang tidak tahu, sejak menceburkan diri dalam dunia seni pada tahun 1999, hampir kesemua lagu-lagu ciptaan Hazami semuanya adalah dalam bahasa Inggeris.
Antara lagu-lagunya di dalam bahasa rasmi dunia itu adalah Coretan Cinta nyanyian Dayang Nurfaizah dan Pinta (Nikki).
Ini kerana kata Hazami, dia lebih selesa untuk menulis di dalam bahasa Inggeris kerana mudah untuk mendapat mood dan senang dihayati.
Diterbitkan di bawah labelnya sendiri, Hazami Records Sdn. Bhd., album Yang Pertama/Running, jelas Hazami ia hanya dijual dalam jumlah yang begitu terhad iaitu 1,500 salinan sahaja.
Soal menang atau kalah, katanya, bukanlah agenda utamanya kerana apa yang penting produknya diiktiraf oleh pihak yang terus menghargai karyawan seni tempatan.
Tergamam penulis seketika apabila Hazami mengkhabarkan akan muncul dengan album keenamnya, Petikan Sedekad Hazami dalam tempoh terdekat ini yang sudah siap menjalani rakamannya.
Album itu menampilkan lima lagu popular ciptaannya sendiri iaitu Tekad, Tabah, Mungkir Bahagia, Ku Cinta Padamu dan Kata Cinta Madah Dusta yang diberi susunan muzik baru dengan menyelitkan elemen strings.
Malah, ia juga akan memuatkan karya terbarunya, Andai Bisa Kau Rasa di samping lima lagu minus one.
Tidak cukup dengan itu, dia juga kini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album ketujuhnya yang bakal menyaksikan sisi lain muzik yang ditampilkan.
Ini kerana Hazami akan berkolaborasi dengan kumpulan Meet Uncle Hussain dan 6ixth Sense.
"Saya tidak kisah apa orang nak perkatakan tentang saya apabila berterusan menerbitkan album dalam waktu sukar begini.
"Semua saya lakukan kerana minat dan semangat saya dalam bidang muzik yang sama sekali tidak akan pudar.
"Saya kini bersedia untuk aktif secara menyeluruh di dalam bidang ini dan tidak mahu menunggu masa lama lagi.
"Sekarang adalah masa untuk saya berkerja keras mengukuhkan nama saya di persada seni biarpun menjadi mangsa birokrasi sesetengah pihak," tegas Hazami dengan maksud yang cukup mendalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: