Thursday, April 29, 2010

RS promosi kempen ABJZ


Bidang masakan adalah antara kemahiran yang disediakan kepada pelatih di RS.


REALITI masyarakat Malaysia hari ini amat terdedah dengan pelbagai isu dan masalah sosial yang tidak berkesudahan. Saban hari ada sahaja terpampang di dada-dada akhbar isu kes pembuangan bayi, remaja ditangkap khalwat dan bermacam-macam isu sosial yang melibatkan remaja dan belia Melayu Islam. Sampai bilakah fenomena ini akan berterusan?

Kalau akhbar Utusan Malaysia menerajui media arus perdana di Malaysia dengan mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi menerusi kempen Kami Prihatin.

Berlainan pula dengan Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, yang sedang giat dengan kempen 'Anda Bijak Jauhi Zina' (ABJZ). Ia adalah program mendidik, membimbing dan memperkasa generasi masa depan untuk mengatakan tidak kepada zina.

Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Rosmawati Zainal menjelaskan, kempen yang sedang dijalankan sekarang ini, berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul, menerusi dua pakej program yang ditawarkan iaitu; Pakej program untuk remaja, belia dan mahasiswa serta Pakej program untuk warga pendidik, kaunselor, korporat dan sebagainya.

"RS Master Training & Consultancy akan menjadi badan pertama yang berhemah dalam usaha untuk menyebarkan maklumat dan memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat. Ini sekali gus, satu usaha mengurangkan gejala tidak sihat di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang 2011 sehingga mencapai zero zina.

"Justeru, dalam setiap pakej program terdapat beberapa modul boleh dipilih pihak-pihak yang berminat. Misalannya, ABJZ Preview, ABJZ Tour dan ABJZ Camp. Manakala pakej kedua pula, menyediakan sesi latihan dan bimbingan (Training of Trainer) untuk mereka yang berminat membawa modul ABJZ ini di tempat mereka.

"Malah pihak kami juga pernah dijemput untuk menjayakan program bersama media massa sama ada, media cetak mahupun media elektronik," terang Rosmawati atau lebih mesra membahasakan dirinya Umi kepada pelatih-pelatih di RS dalam satu pertemuan bersama Mega di ibu pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.

Tambah Rosmawati, rentetan daripada pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim beberapa bulan yang lalu bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.

Akuinya, angka ini membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini sudah semakin membarah. Malah ia turut memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.

"Sebenarnya, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Bayangkan angka di atas itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan.

"Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja yang perlu kita buat dan laksanakan. Kerja ini pula mestilah dilakukan oleh semua pihak. Malah menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?" soalnya.

Melihat kepada visi RS iaitu 'Ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020'. Dirasakan ia agak mustahil dicapai, apatah lagi dengan angka yang diisytiharkan di atas. Tidakkah ini dirasakan satu harapan yang sekadar gimik sahaja atau cita-cita yang terlalu tinggi?

Akui Rosmawati, kalau dilihat secara zahir memang mustahil. Tapi keyakinan kepada Allah SWT mengatasi segalanya. Apa yang penting, berusaha tanpa kenal putus asa.

"Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak-anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.

"Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada pihak atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tidak menjadi khalifah Allah, maka tidak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itulah orang-orang yang beruntung," tegas Rosmawati.

Ujarnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mestilah menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung, walaupun orang itu setiap hari menghina Baginda. Itulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat, sentiasa menegur remaja yang sudah nampak tersasar hala tuju atau matlamat hidup mereka.

"Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tidak nampak macam mana nak ubah dunia," kata Rosmawati bersemangat dan tidak lekang dengan senyuman.

Lantaran itu, RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara dengan memperbanyakkan lagi rumah-rumah perlindungannya. Cita-cita dan visi RS ialah menjelang 2020, semua rumah perlindungan RS ditutup. Namun, buat masa ini ia terpaksa diwujudkan.

"Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup."

Sehubungan dengan itu, RS akan mengadakan 'Malam Amal Raudhatus Sakinah' (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei atau Ahad ini, pukul 8 malam sehingga 10 malam.

Bertemakan 'Lelaki Pelindung Wanita', program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan.

Kata Rosmawati, tema itu diambil daripada ayat 34, surah an-Nisa bagi membangkitkan kesedaran kepada lelaki bahawa mereka bertanggungjawab melindungi dan membimbing wanita ke arah kebaikan.

"Kaum lelaki seharusnya menjadi contoh terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Pada malam tersebut, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangan khas ialah Penaung RS, Yang Mulia Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff, yang juga bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung.

Bersempena itu juga, RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS untuk sama-sama menjana dana bagi pengurusan dan pembangunan RS di seluruh negara, selain menekankan keperluan amar makruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat.

Bagi tujuan pengumpulan dana, pihaknya akan menjual meja (10 kerusi) kepada tetamu iaitu dari harga RM1,000 sehingga RM5,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: