Friday, April 30, 2010

Kad pengenalan Siti disalahgunakan




DI sebalik fungsi teknologi Internet yang memudahkan pelbagai informasi diperoleh dengan cepat, ia juga boleh menjadi satu medium untuk seseorang itu mengambil kesempatan ke atas individu yang lain.

Lebih-lebih lagi bagi golongan selebriti yang sememangnya dikenali umum, perasaan ingin tahu daripada pihak luar mengenai mereka membuak-buak.

Sehinggakan dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan, hampir semua maklumat peribadi boleh diketahui tanpa memerlukan pemilik sebenar membukanya.

Begitu juga dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, apabila nombor kad pengenalannya telah disalahguna oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Individu tersebut telah menggunakan nombor kad pengenalan Siti untuk mengesan sejumlah 27 saman polis yang dikenakan terhadap kereta-kereta milik Siti yang kesemuanya berjumlah RM5,050 dan kemudian menyebarkan maklumat terperinci mengenainya di Internet.

Menurut Siti, biarpun dia tidak kisah dengan paparan samannya yang tersebar di Internet, penyanyi jelita itu bagaimana pun menegaskan akan mengambil tindakan jika penyalahgunaan nombor kad pengenalannya itu melampaui batas.

"Biasalah bab saman-saman, semua orang pasti melaluinya. Tapi jika pengesanan menggunakan kad pengenalan saya melampaui batas, seharusnya individu tersebut perlu diambil tindakan.

"Memang saya tak kisah, cuma bila ada orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas kad pengenalan kita, itu adalah sangat tidak patut, "tegasnya.

Tambah Siti: "Saya tahu untuk melihat jumlah saman yang dikenakan, ia boleh diperiksa melalui laman web tertentu. Macam inilah, kepada individu berkenaan, kalau kita tidak jujur pada diri, apa-apa sahaja yang dibuat akan memberi kesan buruk kepada diri kita.

"Saya tak marah kerana yang menyamar itu mesti suka-suka mahu mengesan bil saman itu tapi pada masa yang sama janganlah ambil kesempatan. Mula-mula memang suka, lama-lama boleh jadi satu kes. Apa motif dia sebenar? Saya tak pasti," katanya.

Memandangkan nombor kad pengenalan setiap individu bukan lagi menjadi satu rahsia, Siti mencadangkan agar prosedur bagi membuka laman pemeriksaan saman atau perkara-perkara lain diperketatkan.

"Pemeriksaan bil saman atau perkara lain melalui Internet memang mudah bagi golongan yang sibuk. Tetapi saya harap prosedur membuka laman berkenaan perlulah diperketatkan.

"Contohnya, selain mengisi nombor kad pengenalan dalam maklumat laman tersebut, sekurang-kurangnya perlu ada kata laluan yang hanya empunya diri sahaja yang tahu.

"Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada terkena daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," tegas Siti yang mengakui akan membayar saman yang dikenakan terhadapnya itu dalam masa terdekat ini.

Rehat panjang

Selama 15 tahun bergelar anak seni, buat pertama kalinya, Siti telah membuat keputusan untuk berehat panjang bermula Jun depan sehinggalah ke akhir tahun ini.


SITI dan suami tidak putus asa untuk mendapat zuriat.


Sebelum itu pelbagai spekulasi yang timbul mengenai tujuan rehat panjangnya itu. Ada yang berkata ia merupakan langkah pertama bagi anak kelahiran Kuala Lipis itu mahu mengundur diri.

Ada juga khabar angin mengatakan Siti mahu merehatkan diri agar memudahkan dirinya untuk mendapatkan cahayamata yang menjadi idamannya sejak awal perkahwinannya lagi.

Bagaimanapun beritahu Siti, tidak kira sama ada dirinya berehat atau tidak, dia bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, sememangnya berusaha untuk ke arah mendapatkan zuriat.

"Memanglah, kalau nak diikutkan, orang kata jangan terlalu memikirkan sangat kerana ia boleh mengganggu proses mendapatkan zuriat.

"Ikhlas saya katakan, saya berusaha dari dulu sampailah sekarang. Saya percaya ada rezeki kami. Mungkin ada hikmahnya mengapa kami lewat mendapat zuriat. Maklumlah, banyak perkara yang perlu diselesaikan.

"Kalau cepat dapat anak, alhamdulillah, rezeki kami," ujarnya tenang.

Bagaimanapun, tambah Siti, keputusannya untuk berehat panjang tidak bermakna dirinya tidak aktif langsung.

Sebaliknya, penyanyi jelita itu ingin merehatkan diri daripada karier nyanyian dan akan fokus kepada perniagaan produk barunya, SimplySiti.

"Nak ikutkan, tahun 2009 hingga 2010 adalah tahun masa yang paling sibuk. Jadi, bila dah ada perniagaan baru, rasanya saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan jenama SimplySity.

"Bila dah betul-betul stabil, baru saya boleh ligatkan perkara-perkara lain. Apa pun, ini tidak bermakna saya senyap terus, cuma pembabitan nyanyian saya tidaklah sekerap sebelum ini," ucapnya selepas majlis ulang tahun ke-15 pembabitan Siti dan pelancaran album Apresiasi di Cattleya Grand Ballroom, Wisma PKPS, Shah Alam, baru-baru ini.

Bercerita mengenai karier seninya yang sudahpun menjangkau 15 tahun, penyanyi nombor satu negara ini menyifatkan perjalanan seninya penuh dengan warna warni kehidupan dan dugaan sebagai seorang artis.

Bersyukur dengan apa yang dimiliki, Siti masih lagi ada beberapa agenda yang ingin ditunaikan iaitu konsert tradisional, album Inggeris yang dijangka akan dibuat dalam masa dua tahun akan datang dan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas.

Dalam pada itu, Siti telah dicalonkan bagi lima kategori dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang akan berlangsung pada 2 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: