ERMM.. Tipu menipu, sudah menjadi lumrah dalam dunia sekarang. Kalau tidak bijak, kita akan menjadi orang yang ditipu.
Kisahnya begini Marilyn mendapat satu panggilan daripada seorang teman lama yang Marilyn gelar ‘Internet bergerak’.
Katanya dengan nada tidak puas hati, seorang temannya telah ditipu oleh seorang penyanyi lelaki yang Marilyn kategorikan sebagai penyanyi suam-suam kuku.
Sudahlah tidak berapa popular dan jarang-jarang muncul di televisyen serta media cetak, penyanyi lelaki yang pernah masuk sebuah program realiti TV itu tetap mendapat undangan untuk persembahan pentas kerana vokalnya yang boleh tahan.
Walaupun lagu-lagu penyanyi itu berentak balada, dia tetap mengupah penari untuk menyerikan lagi persembahannya. Biasalah, kalau sudah diminta menari takkan pula menari secara percuma, lagipun itu bukannya persembahan amal.
Namun, tunggu punya tunggu, dari sehari berganjak ke sebulan dan kini sudah setahun, langsung tidak nampak satu sen pun wang bayaran yang dijanjikan untuk penari-penari itu.
“Kawan aku itu pun bengang bila aku sebut nama penyanyi tu. Bukan apa, dia sudah berjanji untuk bayar duit selepas kawan aku menari dalam persembahan dia. Tetapi dia jenis cakap tidak serupa bikin.
“Dapat duit, dia kebas seorang. Kawan aku yang menari bagai nak rak habuk pun tak ada. Patutlah dia memang tidak popular sebab selalu tipu orang,” kata teman Marilyn lagi.
Susahlah kalau macam itu. Marilyn harap penyanyi lelaki itu ubahlah perangainya sebab dunia hiburan di Malaysia kecil sahaja. Pusing-pusing akan jumpa muka yang sama juga.
Nanti, jika kena batang hidung sendiri baru dia tahu macam mana buat persembahan bagai nak rak tetapi tidak dibayar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: