Thursday, April 29, 2010

Dasar Kanak-Kanak untuk semua

SEJAK kebelakangan ini cerita tentang kanak-kanak didera dan kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Kadang-kala ia membuatkan kita terfikir apakah zaman yang serba moden dan canggih telah mengubah manusia hingga tiada lagi sifat kemanusiaan apatah lagi sifat penyayang.

Dalam usaha menangani masalah tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta semua agensi yang terlibat akan melaksanakan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nor Amni Yusoff, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Tambah beliau, dasar itu selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada golongan tersebut demi kepentingan mereka.

"Sebenarnya dasar ini ada dalam laman web kementerian cuma masyarakat antara sedar atau tidak sahaja kewujudannya.

"Dasar yang dipamerkan menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami semua peringkat pembaca.

"Jadi apa yang diharapkan agar masyarakat hari lebih peka dan mendapat penjelasan tentang dasar ini untuk diguna pakai bersama,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, dasar tersebut telah mendapat kelulusan daripada Kabinet pada 29 Julai 2009 dan pihaknya telah menjalankan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh kerajaan.

Apa yang diharapkan oleh pihaknya kini ialah melalui dasar tersebut, nasib kanak-kanak serta bayi-bayi yang baru dilahirkan dihormati dan kehadiran mereka ke dunia ini dilindungi.

Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara dan ia perlu dibangunakn ke tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif.

Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan.

Statistik kes penderaan kanak-kanak sepanjang tahun 2009 (sehingga bulan November) di 15 buah negeri di Malaysia bagi kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan adalah seramai 1,900 orang.

Sementara itu antara kes-kes penderaan yang sering dilakukan terhadap bayi dan kanak-kanak yang telah dikenalpasti oleh JKM ialah kes buang bayi/terdampar, diabaikan, fizikal, seksual, emosi/psikologi serta sumbang mahram.

Tetapi apa yang menyedihkan, mengikut statistik kes penderaan kanak-kanak mengikut kumpulan etnik dan jantina dari tahun 1999 hingga 2007, kaum Melayu merupakan kumpulan etnik yang tertinggi dan diikuti Cina dan India.

Tambah beliau, melalui modul Dasar dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Negara, perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Ia memberi tumpuan kepada aspek advokasi (memberi tumpuan kepada punca pembuangan dan penderaan terhadap kanak-kanak), pencegahan, khidmat sokongan serta penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.

"Secara khususnya dasar perlindungan kanak-kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

"Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.

"Dan sehingga hari ini pihak kami telah melaksanakan beberapa program yang berkaitan selain merancang beberapa buah program lagi pada masa hadapan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment