INSIDEN kena 'boo' penonton pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) awal bulan lalu tidak pernah menjejaskan semangat bekas Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi, 29, untuk terus berdepan dengan masyarakat.
"Kalau orang nak 'boo', apa saya boleh buat? Ia di luar kawalan saya dan penganjur sendiri. Saya nak buat macam mana kalau ada orang dah tak suka saya. Saya tahu malam itu, peminat saya tidak seramai peminat artis lain terutama Datuk Siti Nurhaliza dan Nabil (Raja Lawak).
"Jauh di sudut hati, saya masih lagi percaya ramai peminat di luar sana yang menyokong karier seni dari belakang terutama di kawasan kampung dan Felda. Contohnya, selepas ABPBH2009, saya ada membuat persembahan di Raub, Pahang dan sambutannya memang di luar dugaan," katanya.
Mawi berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan mengenai popularitinya yang dipandang semakin merudum sehingga tewas kepada Aizat bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular manakala kecundang di tangan Siti bagi kategori Bintang Paling Popular.
Tidak cukup dengan kekalahan itu, Mawi 'diboo' penonton yang lebih ghairah menyokong artis lain. Selain Mawi, Fasha Sandha juga menerima ejekan sama apabila nama mereka berkumandang.
Sebagai artis, Mawi berkata, insiden yang tidak disangka seperti itu antara cabaran yang terpaksa ditelannya apabila bergelar anak seni.
"Sebelum bergelar artis pun, saya sudah bersedia menerima hakikat saya bukan selalunya akan berada di atas. Saya sudah cakap pada diri sendiri sejak awal lagi, ramai artis baru akan muncul dan saya akan berada di bawah pula satu hari nanti.
"Dulu saya juga pernah berada di bawah dan tidak ada siapapun kenal Mawi tapi saya boleh hidup juga. Saya juga sudah bersedia menghadapi apa saja dugaan yang datang dalam kehidupan sehari-hari," katanya.
Apapun, Mawi yang juga duta Marrybrown dan Silky Men berkata, dia akui undangan persembahan yang diterima tidak sebanyak dulu lagi.
"Masa keluar dari AF3, dalam sebulan, saya dapat purata 10 undangan persembahan tapi sekarang cuma ada dua hingga tiga undangan saja sebulan.
"Masa saya lebih banyak diluangkan bersama keluarga. Inilah masa untuk saya belajar mencipta lagu dan lirik. Saya lebih banyak fokus kepada syarikat saya, Mawi World Sdn Bhd dan Mawi Entertainment Sdn Bhd yang banyak menghasilkan produk hiburan untuk siaran TV," ujarnya.
Mawi ditemui pada sidang media jamuan petang bersama Ibu di Restoran Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya, di sini, kelmarin. Mawi bergabung dengan Datuk Khadijah Ibrahim dalam persembahan sempena Hari Ibu pada 6 Jun nanti.Mengenai perkembangan karier lakonannya pula, pelakon filem Jin Notti dan Magika ini berkata, dia belum ada projek besar untuk filem baru setakat ini.
"Sebelum ini, ada tawaran untuk saya berlakon filem baru tetapi lepas itu tidak ada khabar susulan. Saya memang menyasarkan untuk buat filem menerusi syarikat sendiri pula selepas ini," katanya.
Buat masa ini, kata Mawi yang juga pemilik Mawi World Sdn Bhd dan Mawi Entertainment Sdn Bhd ini, drama baru terbitan syarikatnya, Hikmah Seruan Nami masih dalam penggambaran di Korea.
Drama bersiri 13 episod arahan Rahila Ali itu dibintangi Elly Mazlein, Zizan Nin dan Shahronizam Nor. Penggambaran drama ini sebanyak 80 peratus di Korea dan 20 peratus lagi di Malaysia.
"Saya tidak berlakon dalam drama ini tapi terbabit menyanyi lagu tema Menanti Hikmah ciptaan komposer Hudson dan lirik oleh Mata. Hudson adalah rakyat Malaysia yang menuntut di Korea Selatan. Apa yang menarik, lagu ini ada 'feel' seperti Winter Sonata," katanya.
Diminta komennya mengenai drama terbitan syarikatnya, Jiwa Kacau yang didakwa caca-marba, Mawi menafikannya.
"Saya tidak bersetuju sama sekali dakwaan berkenaan kerana pihak saya mendapat maklum balas yang bagus daripada peminat dan pihak Astro sendiri. Saya juga sudah beritahu pengarah dan petugas, saya memang 'target' drama ini untuk menang anugerah.
"Sebagai penerbit, saya tetap 'turun padang' di lokasi penggambaran drama terbitan syarikat termasuk ketika proses suntingan drama berkenaan.
"Dalam tempoh seminggu, tiga kali saya akan turun padang di lokasi penggambaran. Dari segi skrip pula, pihak kami ada lima panel untuk menilainya. Saya tetap mengakui drama ini masih ada kelemahan kerana pada permulaan, ia agak perlahan dan pada pertengahan, baru penonton dapat tahu jalan ceritanya," katanya.
Mengenai perkembangan album barunya pula, Mawi yang akan tamat kontrak dengan pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) pada Ogos tahun depan berkata, dia masih mencari lagu yang bagus untuk dijadikan single terbarunya.
"Saya ingin hasilkan single yang boleh melekat di hati pendengar. Album penuh saya dengan AESB pula sudah siap tapi saya masih menunggu tarikh ia dipasarkan. Saya juga sudah menunggu selama setengah tahun untuk melihat album itu dipasarkan.
"Saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana pihak AESB ada alasan kukuh dari aspek pemasaran album ini," katanya.
Soal anak pula, kata Mawi, dia dan isteri, Nora'Ashikin Rahmat atau Ekin masih belum ada rezeki untuk mempunyai anak lagi.
"Maklumlah, Ekin sudah dua kali mengalami keguguran. Kami tidak putus asa dan akan terus mencuba untuk dapat anak lagi. Kata doktor, Ekin juga tidak ada masalah untuk mengandung lagi," katanya.
>Profil
NAMA: Asmawi Ani
USIA: 29 tahun
ASAL: Felda Taib Andak, Kulai, Johor
KERJAYA: Penerbit, pelakon dan penyanyi
ISTERI: Nora'Ashikin Rahmat (Ekin)
USIA: 31 tahun
MAKANAN KEGEMARAN: Asam pedas dan sardin
SYARIKAT: Mawi World Sdn Bhd dan Mawi Entertainment Sdn Bhd
FILEM: Jin Notti, Magika
ALBUM: The Best Of Mawi World, Doa, Berzanji dan Qasidah Berlagu, Allah Habeei
ANUGERAH: Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Bintang Paling Popular, Anugerah Berita Harian (tiga tahun berturut-turut), Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Berkumpulan/Duo Popular berduet dengan Jamal Abdillah (ABP-BH2007)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: