MENANTI kemunculan penyanyi yang memiliki vokal dan populariti hebat, Kelly Clarkson sebelum persembahan konsertnya bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lepas, ramai yang tertanya-tanya apakah imej dan persembahan yang ingin ditampilkannya.
Lalu, tatkala lampu pentas dipadamkan selepas persembahan Jaclyn Victor serta Suki, sebelum kembali dinyalakan serentak dengan kemunculan juara American Idol musim pertama itu, ramai pula yang terkejut dengan sosok tubuh figura idola mereka itu.
Tubuh Kelly yang agak berisi itu mungkin sudah biasa dilihat menerusi Internet, tetapi perasaan melihatnya secara langsung, nyata agak berbeza.
Umum memahami pelantun lagu popular, Because of You tidak menghiraukan diet pemakanannya, selepas melalui zaman kejatuhan ketika muncul dengan album ketiga, My December, yang dianggap album paling teruk yang pernah dihasilkannya.
Lalu, ramai yang menyangka kebangkitannya semula menerusi album keempat, All I Ever Wanted yang telah kembali memanaskan namanya semula memberikan motivasi buat dirinya untuk kembali kurus seperti dahulu.
Namun, sebagaimana terkejut melihat sosok tubuhnya, begitu jugalah perasaan apabila Kelly mula melontarkan vokalnya.
Tampil dengan gaya penampilan yang agak sederhana, Kelly memulakan persembahan dengan lagu yang telah menaikkan namanya semula, All I Ever Wanted.
Ia nyata permulaan yang bagus kerana ia bukan sahaja berjaya membangkitkan semangat penonton, tetapi sekaligus memukau semua yang hadir.
Sedikit pun tiada cacat cela pada vokal anak kelahiran Texas, Amerika Syarikat itu. Paling mengagumkan adalah stamina yang dimilikinya sehingga berkemampuan mendendangkan 22 buah lagu dengan hanya berehat selama beberapa minit selepas mendendangkan lagu, Since You Been Gone.
Berkaki ayam
Tidak risau dengan kostum yang sarat dan feminin, Kelly sebaliknya muncul serba sederhana dan tanpa perlu menukar kostumnya, namun vokalnya menjadi aura utama yang berjaya memancing minat penonton dari awal hingga konsert berakhir.
Selesa berkaki ayam di atas pentas, Kelly nyata begitu lincah dan menguasai sepenuhnya pentas konsert dengan lagu-lagunya yang begitu bertenaga diiringi tujuh pemuzik dan dua penyanyi latar.
Malah, teriakan demi teriakan kira-kira 10,000 penonton di lokasi konsert berlangsung membuatkan Kelly dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya bertambah semangat mengalunkan lagu-lagu seperti Miss Independent, I Do Not Hook Up dan Impossible.
"Saya gembira kerana dapat menghiburkan anda semua. Saya tak sangka yang saya mempunyai ramai peminat di sini (Malaysia).
"Rasanya, saya sepatutnya datang ke sini untuk konsert sulung sejak dulu lagi.
|
|
"Anda semua memang hebat dan saya cukup teruja untuk menyanyi di depan anda semua. Saya pasti akan datang ke sini lagi," ucapnya ringkas.
Tidak banyak berkomunikasi, namun tetap mesra penonton, Kelly bukan sahaja menghangatkan konsert dengan lagu-lagu popularnya, malah turut mendendangkan lagu-lagu penyanyi idolanya, Alanis Morisette menerusi lagu That I Would Be Good lagu popular The White Stripes, Seven Nation Army.
Kelly meninggalkan kenangan manis untuk konsert sulungnya kali ini dengan mendendangkan lagu popular dari album All I Ever Wanted iaitu My Life Will Suck Without You - sekali gus memberikan kepuasan maksimum buat penonton yang telah berbelanja besar membeli tiket konsert yang setiap keping bernilai di antara RM98 sehingga RM358.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: