Friday, April 30, 2010

Keenakan sos Tera-Thai


Azilah Khalid bersama set BBQ yang menyelerakan di Tera-Thai Fine Dine.


JIKA anda penggemar set BBQ di bandar raya Johor Bahru, kunjungan ke sebuah restoran eksklusif, Tera-Thai Fine Dine pasti

berbaloi.

Dengan bayaran hanya RM38.80, muncul sepinggan besar makanan laut seperti kupang, udang, ikan dan sotong selain ayam dan daging yang panas dalam aroma cukup menyelerakan.

Seandainya ingin menambah menu sampingan, usah gundah di hati. Nasi goreng Thai, kerabu mangga dan Tom Yam Nam Sai sedia menanti untuk ditempah pada harga yang berpatutan.

Pemilik restoran berkenaan, Azilah Khalid berkata, keistimewaan set BBQ itu terletak pada tiga sos asli dari Thailand yang disediakan oleh tiga chef negara berkenaan diketuai Chef Suparat.

Menurutnya, setiap sos tersebut iaitu sos daging, sos makanan laut dan sos ayam mempunyai ramuan tersendiri dan sukar untuk ditemui di tempat lain.

"Kami menjanjikan kualiti makanan dan perkhidmatan yang terbaik di Tera-Thai bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

"Mereka pasti terkejut kerana set BBQ yang dicicah dengan kesemua sos itu mampu membangkitkan selera menerusi campuran rasa pedas, masam dan manis," katanya.

Wanita yang fasih bertutur bahasa Thai itu berkata, Tera-Thai menyediakan set makanan itu selepas pukul 6 petang namun pengunjung yang ingin menikmatinya pada waktu tengah hari perlu menempah terlebih awal.

Ia bagi membolehkan pengunjung tidak menunggu lama hidangan tersebut untuk disiapkan selain memboleh set BBQ itu dipanggang dengan garing dan masak sepenuhnya.

"Pengenalan menu ini sejak awal bulan lalu merupakan komitmen kami untuk memberi kepelbagaian menu kepada pengunjung.

"Saya pasti ramai yang akan menggemarinya dan mahu datang kembali ke sini untuk menikmatinya lagi selain turut terpikat dengan menu-menu yang lain," katanya.

Azilah yang merupakan anak jati Johor dan pernah menetap di Bangkok selama tujuh tahun berkata, pengunjung boleh memilih untuk menjamu selera di dalam restoran atau di gazebo.

Katanya, Tera-Thai ingin memberi pengunjung kebebasan memilih sama ada mereka menggemari suasana berhawa dingin atau hembusan angin luar menyamankan.

"Justeru, keunikan Tera-Thai ini yang memberi peluang sama ada pengunjung duduk di atas kerusi dalam restoran atau bersila di gazebo mampu memenuhi kehendak pengunjung yang pelbagai," katanya.

Azilah berkata, pihaknya kini sedang menjalankan pelbagai promosi antaranya Kad Ahli Tera-Thai dengan bayaran serendah RM30.

Setiap ahli akan menikmati diskaun 10 peratus bagi setiap pesanan ala-carte, diskaun 20 peratus setiap hari dari pukul 3 hingga 6 petang dan percuma minuman istimewa bagi ahli wanita pada setiap Rabu.

"Kami turut menyediakan pakej berjumlah RM3,000 bagi majlis seramai 40 hingga 50 pengunjung dengan hidangan menu pelbagai makanan laut menarik.

Restoran yang dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga hingga 11 malam terletak sebaris dengan banglo-banglo mewah di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 07-2226300.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: