Thursday, April 29, 2010

Momen projektor poket


WU (dua dari kiri) bersama Pengurus Pemasaran 3M, Ben Heng (dua dari kanan) bergambar bersama model ketika pelancaran projektor poket MPro150 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEBANYAKAN orang pasti tidak akan percaya sekiranya anda memberitahu bahawa anda sedang membawa sebuah projektor di dalam kocek kemeja atau beg tangan. Biasanya, projektor yang akan terlintas dalam fikiran adalah bersaiz besar dan berat.

Kini, gambaran itu tidak lagi tepat setelah 3M, sebuah syarikat Amerika Syarikat yang dikenali dengan inovasinya membawa projektor generasi ketiga yang saiznya berpadanan dengan saiz tapak tangan.

Lebih menarik, dengan beratnya hanya 160 gram, ia mampu beroperasi tanpa kabel atau sebuah komputer riba. Ia adalah produk elektronik terbaru yang sempurna untuk berkongsi video dan foto kegemaran bersama teman dan ahli keluarga.

Menurut Pengarah Urusan 3M Malaysia, Michael Wu, 3M MPro150 boleh berfungsi di mana sahaja sama ada di bilik rehat, pantri di tempat kerja atau kedai kopi kegemaran anda.

"Alat ini amat mudah alih dan amat senang untuk dipasang dan digunakan. Anda hanya perlu halakan projektor kepada dinding untuk melihat video atau gambar bersama sesiapa sahaja.

"Melalui projektor ini juga, anda tidak perlukan lagi komputer riba, kuasa kabel dan beg berat untuk diangkat ke mana-mana. Ia adalah kesempurnaan di dalam saku anda," katanya.

Wu memberitahu, MPro150 mempunyai satu gigabit memori terbina dalam untuk menyimpan semua gambar, video dan muzik, sekali gus menghapuskan keperluan untuk disambungkan kepada sebuah komputer untuk berfungsi.


PROJEKTOR MPro150 boleh disambungkan kepada peralatan seperti iPhone, iPod dan PS3.


"Ia juga datang bersama sebuah kad mikro SD dengan dua gigabit memori secara percuma untuk simpanan tambahan fail-fail yang lebih besar seperti filem atau pembentangan serta boleh menyokong sehingga 16 gigabit memori.

"Sebagai projektor terkemuka dunia, MPro150 menyokong aplikasi Microsoft Office dan Adobe PDF. Oleh itu, ia dengan mudah memainkan peranan sebagai sebuah alat cekap untuk mereka yang sentiasa bergerak," katanya.

Katanya lagi, MPro150 juga mampu menayangkan imej yang jelas dan terang dengan keluasan pepenjuru 50 inci dan tingkat kepekatan dan kontra warna yang amat baik.

"Bukan setakat itu sahaja, MPro150 juga membolehkan anda bersantai sambil mendengar lagu kegemaran kerana ia diintegrasikan dengan pembesar suara stereo dan bicu fon kepala.

"Ini menjadikan MPro150 sebagai pemain MP3 peribadi anda atau teater bergerak untuk kumpulan kecil seramai empat atau lima orang," katanya.

Selain itu tambah Wu, MPro150 berfungsi serba guna kerana ia boleh disambungkan kepada pelbagai jenis peralatan termasuk iPhone, iPod, PS3, kamera digital, pemain DVD serta kamera video.

"Baterinya boleh bertahan selama dua jam manakala mentol projektor mampu bertahan selama 20,000 jam.

"Ini bermaksud anda tidak perlu menukar LED. Ia juga berbaloi dengan harga serta tidak memerlukan penyelenggaraan dan mempunyai jaminan ganti 15 bulan," katanya.


TRIPOD kecil memudahkan penggunaan projektor poket.


Jelas beliau, ciri-ciri tambahan yang ada pada MPro150 termasuk flip-berdiri bersepadu, tripod dan pelbagai jenis kabel input. Ini menjadikan MPro150 sesuai untuk pelbagai peralatan video output yang terkini dan popular.

"MPro150 boleh didapati di kedai-kedai MACHINE dan cawangan-cawangan kedai IT utama. Harga runcitnya ialah RM1,899 dengan pembesar suara mudah alih TDK percuma bernilai RM89 bagi setiap pembelian," katanya.

Untuk maklumat lanjut layari laman web www.3Mpocketprojector. com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: