|
|
DR. Bai Helong menyingsing seluarnya sambil meletakkan kakinya di bucu meja. Dengan menggunakan pen doktor bedah ortopedik itu lalu membuat tanda pangkah pada bahagian bawah lututnya sambil menyatakan lebih kurang di tempat itulah dia akan memotong kaki pesakitnya yang mahu kelihatan lebih tinggi.
Sejak lebih 15 tahun lalu, Helong telah membantu menambah ketinggian pada lebih 3,000 pesakitnya yang berusia antara 14 hingga 55 tahun daripada pelbagai bangsa dan negara - China, Amerika, Jerman, Jepun dan sebagainya.
Lebih separuh daripada jumlah pesakitnya itu sanggup menjalani pembedahan semata-mata hanya kerana benci dengan keadaan diri mereka yang rendah.
"Saya antara yang pakar dalam bidang ini," kata Helong yang menggunakan teknik yang diciptanya sendiri di kliniknya di pinggir Shanghai, China.
Katanya, dia akan menggergaji tulang tibia (salah satu tulang yang bersendi dengan lutut dan tulang pergelangan kaki) dan fibula (tulang betis yang terletak di sebelah luar tulang tibia) tanpa menjejaskan sum-sum tulang.
"Saya sedang menjadikan impian mereka yang mengalami tekanan psikologi kerana tubuh yang rendah, sebagai satu kenyataan," katanya dengan bangga.
Seminggu kemudian menurut Helong, tulang tersebut akan tumbuh semula. Dia akan menggunakan pendakap yang diperbuat daripada nikel dan titanium dengan setiap satu seberat setengah kilogram, untuk dipasang pada bahagian dalam kaki pesakit.
Setiap hari selama empat bulan seterusnya Helong akan memanjangkan ikatan tersebut untuk meregangkan kaki tersebut sedikit demi sedikit.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya empat bulan untuk mendapat ketinggian enam hingga lapan sentimeter atau dua hingga tiga inci," katanya.
Selepas itu, empat bulan lagi diperlukan untuk membolehkan tulang kembali kuat dan pesakit mula dibenarkan berjalan.
Pembedahan memanjangkan kaki pertama kali dilakukan pada 1950 di negara bekas Kesatuan Soviet dan kemudian diikuti oleh China, tetapi sering kali ia menghasilkan keputusan yang huru-hara.
Pada masa lalu, kaki akan dipotong di tiga bahagian yang pastinya akan menjejaskan sum-sum tulang. Kemudian pin digunakan untuk menyambungkan tulang tersebut.
Dalam beberapa kes, hasilnya sebelah kaki lebih pendek daripada sebelah lagi dan kes jangkitan kuman juga kerap berlaku.
Hari ini menurut Helong, prosedurnya adalah lebih selamat. Daripada memanjangkan kaki tersebut antara 1.0-1.5 milimeter sehari, dia berazam untuk menambah jumlah tersebut.
"Sejak tahun 1995 tidak ada satu pun pembedahan yang saya jalankan gagal, malah sekarang ini ia sudah tidak begitu sakit," kata doktor yang mengenakan bayaran 75,000 yuan (RM38,500) bagi satu pembedahan itu.
Namun siapa sebenarnya yang sanggup menempuh prosedur tersebut yang menyebabkan pesakit tidak dapat bergerak dan berasa cukup tidak selesa dalam tempoh sekurang-kurangnya beberapa bulan.
"Seorang individu bersaiz kecil boleh berdepan dengan pelbagai bentuk masalah - dalam perkahwinannya, kehidupan berkeluarga dan di tempat kerja.
"Individu seperti itu selalunya berasa rendah diri dan mengalami masalah psikologi. Saya juga pernah bertemu dengan individu yang mahu membunuh diri hanya kerana berasa dirinya terlalu rendah," katanya.
Sementara itu salah seorang pesakitnya, Dan Dan, 25, yang mempunyai paras rupa agak menarik dan kini belajar di Jepun berkata, dia tidak begitu gembira dengan ketinggiannya yang cuma 1.53 meter (lima kaki).
Empat bulan selepas pembedahan di klinik Helong, wanita China itu kini boleh tersenyum kerana ketinggiannya telah bertambah enam sentimeter.
"Saya mahu meningkatkan imej diri. Kini saya berasa lebih yakin dan gembira," kata Dan Dan sambil berjalan mundar-mandir di ruang legar klinik dengan menggunakan tongkat.
"Saya harap dalam tempoh setahun saya dapat berjalan dengan normal. Tetapi untuk berlari itu cerita lain," katanya.
Hanya ibunya saja yang tahu apa yang dilakukan oleh Dan Dan sedangkan rakan-rakannya langsung tidak tahu di mana dia berada sekarang.
"Pada awalnya memang nampak bahaya. Mereka memotong tulang saya dan perbuatan ini sudah tentu sukar diterima oleh orang ramai. Ia bukan seperti membuat pembedahan kening," katanya merujuk kepada prosedur pembedahan yang dilakukan oleh sebahagian wanita China untuk mendapatkan mata yang lebih bundar dan besar.
Seorang lain wanita, Wang Lijun juga tidak memberitahu rakan-rakannya di mana dia berada sekarang dan akibatnya mereka sudah tidak lagi menghubungi wanita itu lagi.
Itu harga yang perlu dibayar bagi wanita berusia 30 tahun ini ketika menjalani rawatan selama 13 bulan yang bermula pada 2008 lalu.
Sepanjang tempoh itu ketinggiannya telah bertambah dari 1.52 meter kepada 1.60 meter - satu ketinggian oleh dicapai dengan mudah daripada sepasang kasut tumit tinggi.
"Ini adalah rahsia saya. Saya tidak beritahu sesiapa pun," kata Lijun yang kini berkerja di bahagian pentadbiran di klinik Helong.
Menurut Lijun, dia kini boleh berlari dan melompat seperti dulu.
"Selama ini saya langsung tidak ada keyakinan diri dan saya selalu impikan kehidupan yang lebih baik," katanya.
Selain daripada kehilangan kehidupan sosialnya, Lijun mengakui terdapat banyak lagi pengorbanan yang terpaksa dibuat.
Sebagai contoh rawatan yang menyakitkan selama berbulan-bulan dan parut gelap lagi hodoh pada kakinya.
Langkah seterusnya, kata Lijun mungkin menjalani pembedahan plastik untuk membuang parut tersebut.
Persoalannya sekarang apakah Helong boleh dianggap seorang 'ahli silap mata' yang membawa keajaiban melalui pemutar skru dan rantai besi, sekali gus meraih keuntungan daripada penderitaan orang lain?
Doktor bedah itu menepis segala kritikan terutama golongan yang tidak tahu apa sebenarnya kerjanya.
Bagaimanapun, sebagaimana banyak yang berlaku di China, apa yang dilakukan oleh Helong sesuatu yang masih samar-samar di sisi undang-undang.
Pada 2006 Kementerian Kesihatan China menghantar notis kepada pihak berkuasa wilayah, mengarahkan mereka untuk mengehadkan pembedahan memanjangkan kaki ke atas kes-kes ortopedik saja - tidak meliputi pesakit yang meminta dibedah atas alasan kosmetik semata-mata.
Arahan tersebut menyebut pembedahan hanya boleh dilakukan ke atas individu yang mengalami kecacatan, yang kaki mereka tidak sempurna berikutan keadaan genetik, kemalangan atau yang berkaitan penyakit.
"Adalah dilarang membuat pembedahan ke atas individu yang anggota tubuh mereka sempurna dan tidak cacat," menurut kementerian.
Tetapi ketika ditanya mengenai arahan tersebut, kementerian enggan mengulas sama ada arahan itu masih dikuatkuasakan atau sebaliknya.
Dan pada masa sama Helong sendiri masih menjadi ahli Persatuan Ortopedik China.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: