Friday, April 30, 2010

Kepala digilis motor peragut

KUALA LUMPUR: Hanya topi keledar yang menyelamatkan seorang wanita daripada maut apabila dia dan rakannya terjatuh sebelum kepalanya digilis tayar motosikal penjenayah selepas mereka menjadi mangsa ragut di Taman Seri Andaman, Seksyen 1, Wangsa Maju di sini, Selasa lalu.

NYARIS MAUT... mangsa menunjukkan kesan seretan di topi keledar  akibat dilanggar motosikal peragut.
NYARIS MAUT... mangsa menunjukkan kesan seretan di topi keledar akibat dilanggar motosikal peragut.
Aksi kejam penjenayah terbabit berlaku apabila mangsa cuba mempertahankan beg tangannya daripada ditarik peragut yang menunggang dua motosikal secara berasingan.


Kejadian itu menyebabkan Khairun Husna Mohd Yusop dan Zaimah Omar, kedua-duanya berusia 23 tahun, kini trauma selain cedera di kaki selepas motosikal ditunggangi mereka terjatuh menyebabkan kedua-duanya terseret.


Menurut Khairun Husna, kejadian berlaku jam 8.20 malam ketika dia bersama Zaimah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dia sama sekali tidak menyangka kedua-dua lelaki yang mengekori dengan menunggang dua motosikal berasingan sanggup bertindak demikian.


“Saya baru dua hari bekerja dan menumpang Zaimah yang juga jiran saya untuk ke tempat kerja di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini.


“Kejadian ini benar-benar membuatkan saya trauma, namun tetap bersyukur kerana kami berdua selamat dan hanya mengalami kecederaan,” katanya.


Menceritakan semula kejadian itu, Khairun Husna berkata, Zaimah yang menunggang motosikal pada mulanya sudah mengesyaki mereka diekori dua penjenayah terbabit.


“Zaimah beritahu dia berasa pelik melihat dua lelaki terbabit mengekori motosikal ditunggangi kami.


“Saya terus memegang erat beg tangan yang dibawa sebaik kami berhenti di lampu isyarat,” katanya.

Menurutnya, sejurus kemudian seorang daripada peragut terbabit berhenti bersebelahan motosikal mangsa dan memandang sambil memberikan senyuman manakala seorang lagi berhenti di belakang.


“Sebaik lampu bertukar hijau, kami meneruskan perjalanan dan tidak lama selepas itu, lelaki yang berhenti bersebelahan motosikal kami tadi terus menghampiri saya.


“Secara tiba-tiba, dia menarik beg tangan yang saya pegang dan ketika itu saya cuba melawan dan tidak melepaskan beg itu membuatkan motosikal ditunggangi kami gagal dikawal dan terjatuh,” katanya.


Menurut Khairun Husna, melihat mereka terjatuh peragut terbabit terus memecut motosikal manakala rakan peragut yang masih mengekori terlanggar kepalanya dengan motosikal.“Ketika itu, Zaimah dihempap motosikal dan topi keledarnya tercabut manakala saya pula tercampak sebelum kepala digilis tayar motosikal yang ditunggangi seorang lagi penjenayah.


“Saya hanya mampu menjerit serta menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan hanya menahan kesakitan selain rasa seperti hendak pitam akibat kepala digilis,” katanya.


Menurutnya, dia bernasib baik kerana secara kebetulan abangnya melalui jalan berkenaan sebelum membantu membawa mereka berdua mendapatkan rawatan di hospital.


“Ketika di hospital, doktor memberikan dua suntikan antibiotik selain ubat menahan sakit akibat kecederaan yang dialami.


“Saya kini hanya mampu berehat di rumah kerana belum pulih sepenuhnya untuk bekerja dan kejadian ini memang membuatkan saya trauma memandangkan ia kali pertama dialami,” katanya.


Berikutan kejadian itu, Khairun Husna masih mengalami kesakitan di kepala dan lututnya bengkak teruk selain beberapa kecederaan di siku dan buku lali manakala Zaimah mengalami kecederaan di kaki dan tangan.

1 comment:

  1. kurang ajar toi..rempit zaman skang...xdak sifat kemanusian...eeeeiii....aku mmg geram toi la...tak ingat tuhan ker?? klu ada2 mn2 mat rempit baca comment aku nih, tolong lah insaf...kesian kat orang, hidup nih skali jer...bila Allah dah tarik nyawa tak sempat nak minta ampun...rasa2 kat mana yer tempat kita bila mati...pikir la sendiri...cari kerja halal..klu pon kutip botol sekurang-kurangnya halal...tak nuyusahkan orang....insaf lah...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: