Wednesday, April 28, 2010

Selesa jadi keutamaan


Benang kapas India seperti yang digayakan model ini paling bermutu dan bercorak klasik.


KESELESAAN memakai baju yang diperbuat daripada fabrik benang kapas (cotton) membuatkan ramai yang menggemarinya. Berbanding fabrik yang dibuat daripada bahan sintetik, kain benang kapas memberikan kesan sejuk dan selesa pada si pemakai walaupun dalam cuaca panas.

Bagi mereka yang pernah memakai baju daripada fabrik benang kapas pasti bersetuju dengan keselesaan fabrik ini.

Sebab itu, fabrik ini menjadi pilihan untuk dibuat baju kanak-kanak kerana memahami bahawa si kecil aktif berlari ke sana-sini menyebabkan mereka mudah berpeluh.

Bagi dewasa pula, fabrik benang kapas memang cantik untuk dijadikan baju kurung yang sesuai dipakai di mana sahaja sama ada ke pejabat mahu pun ke majlis-majlis formal dan keraian.

Baju kurung fabrik benang kapas daripada jenis berkualiti dan mahal serta cantik coraknya boleh digayakan ke majlis kenduri pula.

Selesa memakai baju daripada fabrik benang kapas sejak kecil mencetus ilham kepada Rozilah Ahmad untuk membuka Butik Bungor yang khusus menjual baju kurung daripada fabrik tersebut.

Pelbagai potongan baju kurung boleh diperoleh seperti baju kurung pesak gantung, baju kurung Johor dan kurung moden.

Pelanggan juga boleh memilih jenis-jenis fabrik benang kapas yang mereka suka seperti benang kapas India, Inggeris, China, Swiss, Itali, Pakistan dan Jepun.

Menurut Rozilah Ahmad, pemilik Butik Bungor, fabrik benang kapas yang paling berkualiti ialah India dan Jepun yang bertekstur lembut, ringan dan tahan, sementara benang kapas Swiss licin dan nampak berkilat.

Katanya, baju kurung ini amat praktikal untuk semua orang kerana selain selesa, ringkas dan cantik ia tidak perlu lagi dijahit labuci atau manik yang mungkin sukar untuk dijaga.

"Ramai daripada golongan profesional yang menjadi pelanggan Butik Bungor kerana baju daripada fabrik benang kapas ini amat praktikal untuk setiap masa," katanya.

Selain itu, ibu dan anak boleh mendapatkan pakaian yang sedondon kerana terdapat banyak saiz untuk kanak-kanak dan dewasa.

Corak-corak fabrik juga eksklusif kerana Rozilah mendapatkan bekalan kain daripada ramai pembekal dan setiap corak hanya dibuat beberapa pasang sahaja.

Ramai juga pelanggan yang datang dari luar Kuala Lumpur seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Pahang dan Johor.

Baju kurung untuk kanak-kanak dijual pada harga di antara RM40 hingga RM120 sementara untuk dewasa di antara RM120 hingga RM350.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: