Thursday, April 29, 2010

Apabila hamil sendirian


Dr. Noorul Ainur Mohd (tiga dari kanan) dan Ivy Josiah (dua dari kiri) bersama wakil WAO lain menunjukkan buku Hamil dan sendirian; Apakah Pilihan Saya pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


HAMIL dan bersendirian, suatu situasi yang tidak ingin dilalui oleh wanita. Namun itu yang mungkin akan ditempuh oleh wanita atau anak-anak gadis yang terlanjur dan mengandung di luar ikatan perkahwinan.

Bagi gadis atau remaja yang sedang berhadapan dengan situasi mengandung sendirian mungkin tidak ada masa atau semangat untuk membaca artikel ini.

Tetapi mungkin ada sesuatu boleh dilakukan oleh orang sekeliling yang prihatin dalam membantu gadis yang telah terlanjur akibat hubungan terlarang.

Bukan niat untuk menyetujui atau berkongsi dosa-dosa yang telah dilakukan golongan ini. Tetapi lebih kepada untuk menghalang mereka daripada melakukan tindak tanduk lebih buruk seperti menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang bakal dilahirkan.

Apabila mengandung luar nikah fikiran dan emosi wanita atau gadis terbabit pasti bercampur aduk antara malu dan takut. Mereka juga tentunya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan pada masa akan datang.

Keadaan itu boleh membawa perbuatan-perbuatan yang di luar kewarasan manusia.

Justeru kehadiran buku Hamil dan sendirian; Apakah pilihan saya? mungkin tepat pada waktunya sebagai panduan untuk wanita yang mengandung sendirian.

Buku yang diterbitkan dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris mengandungi maklumat lengkap tentang perubatan dan perundangan serta tindakan-tindakan yang boleh dilakukan ketika mengandung bersendirian.

Buku hasil kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) diterbitkan sebagai sebahagian daripada kempen Memperkasa Kehidupan (Empower for Life).

Penulis buku, Noor Diyana Yahya berkata, idea menghasilkan buku panduan tersebut tercetus setelah melihat begitu banyak kes akibat keterlanjuran sosial yang terjadi di kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, banyak pendapat diutarakan dan berapa banyak langkah yang telah diambil tetapi tiada juga jalan penyelesaian bagi menghalang perbuatan seperti membuang anak daripada terus berlaku.

"Dengan pengedaran buku ini kepada orang awam diharap dapat membantu golongan wanita ini dalam mencari arah tuju selepas mengandung dan ditinggalkan pasangan.

"Mengandung bersendirian memang satu isu yang besar kerana ia bukan sahaja melibatkan emosi malah segala-galanya. Di WAO kami sedaya upaya membantu golongan ini melalui setiap proses daripada penjagaan ketika mengandung, bersalin, cara diet dan seterusnya sokongan yang diperlukan oleh orang keliling.

"Dalam buku panduan yang diterbitkan ini juga mengandungi langkah seterusnya yang boleh diambil oleh si ibu selepas melahirkan sama ada mahu menjaga sendiri bayi tersebut atau diserahkan kepada keluarga angkat," jelasnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku Hamil dan Sendirian; Apakah Pilihan Saya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Am bahagian Polisi dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd, Pengerusi Malakoff, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita, Ivy Josiah.

Sementara itu, menurut Abdul Halim syarikat tersebut telah menyumbang sebanyak RM66,500 kepada WAO dengan tujuan untuk menambah kemudahan kelas bimbingan kehidupan, perbelanjaan perubatan untuk penghuni WAO dan menerbitkan buku panduan untuk wanita mengandung yang berseorangan.

Beliau berkata, pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan WAO kerana percaya dengan reputasi pertubuhan tersebut yang benar-benar memperjuangkan nasib wanita yang teraniaya.

"Inisiatif ini juga telah melahirkan beberapa pekerja sosial yang akan mengajar dalam kelas Bahasa Inggeris dan kelas komputer kepada ibu-ibu tunggal sebagai satu usaha untuk golongan ini memperkasakan kehidupan mereka dan mempunyai kewangan sendiri.

"Sebagai tambahan, beberapa lagi kursus seperti masakan dan jahitan manik turut dianjurkan untuk mempertingkatkan taraf hidup golongan yang terabai ini.

"Selain itu, Malakoff dan WAO juga tidak lupa untuk membangunkan kembali semangat dan keyakinan diri golongan ini supaya mereka lebih positif dalam menghadapi kehidupan yang mendatang," jelasnya.

Sementara itu menurut Ivy, di pusat perlindungannya kini sedang menempatkan kira-kira 22 wanita yang memerlukan bantuan dan ada 13 kanak-kanak.

"Sejak ditubuhkan WAO menerima kira-kira 100 hingga 130 wanita setiap tahun, sementara panggilan telefon untuk meminta bantuan pula kira-kira 500 panggilan.

"Kami memilih untuk menghasilkan buku panduan ini kerana kami mahu wanita yang memerlukan pertolongan tahu ke mana harus dituju," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku panduan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: