|
|
TIDAK dapat dipastikan sama ada ia secara kebetulan atau disengajakan, aktor Leon Lai dan Richie Ren yang berkongsi usia sama, 43, disatukan dalam filem arahan Dante Lam, Fire of Conscience. Apa yang lebih menarik, dua tunjang utama filem itu melakonkan watak yang dilahirkan pada tahun sama mengikut kehendak skrip.
Menerusi plot yang menggunakan tarian naga tradisional sebagai titik perkembangan cerita, Leon dan Richie masing-masing memiliki hati nurani yang kemudian tertekan.
Leon, peneraju watak detektif, Manfred yang panas baran akibat terlalu taksub mencari pembunuh isterinya. Sementara, Richie yang jarang menjayakan watak antagonis menonjol sebagai Inspektor Lee. Terdesak mencari wang kerana muflis, Richie membelakangi tanggungjawab sebagai polis dengan membantu sindiket merompak dadah.
Bertemu dan mula berkawan, pelbagai siri insiden mula menyedarkan Manfred bahawa polis yang dikenalinya itu tidak sebaik yang disangkakan.
Penuh dengan babak aksi yang ada kalanya agak ganas, karya ini lebih realistik terutama apabila penggambaran kejar-mengejar dilakukan di kawasan jalanan secara bersembunyi tanpa permit kerajaan.
Sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 April lalu, wartawan Malaysia diberi peluang untuk menemu bual menerusi telefon dengan Richie dan Leon yang diaturkan oleh Golden Screen Cinema (GSC) Malaysia, baru-baru ini.
Richie ketika itu berada di Taiwan untuk penggambaran filem terbarunya. Leon pula sedang sibuk menguruskan syarikat produksinya di Hong Kong, A Music. Ikuti cerita dua aktor itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai filem serta perkembangan karier mereka.
Leon terima watak hodoh
Terkenal dengan wajah kacak, Leon bukan aktor yang mementingkan imej ketika berlakon. Ia terbukti apabila dia muncul sebagai pengemis dalam filem arahan Peter Chan, Bodyguards and Assassins (2009).
Leon juga membuang imej bintang idola dan mengejutkan peminatnya apabila dia menjayakan watak lelaki terencat akan yang cuba menjadi gigolo di Jepun dalam filem Moonlight In Tokyo (2005).
Memenangi anugerah Golden Horse untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada tahun 2002 untuk peranannya dalam filem Three: Going Home, aktor kelahiran Beijing, China itu sekali lagi membuktikan kebolehannya menerusi Fire of Conscience.
Kali ini, anda juga diperlukan untuk memburukkan wajah anda supaya dapat mencerminkan rupa seorang polis yang tidak terurus. Ceritakan sedikit mengenai misai palsu anda.
Leon: Sebagai pelakon, bukan selalu kita berpeluang untuk menerima skrip sebaik ini. Jadi saya amat menghargai peluang yang diberikan oleh pengarah walaupun terpaksa memakai misai palsu. Jangan disebabkan misai itu yang memburukkan wajah, anda menolak satu watak.
Bukannya saya mahu menukar penampilan tetapi penambahan misai itu adalah atas permintaan pengarah. Namun, saya berdepan dengan kesukaran apabila makan dan minum. Cuma saya tidak mahu berfikir bahagian mana bulu haiwan itu diambil untuk dijadikan misai saya (ketawa).
Bagaimana dengan kerjasama pertama anda dengan Richie Ren?
Saya selalu berjumpa dengan Richie pada majlis anugerah muzik tetapi tidak pernah terfikir akan berganding dengannya dalam filem. Berlakon dengan lelaki memberikan perasaan berbeza berbanding bekerja dengan wanita. Keakraban yang wujud akan kekal lama dan kami berdua amat serasi di set penggambaran. Perasaan serasi itu datang secara natural.
Richie memberitahu bahawa anda seorang yang mengambil berat terhadap semua perkara semasa penggambaran.
Apabila berlakon dalam filem aksi, saya akan menjadi lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kemalangan. Saya akan memastikan latihan dibuat terlebih dahulu terutama apabila melibatkan letupan api. Saya tidak mahu kemalangan berlaku seperti apa yang saya alami semasa berlakon untuk produksi stesen TV dahulu.
Ada satu babak di mana anda diperlukan untuk menyambut kelahiran bayi. Ceritakan mengenainya.
Saya sendiri belum pernah melalui pengalaman sebegini. Maka, pengarah yang sudah mempunyai dua orang anak mengajar saya untuk memikirkan wanita itu merupakan isteri saya.
Dia memberitahu saya bahawa menyambut kedatangan bayi adalah satu perkara yang mulia. Jadi saya berlakon mengikut nasihat pengarah.
Jika isteri anda, Gaile Lok melahirkan anak pada masa akan datang, adakah anda akan turut serta dalam wad bersalin?
Sebenarnya amat sukar bagi saya untuk memberitahu sekarang kerana saya tidak pernah melalui pengalaman ini. Namun, kebanyakan orang akan masuk bersama kerana mempunyai perasaan ingin tahu. Mungkin saya akan masuk tetapi belum pasti sejauh mana pembabitan saya sepanjang proses melahirkan anak.
Memandangkan anda sudah agak berusia, adakah sukar bagi anda untuk menjayakan filem aksi yang memerlukan banyak berlari?
Tidak perlu risau kerana saya suka berenang. Sukan itu banyak membantu saya mengekalkan stamina. Jadi bila-bila masa sahaja saya sudah bersedia untuk filem aksi.
Cabaran yang selalu ditempuhi sebagai seorang pelakon?
Persekitaran tidak kira cuaca atau orang sekeliling akan memberi kesan kepada emosi kita setiap hari. Jadi untuk mengekalkan emosi satu-satu watak itu amat penting. Adalah lebih baik apabila anda tidak banyak melakukan kesalahan semasa rakaman kerana ia akan menjejaskan mood lakonan.
Menggambarkan seorang yang panas baran, adakah anda terbawa-bawa emosi itu di luar set penggambaran?
Tidak. Saya masih dapat membezakan dengan baik antara dunia filem dan dunia realiti. Jika pelakon yang terlalu menjiwai watak walaupun semasa tidak berlakon, maka dia mempunyai penyakit mental. Saya meninggalkan watak sebaik saya keluar daripada lokasi penggambaran.
Bagaimana dengan bidang pengarahan selepas mengarah filem pertama, A Melody Looking pada tahun 2007?
Sekarang saya tengah sibuk menguruskan syarikat saya. Lagipun apa yang penting untuk sesebuah filem adalah skripnya. Jadi sebelum mendapatkan skrip yang bagus, saya tidak akan mengarah. Saya tidak mahu mengecewakan penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: